Pages

Wednesday, October 28, 2009

Apa Makna SPM?





22 hari lagi! Itulah tempoh masa yang berbaki untuk adik-adik tingkatan 5 SMK Bukit Rangin, Kuantan, Pahang bersiap sedia bertempur dalam medan perang minda, SPM. Kelihatan ada yang bersemangat tinggi dan tidak kurang juga yang nampak ragu-ragu.
Alhamdulillah, program Motivasi Kemahiran Belajar iMAge (ikut-macam-genius) Modul GempurEXAM! berjaya dilangsungkan dengan sempurna. Team teknikal berbaju biru, kalian hebat, macam pro.
Dalam saat sebegini, tidak dapat dinafikan perasaan bercampur-baur di antara teruja dan risau. Teruja untuk buktikan kepada semua bahawa kita boleh buat yang terbaik dan apabila keputusan yang diumum kelak sama seperti yang disasarkan, maka habuannya lebih menarik.
Itu sebabnya kala saya jerit bertanya “jumpa di mana tahun depan?!” ramai yang menyambut UKM, UM, UiTM, UIA dan macam-macam lagi. Tahniah. Tetapi ada juga yang seolah-olah kebingungan.
Tidak dinafikan, ramai juga rasanya yang dirundung perasaan risau dan ragu-ragu. Risau andai esok tidak mampu menjawab dengan baik dan akhirnya keputusan juga tidak baik atau lebih dasyat, gagal. Orang tua-tua kata "simpang malaikat 44".
Itulah sebabnya saya bertanya kepada adik-adik SMK Bukit Rangin, “SPM untuk apa sebenarnya?” Pelbagai jawapan biasa yang saya terima. Saya jawab ringkas, SPM sebenarnya untuk menguji siapa rajin dan siapa kurang rajin (atau dalam bahasa yang kurang sedap didengar, malas).
Hakikat kehidupan. Yang rajin pasti dapat lebih berbanding yang malas. Dalam apa jua perkara yang kita lakukan itulah formulanya. Belajar, kerja, sukan, bisnes dan macam-macam lagi.
Satu perkara penting yang saya ingatkan adik-adik tempoh hari, dalam tempoh genting ini tangguhkanlah dulu sikap malas yang jelas boleh menjahanamkan masa depan kita.
Syaitan sentiasa berusaha agar kita malas dalam semua perkara. Kemuncak, kita malas menyembah dan mengagungkan Allah swt yang menciptakan dan memberi rezeki yang kita telan setiap hari.
Ingat, syaitan tidak pernah malas untuk menghasut supaya kita menjadi malas semalas-malasnya. Alangkah ruginya kalau kita menjadi bahan mainan syaitan lantaran kebodohan dan kedegilan sendiri.
Untuk berjaya dalam SPM kali ini, adik-adik mestilah serius untuk berjaya. Ramai yang ingin berjaya dalam hidup ini tetapi tidak serius untuk mencapainya. Apa guna pergi memancing (menduduki) di laut (SPM) kalau yang dibawa hanya kail (usaha) panjang sejengkal (sikit). Anda hanya layak memancing dalam mangkuk, kerana anda tidak serius.
Semoga perkongsian pengalaman dan sedikit ilmu di sekolah kalian tempoh hari memberi manfaat yang berpanjangan. Berdoalah mohon kekuatan dan keteguhan iman daripada Allah swt dan pada masa sama jangan lupa mohon restu daripada mereka yang telah banyak berkorban masa, tenaga, perasaan dan wang ringgit semata-mata untuk melihat kita menjadi insan berguna.
Tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah khususnya Unit Bimbingan & Kaunseling di atas kesudian memberi ruang waktu dan tempat untuk saya berkongsi pengalaman berharga dengan adik-adik tingkatan 5 SMK Bukit Rangin.
Best of Luck!!!

No comments:

Post a Comment