Pages

Monday, August 10, 2009

AIM...






Mengendalikan kursus asas keusahawanan untuk sahabat-sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Kuching memberi saya pengalaman istimewa. Istimewa kerana majoriti mereka seusia ibu dan ayah saya walaupun terdapat juga yang lebih kurang sebaya saya.

Saya kagum melihat kesungguhan mereka ‘belajar’ sepanjang tempoh program selama 3 hari 2 malam di Pusat Latihan TM, Kuching. Melihat keadaan mereka sewaktu tiba di situ saya yakin mereka ‘bersusah payah’ untuk menghadiri kursus tersebut. Mereka terpaksa meninggalkan urusan ‘bisnes’ untuk seketika walaupun mungkin tindakan itu akan menjejaskan pendapatan mereka untuk beberapa hari. Tetapi demi ilmu mereka hadir juga. Saya kagum. Sangat kagum dengan semangat yang ditunjukkan.

Kebanyakan mereka menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga kuih-muih, menjahit, menjual hasil pertanian, katering dan restoran. Ada juga yang membuka kedai komputer, kereta sewa, bengkel membaik pulih kereta dan kedai emas.

Jika mereka telahpun memiliki perniagaan, apa relevannya kursus asas keusahawanan yang saya kendalikan bersama rakan-rakan yang lain kepada sahabat-sahabat AIM ini? Jawapannya mudah, membantu mereka untuk menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya maju dan mereka menjadi peniaga atau usahawan yang berkemahiran dan berpengetahuan. Bukan sekadar peniaga tradisional.

Saya banyak berkongsi pengalaman dengan mereka. Cara menjaga hati dan menambah pelanggan, asas pengurusan kewangan dan pentadbiran, merancang pengembangan perniagaan, strategi pemasaran berkesan dan mengenali potensi diri sebagai usahawan.

Tahniah kepada sahabat-sahabat AIM Kuching! Tahniah juga kepada rakan-rakan trainer, Pak Boi, Pak Reza, Pak Ramli dan Pak Man yang telah bertungkus lumus memastikan kursus tersebut berjaya. Terima kasih kepada INSKEN di atas kepercayaan yang diberikan untuk kami mengendalikan kursus tersebut.

No comments:

Post a Comment