Pages

Wednesday, October 28, 2009

Apa Susahnya Senyum?






Untuk apa jua peranan, sebagai pasangan hidup, sahabat, jiran, rakan sekerja, bos, pekerja, imam, doktor, pesakit hatta Perdana Menteri, kita senangi mereka mudah mengukir senyuman.
Itulah perkara yang saya tegaskan kepada 120 peserta Simposium Mini Kepimpinan Islam anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) di Sutra Beach Resort, Setiu, Terengganu minggu lepas. Saya diminta untuk mengupas antaranya mengenai topik kesan imej kendiri positif dalam kerja.
Sewaktu tiba di dewan seminar, apabila pandangan melirik para peserta yang duduk tekun di meja masing-masing, hati kecil saya berbisik sendiri, “kelihatan semuanya agak serius.” Lantas, saya berazam memastikan setiap ‘mulut’ dalam dewan itu akan mengukir senyuman sebentar sahaja lagi. 10 minit berlalu, azam saya dimakbulkan Allah swt. Alhamdulillah.
Soalan saya mudah. Mana satu yang anda senangi, seseorang yang murah atau lokek dengan senyuman?
Saya pasti 100% akan mengundi pilihan pertama. Kenapa? Jawapannya juga mudah, kerana senyuman adalah fitrah kejadian insan. Sebagai makhluk, kita juga diciptakan sama seperti haiwan, miliki mulut dan gigi.
Namun, senyuman hanya mampu diukir oleh manusia. Sama seperti otak, hanya manusia yang boleh berfikir. Cuba bayangkan jika gajah juga boleh senyum dan berfikir, pada hemat anda siapa lagi hebat?
Untuk menampilkan imej diri positif, ia perlu dimulakan dari dalam. Inside out. Apa yang terkandung di dalam kotak fikir dan lubuk hati anda akan terbias melalui penampilan luaran. Jika anda berfikiran positif dan berhati tulus, mungkinkah anda berwajah masam?
Sebagai pimpinan jabatan atau unit tidak kiralah di organisasi manapun, penampilan fizikal yang ceria, berseri dan meyakinkan amat signifikan. Ia melambangkan kewibaaan kita.
Jika berjalan pun mengheret kasut, berucap pun bergetar-getar dan tak tentu hujung pangkal dan jarang sekali senyum, di mana wibawanya kita?
Tak pasti di mana mereka pelajarinya, tetapi acapkali kita berhadapan dengan individu yang bergelar ketua lokek dengan senyuman. Mungkin bagi mereka tidak senyum itu tanda “keketuaan”. Siapa bilang?
Dalam slot saya tempoh hari saya memetik contoh watak diri baginda Rasulullah saw. Baginda pemimpin ulung dalam hampir semua bidang. Peliknya, baginda seringkali digambarkan sebagai insan yang sentiasa tersenyum. Itulah contoh kepimpinan dalam Islam yang sebenar.
Percayalah, jika kita senyum kepada pekerja bawahan, rakan setugas, bos, pelanggan, orang ramai, pesakit hatta kanak-kanak, ia tidak langsung mengurangkan maruah atau wibawa kepimpinan kita bahkan menokoknya.
Justeru, berusahalah menjadi pemimpin yang disegani dan digeruni lantaran senyuman yang sentiasa terukir di wajah membias penampilan diri yang hebat, berwibawa dan bijak.
Senyum itu sedekah.

No comments:

Post a Comment