Pages

Wednesday, October 28, 2009

Trainer Jangan Cuai Aspek Keselamatan.






Mengendalikan program yang melibatkan jumlah peserta yang ramai terutamanya pelajar sekolah samada rendah atau menengah memerlukan penganjur dan pengendali program memiliki kemahiran pengurusan program dan aktiviti luar (outdoor) yang tinggi.
Perkara-perkara asas seperti tenaga jurulatih dan fasilitator terlatih, jumlah peserta, kemudahan logistik, aktiviti dan pengisian program, keadaan cuaca dan tempat serta pemantauan aspek keselamatan mestilah bersesuaian dan diberi perhatian rapi.
Tindakan mengambil mudah aspek-aspek ini boleh mengundang padah yang tidak diduga terutamanya kepada peserta program.
Jumlah peserta yang ramai tidak menjadi masalah sekiranya pengendali program mampu menyediakan tenaga fasilitator mahir yang mencukupi dan kemudahan logistik mampu menampung jumlah peserta yang menyertai program.
Pengendali seharusnya memahami bahawa kemahiran, kepakaran dan tahap pemantauan berbeza diperlukan untuk mengendalikan peserta berbeza mengikut peringkat umur seperti pelajar sekolah rendah, menengah, IPT, belia atau dewasa. Bahkan mengendalikan peserta lelaki dan perempuan juga berbeza.
Dalam program berbentuk perkhemahan yang memerlukan peserta bermalam di dalam bilik atau khemah untuk beberapa hari, faktor pertama yang sepatutnya diberi penekanan dan pemahaman ialah keselamatan diri sepanjang tempoh program.
Pengendali program hendaklah membuat penerangan rapi tentang ciri-ciri dan peraturan keselamatan diawal program. Bukan sekadar menerangkan bahkan perlu dipastikan bahawa setiap peserta memahaminya.
Lazimnya perkara ini akan dilakukan oleh komandan kem dalam slot taklimat program yang diadakan selepas sahaja peserta mendaftar masuk. Selepas itu, amaran dan peringatan akan diulang-ulang beberapa kali sepanjang tempoh program.
Sekiranya peserta adalah pelajar sekolah, pihak sekolah sepatutnya mengambil langkah proaktif untuk membuat taklimat keselamatan pra-program di sekolah masing-masing iaitu sebelum peserta bertolak ke lokasi program. Begitu juga dengan ibubapa.
Pengendali program handaklah memastikan setiap peserta memahami dan mematuhi semua peraturan dan langkah-langkah keselamatan sepanjang program. Perlu diingat bukan semua peserta berpengalaman menghadapi situasi yang melibatkan keselamatan atau kecemasan.
Dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang pada 26 Oktober 2009 lepas, timbul beberapa persoalan tentang peraturan dan kecekapan pemantauan aspek keselamatan dalam program. Walaupun siasatan masih dilakukan tetapi berdasarkan laporan berita beberapa analisis ringkas boleh dibuat.
Pertama, tenaga pengendali program yang memantau keselamatan peserta mungkin tidak mencukupi dan kurang terlatih. Adalah tidak memadai dan berisiko tinggi jika seorang sahaja guru yang bertugas memantau lebih 200 orang pelajar menyeberangi jambatan tersebut ditambah pula pada waktu malam.
Kedua, tahap pemahaman dan pematuhan peraturan keselamatan oleh pengendali dan peserta program khususnya dalam menyeberangi jambatan gantung tersebut juga diragui. Berdasarkan laporan akhbar, beberapa tindakan berikut jelas sekali merupakan tindakan yang amat berisiko tinggi:
i. Sewaktu kejadian dikatakan 30-50 orang peserta sedang berada di atas jambatan tersebut.
ii. Tindakan beberapa orang peserta bermain, menggoyang dan menghenjut jambatan sewaktu menyeberanginya menunjukkan mereka tidak menyedari tindakan tersebut boleh mengundang bahaya.
iii. Cuaca gelap malam, paras air sungai yang tinggi dan arus deras gagal diambil perhatian oleh pengendali program sebagai amaran bahaya dan perlu meningkatkan tahap berjaga-jaga.
Dalam keadaan jumlah peserta yang ramai, mereka sepatutnya dilatih bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil yang terdiri daripada 10-15 orang ahli dan setiap kumpulan handaklah dipantau oleh fasilitator.
Pengalaman penulis mengendalikan program-program berbetuk perkhemahan, para peserta akan diberi amaran agar tidak menghampiri kawasan-kawasan yang dilabel berbahaya dan terlarang (restricted).
Bahkan, papan tanda dan pita amaran bahaya akan dipasang di semua lokasi yang telah dikenal pasti berisiko seperti sungai, gaung, pokok tinggi, semak dan belukar, tangga, jambatan dan lain-lain lebih awal sebelum peserta mendaftar masuk. Beberapa orang fasilitator akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga (standby) sepanjang masa untuk memantau tahap pematuhan peraturan oleh peserta.
Ketiga, pihak pengendali sepatutnya memastikan lokasi program sesuai dan munasabah sebelum mengendalikan sesuatu program.
Fakta peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan jumlah hampir 300 orang, cukup jelas menunjukkan bahawa program tersebut sepatutnya diadakan di tempat yang kurang berisiko.
Menyedari fakta di atas dan keputusan mengadakan program di tempat yang direntangi sungai yang dalam dan deras dengan hanya dihubungkan oleh jambatan gantung, ternyata ada pihak yang gagal membuat pertimbangan menyuluruh sebelum program tersebut diluluskan untuk dianjurkan.

No comments:

Post a Comment