Pages

Wednesday, October 14, 2009

Benarkah kita First Class?






First Class!!! Itulah ungkapan yang dilaungkan setiap kali saya bertanya “JKNS Apa?”. Tenaga, komitmen, kesungguhan dan kemahuan yang ditunjukkan oleh hampir semua peserta dalam Kursus Pengukuhan Motivasi Kerja Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) hujung minggu lepas sangat hebat walaupun mereka terdiri daripada latar umur yang berbeza. Seolah-olah semuanya seusia dan tak lebih 27 tahun….
Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menamatkan program dengan jayanya.
Harapan saya semoga apa yang telah dilalui sepanjang program tersebut dapat dihayati, difikirkan dan yang lebih penting diserap menjadi habit atau tabiat diri positif untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, majikan dan siapa saja yang ada kena mengena dengan diri kita.
Saya juga dalam setiap program yang saya kendalikan sentiasa menilai tahap, kemampuan, prestasi dan berusaha untuk menambah baik diri sendiri dari semasa ke semasa. Sama-sama kita lakukan, insyaAllah.
Teringat pula saya kepada “lauk-pauk” dalam program itu hari. Biarlah kehadiran kita umpama gula atau garam dalam gulai (macam Kari Ikan Kaw). Zahir kehadirannya tidak kelihatan tetapi amat memberi kesan. P. Ramlee pernah guna falsafah ini dalam filem Ahmad Albab kalau tak silap saya. Elakkan hadir persis gincu. Hadir menutup kepucatan sekadar mengindahkan paras luaran semata-mata. Sementara.
Siapa pun kita dalam organisasi, anggap dan buatlah sesuatu yang hebat supaya kita penting dan memberi kesan kepada organisasi, tempat kita mencari rezeki. Biar apa orang lain kata atau melihat kita, yang penting kita kenal diri kita sendiri dan tahu apa yang kita lakukan.
Sentiasalah berusaha meningkatkan tahap “kepakaran” kita. Jika kita seorang jurutaip. Jadilah jurutaip pakar. Setiap surat atau dokumen yang kita sediakan tak pernah terdapat kesilapan hatta satu titik noktah walaupun ia disiapkan dalam tempoh yang singkat (mungkin tak lebih 0.56 saat setiap kali, mugkin…).
Sewaktu pertama kali saya pergi ke JKNS Seremban, saya terpaksa pergi ke tandas untuk menyelesaikan ‘urusan’ yang tertunda dari pagi akibat kesuntukan masa mengejar temujanji tepat jam 8.00 pagi. Apabila saya masuk ke tandas lelaki, hasrat saya tertunda sekali lagi. Masakan tidak dengan bau busuk, daki di atas lantai, takungan air kotor, tiada satu mangkuk tandas yang dipam, sinki yang berlumut dan pintu tandas yang bercontengan, berlubang, rosak dan tidak boleh dikunci. Cuba teka apa yang saya fikirkan pada ketika itu?
Dalam keadaan di atas fikiran anda tertala kepada siapa? Sudah pasti anda terfikir tentang petugas-petugas pembersihan (yang biasa kita sebut “Akak Cleaner”). Apa yang mereka buat, pemalas, memalukan dan sebagainya. Sekarang jelaslah apa yang saya maksudkan di atas. Siapa pun kita atau apa pun jawatan kita, kita tetap memberi kesan kepada organisasi dan orang lain walaupun kita hanya seorang pekerja pembersihan. Baik kualiti kerja kita, baiklah kesannya dan begitulah sebaliknya.
Tuan-tuan bertuah kerana ‘cerita tandas’ di atas tidak berlaku di tempat tuan-tuan. Jangan pula selepas ini ada yang “memarahi” petugas-petugas pembersihan di JKNS Seremban, kerana saya tidak pernah maksudkan tandas di JKNS Seremban. Dalam cerita di atas pun, saya tidak kata tandas di JKNS Seremban. Sebenarnya, saya singgah di satu tempat sebelum sampai di bangunan JKNS Seremban.
Letaklah nilai yang tinggi pada diri kita sendiri. Jika kita meletak nilai tinggi pada diri, kita akan sentiasa berfikiran positif, melakukan sesuatu yang berfaedah dan amat jarang menyusahkan orang lain.
Lihat hasil kutipan dalam aktiviti pada petang Sabtu lalu. Kos bahan sebenarnya tidak lebih RM2.00 dan hasil jualan ada yang mencecah RM44.00. Bermakna untung bersih ialah RM42.00, iaitu 21 kali ganda daripada nilai asal.
Dengan nilai-nilai positif yang diserap bersama seperti kerjasama, rajin, tekad, bersungguh-sungguh, kreatif, jelas matlamat, tidak penting diri dan banyak lagi yang lain, kita berjaya menambah nilai sesuatu yang asalnya hanya bernilai RM2.00 kepada sesuatu yang bernilai 21 kali ganda lebih baik.
Bagaimana dengan diri kita sendiri? Bukahkah hebat jika kita juga dapat menggandakan nilai diri kita masing-masing 21 kali ganda lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini. Jom sama-sama kita fikirkan.
Akhirnya, saya berbesar hati memilih Pak Ya dan Kak Norli untuk menerima hadiah istimewa daripada AsasInsan Resources & Training mewakili rakan-rakan peserta yang lain. Tahniah kepada semua. Kepada pasukan pengurusan JKNS yang dipimpin oleh En. Nanthakumaran, saya mewakili AsasInsan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas kepercayaan yang diberikan. Berkat kegigihan semua, JKNS mampu mencapai tahap FIRST CLASS! InsyaAllah.

1 comment:

  1. Salam, Che E, tahniah ats kejayaan isteri...sy slah sorg peserta krsus jknns di pd. Hrp ade pluang utk attend kursus dgn che e lg...mmg best sgt

    ReplyDelete