Pages

Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan, Gembira atau Takut?


Allahu Akbar! Ramadhan datang lagi. Gembira atau takut? Yang mana satu perasaan anda?

Gembira kerana muslim sejati yang hatinya dekat dengan Allah swt pasti sedar bahawa Ramadhan tidak datang dengan tangan kosong. Ia datang umpama hadiah dari Allah swt untuk direbut oleh kita. Yang hebatnya, hadiah ini cukup untuk semua dan ia tidak terhad seperti hadiah tempat pertama atau kedua peraduan yang kita menangi di alam dunia ini. Allah swt beri kita kebebasan untuk ambil seberapa banyak yang kita mahu dan mampu. Ambillah. Inilah sebabnya kita gembira apabila Ramadhan tiba.

Takut? Kerana kita bimbang tidak terambil hadiah yang sangat istimewa ini lantaran tertipu dengan keasyikan hadiah dunia. Masih meneruskan apa yang kita lakukan seperti biasa tanpa melakukan sedikit pun ‘adjustment’ dalam aktiviti harian kita agar ada ruang untuk merebut hadiah dari Allah swt yang datang setahun sekali ini. Takut, takut andainya Ramadhan ini kita terlepas lantaran kecuaian dan ia pula Ramadhan yang terakhir.

Allahu akbar! Hidup kita kini berbeza. Ramadhan datang dan ramai daripada kita ada yang gembira dan ada juga yang takut.

Gembira kerana ini tandanya puasa dah tiba dan hari raya tinggal sebulan lagi. Masa untuk makan sepuasnya. Tanda ramai yang gembira lihat sahajalah iklan-iklan di sekeliling kita. “Buffet istimewa Ramadhan” boleh kita lihat di mana-mana sahaja. MasyaAllah, apa sudah jadi. Sejak bila Rasulullah saw mengajar kita Ramadhan adalah bulan untuk makan yang istimewa-istimewa?

Takut? Kerana kita terpaksa berlapar dan pada masa sama kena juga kerja untuk cari duit sebab banyak yang perlu dibelajakan.

Sama-sama kita fikir, yang mana satu kita… Semoga Ramadhan kali ini memberi makna hidup yang besar kepada kita semua. InsyaAllah. Ahlan Ya Ramadhan.

Tuesday, August 11, 2009

Cikgu vs. CEO?






“Kepada Pn. Nurhazreen & En. Ateh. Terima kasih kerana mengunjungi sekolah kami. Banyak maklumat yang dapat diperolehi pada hari ini. I Love U!”. Demikian coretan tangan ringkas, yang saya kira ikhlas, daripada Cikgu Alizah dari SMK Munshi Abdullah, Melaka kepada 2 orang jurulatih AsasInsan dalam program latihan singkat KLIMAK; Klinik Motivasi Peningkatan Kualiti Kerja pada 8 Ogos 2009 yang lalu.

Saya sentiasa menganggap respon daripada peserta-peserta program sebagai tanda penghargaan daripada mereka. Kerana mereka sudi meluangkan waktu untuk berfikir sejenak tentang apa yang telah mereka alami dalam program, dan kemudian menyatakan sesuatu. Soal ia berbentuk pujian, komen atau kutukan, itu sekadar perspektif. Yang penting bagaimana saya melihat, menilai dan memanfaatkan respon-respon tersebut.

Bukan tugas mudah untuk mengendalikan program pembangunan insan untuk golongan hebat yang tugasnya ialah membangunkan manusia. Hari-hari mereka bergelumang dengan manusia. Mereka sangat arif soal manusia. Mereka mengajar, mendidik, melatih, membimbing dan memotivasikan manusia, setiap hari. Jika dia kini berusia 50 tahun cuba bayangkan berapa ramai manusia yang telah ‘dibangunkannya’.

Itulah sebabnya tugas sebagai guru sememangnya hebat. Namun, kenapa ada guru yang malu mengaku sebagai guru? Jika betul profesyen perguruan hebat, kenapa tidak ramai guru lelaki? Pengalaman saya mengendalikan pelbagai program di sekolah-sekolah seluruh negara, secara rawak, daripada 10 sekolah yang saya kunjungi mungkin 7 sekolah CEOnya dipanggil “Puan Pengetua”. Mana pergi lelaki? Adakah guru hanya sesuai untuk kaum Hawa rentetan naluri keibuannya?

Cabaran profesyen perguruan kini sangat hebat jika dibandingkan dengan 15-20 tahun yang lepas. Jika seorang guru tidak cukup arif dengan cabaran sebenar yang didepaninya dia pasti gagal menjadi ‘guru’ hari ini. Tugas guru hari ini bukan lagi mengajar. Guru yang mengajar hari ini tidak lagi relevan. Jika dulu-dulu orang mesti cari guru untuk menjadi ‘tahu’, kini guru tidak diperlukan lagi! Bahkan hari ini, dalam banyak keadaan murid-murid ramai yang lebih ‘tahu’ daripada guru.

Apakah sebenarnya yang saya maksudkan? Bolehkah saudara, sebagai seorang guru, menerima kenyataan saya ini?

Cuba buat perbandingan berikut. Ustaz yang mengajar Pendidikan Islam dengan Cikgu Matematik yang mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. Rasa-rasanya siapa guru yang sebenar?

Saya melihat cabaran guru hari ini bukan lagi berlingkar sekitar isu kebuta-hurufan iaitu memastikan pelajarnya pandai membaca. mengira dan menulis. Tetapi tugas utama guru ialah membangunkan jiwa dan minda pelajarnya agar kekal berjatidiri, bermaruah dan bertamadun. Sekarang ramai anak-anak muda kita belajar bahkan skor A subjek Pendidikan Islam sebagai contoh, tetapi mereka hidup seperti tidak beragama. Lihat sahaja Solat,… bersambung

Monday, August 10, 2009

AIM...






Mengendalikan kursus asas keusahawanan untuk sahabat-sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Kuching memberi saya pengalaman istimewa. Istimewa kerana majoriti mereka seusia ibu dan ayah saya walaupun terdapat juga yang lebih kurang sebaya saya.

Saya kagum melihat kesungguhan mereka ‘belajar’ sepanjang tempoh program selama 3 hari 2 malam di Pusat Latihan TM, Kuching. Melihat keadaan mereka sewaktu tiba di situ saya yakin mereka ‘bersusah payah’ untuk menghadiri kursus tersebut. Mereka terpaksa meninggalkan urusan ‘bisnes’ untuk seketika walaupun mungkin tindakan itu akan menjejaskan pendapatan mereka untuk beberapa hari. Tetapi demi ilmu mereka hadir juga. Saya kagum. Sangat kagum dengan semangat yang ditunjukkan.

Kebanyakan mereka menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga kuih-muih, menjahit, menjual hasil pertanian, katering dan restoran. Ada juga yang membuka kedai komputer, kereta sewa, bengkel membaik pulih kereta dan kedai emas.

Jika mereka telahpun memiliki perniagaan, apa relevannya kursus asas keusahawanan yang saya kendalikan bersama rakan-rakan yang lain kepada sahabat-sahabat AIM ini? Jawapannya mudah, membantu mereka untuk menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya maju dan mereka menjadi peniaga atau usahawan yang berkemahiran dan berpengetahuan. Bukan sekadar peniaga tradisional.

Saya banyak berkongsi pengalaman dengan mereka. Cara menjaga hati dan menambah pelanggan, asas pengurusan kewangan dan pentadbiran, merancang pengembangan perniagaan, strategi pemasaran berkesan dan mengenali potensi diri sebagai usahawan.

Tahniah kepada sahabat-sahabat AIM Kuching! Tahniah juga kepada rakan-rakan trainer, Pak Boi, Pak Reza, Pak Ramli dan Pak Man yang telah bertungkus lumus memastikan kursus tersebut berjaya. Terima kasih kepada INSKEN di atas kepercayaan yang diberikan untuk kami mengendalikan kursus tersebut.