Pages

Tuesday, October 6, 2009

Anda tiada pilihan...





Itulah kata-kata yang sering saya ungkapkan kepada hampir semua pelajar MRSM yang saya temui. Terbaru kepada hampir 300 orang pelajar tingkatan 3 dan 5 MRSM Batu Pahat, Johor pada 29 & 30 September yang lepas.
Anda tiada pilihan untuk tidak menjadi yang terbaik khususnya dalam PMR dan SPM akan datang. Anda mesti buktikan anda memang yang terbaik.
Kenapa mesti begitu? Bukankah mereka juga insan biasa seperti juga pelajar yang lain. Miliki kekuatan dan kelemahan. Mungkin mampu dan mungkin juga tidak!
Hakikatnya, dengan memilih untuk bergelar pelajar MRSM, anda memilih untuk tidak lagi memiliki pilihan itu, iaitu “sebagai pelajar biasa”. Anda tidak lagi mempunyai ciri-ciri “pelajar biasa”. Keadaan anda berbeza. Bagaimana?
Lihat sahaja pada nama institusi anda, MRSM. Ia memberi persepsi berbeza jika dibandingkan dengan SMK. Pasti nama itu membawa bersamanya pelbagai kelainan dan “kehebatan”. Jika tidak apa perlu ia dinamakan MRSM, cukup sekadar SMKM (Sekolah Menengah Kebangsaan MARA).
Ya, memang benar bukan anda yang menentukan nama itu. Tetapi kerana nama itulah anda mahu dan berusaha untuk menempatkan diri di situ. Tapi anda mungkin berkata pula, apa ada pada nama?
Baiklah, jangan kita lihat pada huruf-huruf yang membentuk nama MRSM itu tapi kita lihat apa yang ada di sebaliknya.
Kerana namanya MRSM kita lihat kepada tujuan ia diwujudkan, kemudahan yang disediakan, dana yang dibelanjakan, syarat-syarat kelayakan kemasukan, pencapaian, tenaga pendidik, ciri-ciri dan prestasi pelajar-pelajarnya.
Ia diwujudkan pasti untuk melahirkan insan-insan hebat yang kenal dan sedar diri. Kenal diri dari segi potensi, kekuatan, kelemahan, kemahuan dan matlamat. Sedar diri untuk sentiasa bersyukur, tidak bongkak, rendah diri dan kaya dengan budi pekerti.
Sedarilah, semua yang berada “di luar” percaya anda, pelajar-pelajar MRSM, adalah yang terbaik. Samada kepercayaan mereka ini betul atau tidak, andalah yang membuktikan atau menafikannya.
Maka anda tiada pilihan melainkan membuktikan anda berbeza dan terbaik.
Saya doakan semoga dengan keberkatan doa, restu dan usaha tanpa jemu semua yang terlibat, pengetua, guru-guru, kaunselor, ibubapa dan yang lebih penting diri anda sendiri, Allah SWT akan memudahkan urusan anda khususnya dalam menghadapi PMR (esok) dan SPM sebulan dari sekarang.
Congratulation, You Did It!

No comments:

Post a Comment