Pages

Wednesday, October 28, 2009

Trainer Jangan Cuai Aspek Keselamatan.






Mengendalikan program yang melibatkan jumlah peserta yang ramai terutamanya pelajar sekolah samada rendah atau menengah memerlukan penganjur dan pengendali program memiliki kemahiran pengurusan program dan aktiviti luar (outdoor) yang tinggi.
Perkara-perkara asas seperti tenaga jurulatih dan fasilitator terlatih, jumlah peserta, kemudahan logistik, aktiviti dan pengisian program, keadaan cuaca dan tempat serta pemantauan aspek keselamatan mestilah bersesuaian dan diberi perhatian rapi.
Tindakan mengambil mudah aspek-aspek ini boleh mengundang padah yang tidak diduga terutamanya kepada peserta program.
Jumlah peserta yang ramai tidak menjadi masalah sekiranya pengendali program mampu menyediakan tenaga fasilitator mahir yang mencukupi dan kemudahan logistik mampu menampung jumlah peserta yang menyertai program.
Pengendali seharusnya memahami bahawa kemahiran, kepakaran dan tahap pemantauan berbeza diperlukan untuk mengendalikan peserta berbeza mengikut peringkat umur seperti pelajar sekolah rendah, menengah, IPT, belia atau dewasa. Bahkan mengendalikan peserta lelaki dan perempuan juga berbeza.
Dalam program berbentuk perkhemahan yang memerlukan peserta bermalam di dalam bilik atau khemah untuk beberapa hari, faktor pertama yang sepatutnya diberi penekanan dan pemahaman ialah keselamatan diri sepanjang tempoh program.
Pengendali program hendaklah membuat penerangan rapi tentang ciri-ciri dan peraturan keselamatan diawal program. Bukan sekadar menerangkan bahkan perlu dipastikan bahawa setiap peserta memahaminya.
Lazimnya perkara ini akan dilakukan oleh komandan kem dalam slot taklimat program yang diadakan selepas sahaja peserta mendaftar masuk. Selepas itu, amaran dan peringatan akan diulang-ulang beberapa kali sepanjang tempoh program.
Sekiranya peserta adalah pelajar sekolah, pihak sekolah sepatutnya mengambil langkah proaktif untuk membuat taklimat keselamatan pra-program di sekolah masing-masing iaitu sebelum peserta bertolak ke lokasi program. Begitu juga dengan ibubapa.
Pengendali program handaklah memastikan setiap peserta memahami dan mematuhi semua peraturan dan langkah-langkah keselamatan sepanjang program. Perlu diingat bukan semua peserta berpengalaman menghadapi situasi yang melibatkan keselamatan atau kecemasan.
Dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang pada 26 Oktober 2009 lepas, timbul beberapa persoalan tentang peraturan dan kecekapan pemantauan aspek keselamatan dalam program. Walaupun siasatan masih dilakukan tetapi berdasarkan laporan berita beberapa analisis ringkas boleh dibuat.
Pertama, tenaga pengendali program yang memantau keselamatan peserta mungkin tidak mencukupi dan kurang terlatih. Adalah tidak memadai dan berisiko tinggi jika seorang sahaja guru yang bertugas memantau lebih 200 orang pelajar menyeberangi jambatan tersebut ditambah pula pada waktu malam.
Kedua, tahap pemahaman dan pematuhan peraturan keselamatan oleh pengendali dan peserta program khususnya dalam menyeberangi jambatan gantung tersebut juga diragui. Berdasarkan laporan akhbar, beberapa tindakan berikut jelas sekali merupakan tindakan yang amat berisiko tinggi:
i. Sewaktu kejadian dikatakan 30-50 orang peserta sedang berada di atas jambatan tersebut.
ii. Tindakan beberapa orang peserta bermain, menggoyang dan menghenjut jambatan sewaktu menyeberanginya menunjukkan mereka tidak menyedari tindakan tersebut boleh mengundang bahaya.
iii. Cuaca gelap malam, paras air sungai yang tinggi dan arus deras gagal diambil perhatian oleh pengendali program sebagai amaran bahaya dan perlu meningkatkan tahap berjaga-jaga.
Dalam keadaan jumlah peserta yang ramai, mereka sepatutnya dilatih bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil yang terdiri daripada 10-15 orang ahli dan setiap kumpulan handaklah dipantau oleh fasilitator.
Pengalaman penulis mengendalikan program-program berbetuk perkhemahan, para peserta akan diberi amaran agar tidak menghampiri kawasan-kawasan yang dilabel berbahaya dan terlarang (restricted).
Bahkan, papan tanda dan pita amaran bahaya akan dipasang di semua lokasi yang telah dikenal pasti berisiko seperti sungai, gaung, pokok tinggi, semak dan belukar, tangga, jambatan dan lain-lain lebih awal sebelum peserta mendaftar masuk. Beberapa orang fasilitator akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga (standby) sepanjang masa untuk memantau tahap pematuhan peraturan oleh peserta.
Ketiga, pihak pengendali sepatutnya memastikan lokasi program sesuai dan munasabah sebelum mengendalikan sesuatu program.
Fakta peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan jumlah hampir 300 orang, cukup jelas menunjukkan bahawa program tersebut sepatutnya diadakan di tempat yang kurang berisiko.
Menyedari fakta di atas dan keputusan mengadakan program di tempat yang direntangi sungai yang dalam dan deras dengan hanya dihubungkan oleh jambatan gantung, ternyata ada pihak yang gagal membuat pertimbangan menyuluruh sebelum program tersebut diluluskan untuk dianjurkan.

Apa Susahnya Senyum?






Untuk apa jua peranan, sebagai pasangan hidup, sahabat, jiran, rakan sekerja, bos, pekerja, imam, doktor, pesakit hatta Perdana Menteri, kita senangi mereka mudah mengukir senyuman.
Itulah perkara yang saya tegaskan kepada 120 peserta Simposium Mini Kepimpinan Islam anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) di Sutra Beach Resort, Setiu, Terengganu minggu lepas. Saya diminta untuk mengupas antaranya mengenai topik kesan imej kendiri positif dalam kerja.
Sewaktu tiba di dewan seminar, apabila pandangan melirik para peserta yang duduk tekun di meja masing-masing, hati kecil saya berbisik sendiri, “kelihatan semuanya agak serius.” Lantas, saya berazam memastikan setiap ‘mulut’ dalam dewan itu akan mengukir senyuman sebentar sahaja lagi. 10 minit berlalu, azam saya dimakbulkan Allah swt. Alhamdulillah.
Soalan saya mudah. Mana satu yang anda senangi, seseorang yang murah atau lokek dengan senyuman?
Saya pasti 100% akan mengundi pilihan pertama. Kenapa? Jawapannya juga mudah, kerana senyuman adalah fitrah kejadian insan. Sebagai makhluk, kita juga diciptakan sama seperti haiwan, miliki mulut dan gigi.
Namun, senyuman hanya mampu diukir oleh manusia. Sama seperti otak, hanya manusia yang boleh berfikir. Cuba bayangkan jika gajah juga boleh senyum dan berfikir, pada hemat anda siapa lagi hebat?
Untuk menampilkan imej diri positif, ia perlu dimulakan dari dalam. Inside out. Apa yang terkandung di dalam kotak fikir dan lubuk hati anda akan terbias melalui penampilan luaran. Jika anda berfikiran positif dan berhati tulus, mungkinkah anda berwajah masam?
Sebagai pimpinan jabatan atau unit tidak kiralah di organisasi manapun, penampilan fizikal yang ceria, berseri dan meyakinkan amat signifikan. Ia melambangkan kewibaaan kita.
Jika berjalan pun mengheret kasut, berucap pun bergetar-getar dan tak tentu hujung pangkal dan jarang sekali senyum, di mana wibawanya kita?
Tak pasti di mana mereka pelajarinya, tetapi acapkali kita berhadapan dengan individu yang bergelar ketua lokek dengan senyuman. Mungkin bagi mereka tidak senyum itu tanda “keketuaan”. Siapa bilang?
Dalam slot saya tempoh hari saya memetik contoh watak diri baginda Rasulullah saw. Baginda pemimpin ulung dalam hampir semua bidang. Peliknya, baginda seringkali digambarkan sebagai insan yang sentiasa tersenyum. Itulah contoh kepimpinan dalam Islam yang sebenar.
Percayalah, jika kita senyum kepada pekerja bawahan, rakan setugas, bos, pelanggan, orang ramai, pesakit hatta kanak-kanak, ia tidak langsung mengurangkan maruah atau wibawa kepimpinan kita bahkan menokoknya.
Justeru, berusahalah menjadi pemimpin yang disegani dan digeruni lantaran senyuman yang sentiasa terukir di wajah membias penampilan diri yang hebat, berwibawa dan bijak.
Senyum itu sedekah.

Apa Makna SPM?





22 hari lagi! Itulah tempoh masa yang berbaki untuk adik-adik tingkatan 5 SMK Bukit Rangin, Kuantan, Pahang bersiap sedia bertempur dalam medan perang minda, SPM. Kelihatan ada yang bersemangat tinggi dan tidak kurang juga yang nampak ragu-ragu.
Alhamdulillah, program Motivasi Kemahiran Belajar iMAge (ikut-macam-genius) Modul GempurEXAM! berjaya dilangsungkan dengan sempurna. Team teknikal berbaju biru, kalian hebat, macam pro.
Dalam saat sebegini, tidak dapat dinafikan perasaan bercampur-baur di antara teruja dan risau. Teruja untuk buktikan kepada semua bahawa kita boleh buat yang terbaik dan apabila keputusan yang diumum kelak sama seperti yang disasarkan, maka habuannya lebih menarik.
Itu sebabnya kala saya jerit bertanya “jumpa di mana tahun depan?!” ramai yang menyambut UKM, UM, UiTM, UIA dan macam-macam lagi. Tahniah. Tetapi ada juga yang seolah-olah kebingungan.
Tidak dinafikan, ramai juga rasanya yang dirundung perasaan risau dan ragu-ragu. Risau andai esok tidak mampu menjawab dengan baik dan akhirnya keputusan juga tidak baik atau lebih dasyat, gagal. Orang tua-tua kata "simpang malaikat 44".
Itulah sebabnya saya bertanya kepada adik-adik SMK Bukit Rangin, “SPM untuk apa sebenarnya?” Pelbagai jawapan biasa yang saya terima. Saya jawab ringkas, SPM sebenarnya untuk menguji siapa rajin dan siapa kurang rajin (atau dalam bahasa yang kurang sedap didengar, malas).
Hakikat kehidupan. Yang rajin pasti dapat lebih berbanding yang malas. Dalam apa jua perkara yang kita lakukan itulah formulanya. Belajar, kerja, sukan, bisnes dan macam-macam lagi.
Satu perkara penting yang saya ingatkan adik-adik tempoh hari, dalam tempoh genting ini tangguhkanlah dulu sikap malas yang jelas boleh menjahanamkan masa depan kita.
Syaitan sentiasa berusaha agar kita malas dalam semua perkara. Kemuncak, kita malas menyembah dan mengagungkan Allah swt yang menciptakan dan memberi rezeki yang kita telan setiap hari.
Ingat, syaitan tidak pernah malas untuk menghasut supaya kita menjadi malas semalas-malasnya. Alangkah ruginya kalau kita menjadi bahan mainan syaitan lantaran kebodohan dan kedegilan sendiri.
Untuk berjaya dalam SPM kali ini, adik-adik mestilah serius untuk berjaya. Ramai yang ingin berjaya dalam hidup ini tetapi tidak serius untuk mencapainya. Apa guna pergi memancing (menduduki) di laut (SPM) kalau yang dibawa hanya kail (usaha) panjang sejengkal (sikit). Anda hanya layak memancing dalam mangkuk, kerana anda tidak serius.
Semoga perkongsian pengalaman dan sedikit ilmu di sekolah kalian tempoh hari memberi manfaat yang berpanjangan. Berdoalah mohon kekuatan dan keteguhan iman daripada Allah swt dan pada masa sama jangan lupa mohon restu daripada mereka yang telah banyak berkorban masa, tenaga, perasaan dan wang ringgit semata-mata untuk melihat kita menjadi insan berguna.
Tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah khususnya Unit Bimbingan & Kaunseling di atas kesudian memberi ruang waktu dan tempat untuk saya berkongsi pengalaman berharga dengan adik-adik tingkatan 5 SMK Bukit Rangin.
Best of Luck!!!

Wednesday, October 14, 2009

Naluri Kesetiaan Seorang Isteri

Ada orang kata di belakang setiap lelaki yang berjaya pasti ada insan bernama isteri yang menjadi tonggak. Kala senang, gembira, susah atau duka semua diharungi dengan gagah dan tenang oleh seorang lelaki berbekalkan tiupan semangat dan tadahan doa seorang isteri yang setia, sebenarnya.

Saya pernah berkata kepada seseorang, jika ingin lihat kasih sayang seorang isteri yang sejati lihatlah kepada isteri seseorang yang fakir miskin. Tiada sebab untuk seorang wanita untuk ‘kekal’ bersama seseorang suami yang ‘miskin’ kerana dia juga insan biasa punyai hak untuk memilih kehidupannya sendiri. Kehidupan yang bahagia. Dia boleh ‘pergi’ kalau dia mahu.

Tetapi isterilah insan yang dijadikan oleh Allah swt untuk memiliki naluri setia yang tinggi. Dia setia dan sanggup berkorban segala-galanya hatta nyawa sendiri. Bukan sedikit cerita yang kita tahu tentang isteri yang telah berkorban atau terkorban rentetan naluri kesetiaannya kepada insan bernama suami.

Sebagai suami, saya percaya kenyataan di atas. Lantas berusaha saban detik untuk menjadi rakan kongsi hidup yang paling ideal kepada isteri yang setia. Tidak dinafikan, sikap ego lelaki adakala mengatasi kewarasan dalam menghadapi situasi kehidupan. Ada kata yang terlajak dan ada tingkah yang terlebih. Namun, si isteri tetap setia di samping mengukir senyum walau hati mungkin berderai. Hanya Allah swt yang tahu.

Terima kasih kerana setiap hari menjadikan hidup ini lebih bermakna. Itulah ungkapan yang mampu saya berikan kepada isteri yang tercinta. Tahniah di atas kejayaan yang dicapai berkat usaha tanpa jemu dan nekad tanpa mengalah.

Benarkah kita First Class?






First Class!!! Itulah ungkapan yang dilaungkan setiap kali saya bertanya “JKNS Apa?”. Tenaga, komitmen, kesungguhan dan kemahuan yang ditunjukkan oleh hampir semua peserta dalam Kursus Pengukuhan Motivasi Kerja Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) hujung minggu lepas sangat hebat walaupun mereka terdiri daripada latar umur yang berbeza. Seolah-olah semuanya seusia dan tak lebih 27 tahun….
Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menamatkan program dengan jayanya.
Harapan saya semoga apa yang telah dilalui sepanjang program tersebut dapat dihayati, difikirkan dan yang lebih penting diserap menjadi habit atau tabiat diri positif untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, majikan dan siapa saja yang ada kena mengena dengan diri kita.
Saya juga dalam setiap program yang saya kendalikan sentiasa menilai tahap, kemampuan, prestasi dan berusaha untuk menambah baik diri sendiri dari semasa ke semasa. Sama-sama kita lakukan, insyaAllah.
Teringat pula saya kepada “lauk-pauk” dalam program itu hari. Biarlah kehadiran kita umpama gula atau garam dalam gulai (macam Kari Ikan Kaw). Zahir kehadirannya tidak kelihatan tetapi amat memberi kesan. P. Ramlee pernah guna falsafah ini dalam filem Ahmad Albab kalau tak silap saya. Elakkan hadir persis gincu. Hadir menutup kepucatan sekadar mengindahkan paras luaran semata-mata. Sementara.
Siapa pun kita dalam organisasi, anggap dan buatlah sesuatu yang hebat supaya kita penting dan memberi kesan kepada organisasi, tempat kita mencari rezeki. Biar apa orang lain kata atau melihat kita, yang penting kita kenal diri kita sendiri dan tahu apa yang kita lakukan.
Sentiasalah berusaha meningkatkan tahap “kepakaran” kita. Jika kita seorang jurutaip. Jadilah jurutaip pakar. Setiap surat atau dokumen yang kita sediakan tak pernah terdapat kesilapan hatta satu titik noktah walaupun ia disiapkan dalam tempoh yang singkat (mungkin tak lebih 0.56 saat setiap kali, mugkin…).
Sewaktu pertama kali saya pergi ke JKNS Seremban, saya terpaksa pergi ke tandas untuk menyelesaikan ‘urusan’ yang tertunda dari pagi akibat kesuntukan masa mengejar temujanji tepat jam 8.00 pagi. Apabila saya masuk ke tandas lelaki, hasrat saya tertunda sekali lagi. Masakan tidak dengan bau busuk, daki di atas lantai, takungan air kotor, tiada satu mangkuk tandas yang dipam, sinki yang berlumut dan pintu tandas yang bercontengan, berlubang, rosak dan tidak boleh dikunci. Cuba teka apa yang saya fikirkan pada ketika itu?
Dalam keadaan di atas fikiran anda tertala kepada siapa? Sudah pasti anda terfikir tentang petugas-petugas pembersihan (yang biasa kita sebut “Akak Cleaner”). Apa yang mereka buat, pemalas, memalukan dan sebagainya. Sekarang jelaslah apa yang saya maksudkan di atas. Siapa pun kita atau apa pun jawatan kita, kita tetap memberi kesan kepada organisasi dan orang lain walaupun kita hanya seorang pekerja pembersihan. Baik kualiti kerja kita, baiklah kesannya dan begitulah sebaliknya.
Tuan-tuan bertuah kerana ‘cerita tandas’ di atas tidak berlaku di tempat tuan-tuan. Jangan pula selepas ini ada yang “memarahi” petugas-petugas pembersihan di JKNS Seremban, kerana saya tidak pernah maksudkan tandas di JKNS Seremban. Dalam cerita di atas pun, saya tidak kata tandas di JKNS Seremban. Sebenarnya, saya singgah di satu tempat sebelum sampai di bangunan JKNS Seremban.
Letaklah nilai yang tinggi pada diri kita sendiri. Jika kita meletak nilai tinggi pada diri, kita akan sentiasa berfikiran positif, melakukan sesuatu yang berfaedah dan amat jarang menyusahkan orang lain.
Lihat hasil kutipan dalam aktiviti pada petang Sabtu lalu. Kos bahan sebenarnya tidak lebih RM2.00 dan hasil jualan ada yang mencecah RM44.00. Bermakna untung bersih ialah RM42.00, iaitu 21 kali ganda daripada nilai asal.
Dengan nilai-nilai positif yang diserap bersama seperti kerjasama, rajin, tekad, bersungguh-sungguh, kreatif, jelas matlamat, tidak penting diri dan banyak lagi yang lain, kita berjaya menambah nilai sesuatu yang asalnya hanya bernilai RM2.00 kepada sesuatu yang bernilai 21 kali ganda lebih baik.
Bagaimana dengan diri kita sendiri? Bukahkah hebat jika kita juga dapat menggandakan nilai diri kita masing-masing 21 kali ganda lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini. Jom sama-sama kita fikirkan.
Akhirnya, saya berbesar hati memilih Pak Ya dan Kak Norli untuk menerima hadiah istimewa daripada AsasInsan Resources & Training mewakili rakan-rakan peserta yang lain. Tahniah kepada semua. Kepada pasukan pengurusan JKNS yang dipimpin oleh En. Nanthakumaran, saya mewakili AsasInsan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas kepercayaan yang diberikan. Berkat kegigihan semua, JKNS mampu mencapai tahap FIRST CLASS! InsyaAllah.

Monday, October 12, 2009

Bagaimana Penemuduga Melihat Anda?



"Sukarnya mencari calon sesuai." Itu tajuk satu artikel yg ditulis oleh Editor Berita akhbar Sinar Harian dalam ruangan Cetusan@Sinar. Kpd siswa-siswi yg pernah ikuti program SureHired! yg saya kendalikan di beberapa buah IPT seluruh negara, cuba baca artikel ini dan ingat kembali apa yg pernah saya katakan.

Begini ceritanya....

Menjadi penemu duga sama stresnya dengan menjadi orang yang ditemu duga. Malah tahap stresnya mungkin lebih tinggi jika sehingga selesai kesemua calon ditemu duga, seorang pun tidak menepati kriteria yang dikehendaki.

Penulis sendiri sudah berkali-kali menjadi panel penemu duga jabatan editorial majalah, Sinar Harian dan juga pentadbiran. Mungkin dari segi kelayakan menepati dari minimum sehingga maksimum, tetapi ramai yang lupa majikan bukan hanya melihat kepada kelayakan akademik semata-mata. Banyak lagi faktor yang menyumbang, kadang-kala kelayakan akademik hanya sekadar untuk membantu memenuhi syarat.

Sedar atau tidak dalam dunia pekerjaan tidak kira yang berkolar biru atau putih, persaingan amat sengit. Ramai di luar sana mencari-cari peluang pekerjaan dan tidak kurang juga syarikat seperti Karangkraf dan Sinar Harian mencari calon-calon yang sesuai, bukan berkelulusan, berpengalaman tetapi juga serba boleh dan sedap mata memandang.

Istilah sedap mata memandang bukanlah bermakna calon tersebut mesti kacak seperti Salman Khan; atau cantik seperti Kajol dan Kareena Kapoor. Memang ada syarikat yang mengutamakan kecantikan sesuai dengan jenis pekerjaan atau produk yang akan dijual. Bagi penulis asalkan calon tersebut pandai bergaya, berpenampilan kemas dan sesuai dengan suasana bekerja di pejabat, itu boleh dikategorikan sebagai sedap mata memandang.

Tetapi kalau waktu datang temu duga pun hanya memakai kemeja-t berkolar sedangkan jawatan yang dipohon adalah menjadi eksekutif pentadbiran, macam mana penemu duga nak tertawan? Mungkinkah calon tersebut tidak serius, mencari pekerjaan sekadar untuk memenuhi masa lapang?

Satu lagi yang menjadi pantang besar penulis ketika menemu duga ialah calon membaca segala dokumen asal dalam sampul surat besar. Segala sijil daripada sijil lahir sampailah ke ijazah atau diploma disusun bercampur aduk dalam sampul besar.

Kalau ada calon yang masuk ke bilik temu duga dan mengeluarkan segala sijil asal yang diminta dari sampul besar, memang akan kena ‘syarahan percuma’ dari penulis. Apabila ditegur, alasan yang sering diberikan ialah tak sempat kerana baru tahu ada temu duga. Semua alasan yang tidak wajar dan tidak boleh diterima.

Selain tidak bersedia dari segi penampilan yang akan memberikan ‘kesan atau impak pertama’ penemu duga terhadap calon, ramai juga yang tidak bersedia dari segi input dan informasi mengenai jawatan yang dipohon serta syarikat yang menawarkan jawatan.

Mungkin mereka fikir itu semua tidak penting, sebenarnya ia sedikit sebanyak akan menunjukkan kesungguhan calon, sama ada benar-benar bersedia untuk menjadi sebahagian daripada ‘ahli keluarga syarikat berkenaan’.

Apa yang penulis dapati ramai calon tidak tahu cara ‘menjual diri’ mereka. Mereka hanya menerangkan apa yang sudah ditulis dalam resume masing-masing. Bila ditanya barulah terkial-kial memikirkan apa yang mereka boleh sumbangkan jika terpilih. Sebenarnya jika calon-calon dapat meyakinkan penemu duga yang mereka dapat memikul tanggungjawab yang diberikan, peratusan calon itu terpilih adalah lebih tinggi.

Akhir sekali anda mungkin memenuhi kriteria tetapi masih tidak terpilih. Bukan rezeki anda di sini. Tetapi jangan bersedih kerana bukan bermakna anda tidak berkelayakan, sebaliknya kadang-kala kelayakan yang dimiliki terlalu tinggi. Atau ada juga calon yang terlalu bercita-cita tinggi sehingga membuatkan penemu duga bimbang jika calon tersebut diambil mereka tidak akan bertahan lama. Sejauh mana kebenaran ini? Apa yang penting ialah sentiasa buat persiapan rapi sebelum hadiri temu duga.

Rusmin Fadzil – Editor Berita (web)
Sinar Harian 12 Oktober 2009

Tuesday, October 6, 2009

10 Tip Killer SureHired!@UPSI


Mana lelaki? Di depan, di tengah atau di celah? Biar sedikit tapi bergaya.

Syukran jazilan...

Jgn lupa pesan bakal isteri untuk belajar cara ikat tie. In future senang...

Tips resume: kertas 80 gsm, putih dan bersaiz kertas mahjong...? Biar betul...

Orang kata, lidah itu lebih tajam dari pedang... tapi Adam dan bola pulak yang menang.
1. Mulakan hari dengan ucapkan terima kasih.
2. Mohon kerja sebagai “Penawar” bukan “Pengemis”.
3. Sentiasa berusaha mencari kelainan untuk menjadi benchmark seperti “cawan”.
4. Hanya 10 saat! Anda mungkin disenaraipendek, mungkin juga terlepas peluang.
5. Tampilkan diri sebagai eksekutif bukan lagi student.
6. Biar 10, 30 minit atau berjam-jam, yang paling penting ialah 5 minit pertama.
7. Bukan isi, betul atau salah, tetapi cara anda mengutarakannya.
8. Jangan lupa kuasa “cermin mata, jam tangan, pen dan surat khabar!”
9. Pakaian mesti segak, duduk biar tegak dan bicara jangan berlagak.
10. Jangan lupa lempar senyuman dan ucap terima kasih kepada insan yang pertama sehinggalah yang terakhir anda temui.
Tahniah dan terima kasih kepada Pn. Nurin dan rakan-rakan sekerjanya yang telah betungkus-lumus menjayakan program SureHired!@UPSI pada 3 Oktober 2009. Ternyata cabaran H1N1, penukaran venue di saat akhir, hujan lebat, kekangan teknikal dan mungkin ada lagi yang lain tidak mampu mematahkan semangat kalian. Sekali lagi, TAHNIAH. Semoga para peserta seperti Adam, Din, Azlan, Shima dan yang lain akan kekal dan lebih teruja untuk bergelar sebagai seorang eksekutif pendidik yang profesional ringkasnya GURU dengan berbekalkan ilmu job hunting yang telah dikongsikan. Wallahu A’lam.

PMR!!!! Aku Datang!!!


Penat lelah dan tungkus lumus berbulan lamanya sebelum ini bakal "terbalas" bermula dari esok!
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Jika aku telah bersungguh-sungguh berusaha, maka esok, akan aku berikan yang terbaik dan aku yakin dengan apa yang telah aku usahakan.
Ya Allah, Engkau terangilah hatiku dengan cahaya hidayahMu sebagaimana Engkau menerangi bumi dengan cahaya matahariMu.
Ya Allah, lapangkanlah dadaku, Dan mudahkanlah pekerjaanku (urusanku), Dan lancarkanlah lidahku, Agar mereka faham pembicaraanku. Amin Ya Rabbul 'Alamin.

Buat adik-adik peserta yang bakal berjuang di medan PMR bermula esok.... Buatlah yang terbaik dan semoga berjaya. Pesanan ringkas Abang E... malam ini tidur awal dan esok jangan lupa betulkan niat dan mulakan dengan Bismillah.

Anda tiada pilihan...





Itulah kata-kata yang sering saya ungkapkan kepada hampir semua pelajar MRSM yang saya temui. Terbaru kepada hampir 300 orang pelajar tingkatan 3 dan 5 MRSM Batu Pahat, Johor pada 29 & 30 September yang lepas.
Anda tiada pilihan untuk tidak menjadi yang terbaik khususnya dalam PMR dan SPM akan datang. Anda mesti buktikan anda memang yang terbaik.
Kenapa mesti begitu? Bukankah mereka juga insan biasa seperti juga pelajar yang lain. Miliki kekuatan dan kelemahan. Mungkin mampu dan mungkin juga tidak!
Hakikatnya, dengan memilih untuk bergelar pelajar MRSM, anda memilih untuk tidak lagi memiliki pilihan itu, iaitu “sebagai pelajar biasa”. Anda tidak lagi mempunyai ciri-ciri “pelajar biasa”. Keadaan anda berbeza. Bagaimana?
Lihat sahaja pada nama institusi anda, MRSM. Ia memberi persepsi berbeza jika dibandingkan dengan SMK. Pasti nama itu membawa bersamanya pelbagai kelainan dan “kehebatan”. Jika tidak apa perlu ia dinamakan MRSM, cukup sekadar SMKM (Sekolah Menengah Kebangsaan MARA).
Ya, memang benar bukan anda yang menentukan nama itu. Tetapi kerana nama itulah anda mahu dan berusaha untuk menempatkan diri di situ. Tapi anda mungkin berkata pula, apa ada pada nama?
Baiklah, jangan kita lihat pada huruf-huruf yang membentuk nama MRSM itu tapi kita lihat apa yang ada di sebaliknya.
Kerana namanya MRSM kita lihat kepada tujuan ia diwujudkan, kemudahan yang disediakan, dana yang dibelanjakan, syarat-syarat kelayakan kemasukan, pencapaian, tenaga pendidik, ciri-ciri dan prestasi pelajar-pelajarnya.
Ia diwujudkan pasti untuk melahirkan insan-insan hebat yang kenal dan sedar diri. Kenal diri dari segi potensi, kekuatan, kelemahan, kemahuan dan matlamat. Sedar diri untuk sentiasa bersyukur, tidak bongkak, rendah diri dan kaya dengan budi pekerti.
Sedarilah, semua yang berada “di luar” percaya anda, pelajar-pelajar MRSM, adalah yang terbaik. Samada kepercayaan mereka ini betul atau tidak, andalah yang membuktikan atau menafikannya.
Maka anda tiada pilihan melainkan membuktikan anda berbeza dan terbaik.
Saya doakan semoga dengan keberkatan doa, restu dan usaha tanpa jemu semua yang terlibat, pengetua, guru-guru, kaunselor, ibubapa dan yang lebih penting diri anda sendiri, Allah SWT akan memudahkan urusan anda khususnya dalam menghadapi PMR (esok) dan SPM sebulan dari sekarang.
Congratulation, You Did It!