Pages

Wednesday, October 14, 2009

Naluri Kesetiaan Seorang Isteri

Ada orang kata di belakang setiap lelaki yang berjaya pasti ada insan bernama isteri yang menjadi tonggak. Kala senang, gembira, susah atau duka semua diharungi dengan gagah dan tenang oleh seorang lelaki berbekalkan tiupan semangat dan tadahan doa seorang isteri yang setia, sebenarnya.
Saya pernah berkata kepada seseorang, jika ingin lihat kasih sayang seorang isteri yang sejati lihatlah kepada isteri seseorang yang fakir miskin. Tiada sebab untuk seorang wanita untuk ‘kekal’ bersama seseorang suami yang ‘miskin’ kerana dia juga insan biasa punyai hak untuk memilih kehidupannya sendiri. Kehidupan yang bahagia. Dia boleh ‘pergi’ kalau dia mahu.
Tetapi isterilah insan yang dijadikan oleh Allah swt untuk memiliki naluri setia yang tinggi. Dia setia dan sanggup berkorban segala-galanya hatta nyawa sendiri. Bukan sedikit cerita yang kita tahu tentang isteri yang telah berkorban atau terkorban rentetan naluri kesetiaannya kepada insan bernama suami.
Sebagai suami, saya percaya kenyataan di atas. Lantas berusaha saban detik untuk menjadi rakan kongsi hidup yang paling ideal kepada isteri yang setia. Tidak dinafikan, sikap ego lelaki adakala mengatasi kewarasan dalam menghadapi situasi kehidupan. Ada kata yang terlajak dan ada tingkah yang terlebih. Namun, si isteri tetap setia di samping mengukir senyum walau hati mungkin berderai. Hanya Allah swt yang tahu.
Terima kasih kerana setiap hari menjadikan hidup ini lebih bermakna. Itulah ungkapan yang mampu saya berikan kepada isteri yang tercinta. Tahniah di atas kejayaan yang dicapai berkat usaha tanpa jemu dan nekad tanpa mengalah.

3 comments: