Pages

Monday, December 14, 2009

Masa Untuk Berfikiran Besar!


Beberapa minit selepas program bermula. Cuba kira berapa ramai yang tongkat dagu?


Sekarang, cuba kira berapa ramai pula yang peluk tubuh?


Untuk jadi hebat, lakukan gerak tubuh yang positif. Kurangkan tongkat dagu atau peluk tubuh.


Sentiasalah senyum. Akak ni memang ikhlas senyumannya, itu sebab dia dapat hadiah.


Kan hebat bila tiada lagi yang bertongkat dagu atau berpeluk tubuh. Tahniah kepada semua. UiTMPP Hebat!


Teruja dapat bersama dengan lebih 150 warga kerja UiTM Pulau Pinang dalam program KLIMAK pada hari Khamis minggu lepas. Walaupun agak letih travel, segalanya terubat dengan sambutan yang diberikan.
Tahniah saya ucapkan kepada Puan Alina dan semua rakan peserta kerana berjaya merentasi halangan paling besar hari itu, iaitu halangan minda.
Tempoh hari, saya sempat mengajak rakan peserta semua untuk mengamalkan 4 tip menjadi “SUPERME”. Saya sebenarnya mengajak untuk kita ‘berfikiran besar’ (think big).
Berfikiran besar akan ‘mengeluarkan’ diri kita yang sebenar kerana diri kita adalah produk fikiran kita sendiri.
Menurut Dr. David J. Schwartz dalam bukunya The Magic of Thinking Big, minda kita adalah sebuah kilang yang besar dan hebat sebenarnya. Ia beroperasi mengeluarkan produk (fikiran) dalam jumlah yang tak terbilang banyaknya setiap hari. Produk yang terhasil inilah yang akan membentuk siapa diri anda.
Jika hebat kualiti produk kilang ini, maka hebatlah diri anda. Dan jika rendah kualiti produk kilang ini, maka begitu jugalah diri anda.
Kilang kita ini dikendalikan oleh ‘dua orang pengurus’. Pengurus pertama saya panggil En. Segala Bin Mudah dan yang kedua saya panggil En. Segala Bin Susah. Dr. David memanggilnya Mr. Triumph dan Mr. Defeat.
En. Segala Mudah bertanggungjawab memastikan kilang anda menghasilkan produk yang hebat dan positif. Dia pakar dalam mencari sebab kenapa anda boleh, kenapa anda layak, kenapa anda hebat dan akhirnya memang anda berjaya.
Sebaliknya En. Segala Susah pula pakar dalam menghasilkan produk negatif, lemah dan menggagalkan. Dia pakar memberi anda alasan kenapa anda tak boleh, kenapa anda lemah, kenapa anda tiada kelebihan dan akhirnya memang anda gagal.
Dua orang pengurus kilang anda ini amat setia, rajin dan sensitif. Mereka sentiasa berebut-rebut untuk menerima arahan daripada anda dan akan terus memulakan tugas. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah memberi isyarat mudah.
Jika isyarat positif yang anda berikan maka En. Segala Mudah akan bingkas tampil dan mulakan operasi kilang anda dan begitu jugalah sebaliknya jika isyarat negatif yang anda beri maka sepantas kilat En. Segala Susah akan memulakan tugasnya.
Mari kita cuba teknik mudah memberi isyarat kepada dua orang pengurus ini. Sekarang, fikirkan satu perkara besar yang bakal anda lakukan dan cuba angguk-anggukkan kepala anda. Berhenti. Sekarang, cuba pula geleng-gelengkan kepala anda, dapatkah anda rasakan perbezaan operasi kilang anda?
Sekarang anda pilih siapa yang anda mahu untuk mengurus kilang anda? Siapa pun diri kita sekarang, dengan berfikiran besar, kita boleh menjadi seseorang yang jauh lebih hebat.
Pemimpin-pemimpin kita, bukan semua asalnya ‘seseorang’ seperti mereka hari ini. Tokoh-tokoh korporat dan akademik, ramai di kalangan mereka juga satu masa dulu hanyalah orang biasa yang tidak memiliki apa-apa melainkan satu, fikiran besar.
Dengan pilihan yang tepat, saya, anda dan kita semua boleh menjadi jauh lebih hebat daripada hari ini. Jom buat pilihan hari ini dan saya amat setuju dengan Henry Ford apabila dia berkata “If you think you can or you think you cannot, you are right.” Sebab kita adalah produk minda kita sendiri.

2 comments:

  1. assalamualaikum chek E!

    gambar saya takde. sob sob sob!

    anyway,terima kasih byk2. moga2 perubahan yg berlaku akan terus kekal.

    biar sedikit tp istiqamah.kan?

    ReplyDelete
  2. Salamun A'alaik.....

    My humble view on your article.
    ...Interesting and Excellant.
    ...Lain dari biasa.
    ...Out of the box.
    ...Critical & creative.
    ...Motivated.
    ...It's a training by itself.

    HEBAT!!!!!
    I know you can do it!

    Regards,
    RATUMU @ UMMI3NUR

    ReplyDelete