Pages

Thursday, November 26, 2009

Berkorban KeranaNya

Esok kita akan merayakan Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban atau Eidul Adha. Perayaan ini terasa ‘rayanya’ disebabkan oleh acara korban. Kerbau, lembu dan kambing ‘ditumbangkan’ seekor demi seekor. Di sesetengah tempat unta turut tumbang.
Hikmah ibadah korban ini ia melambangkan tanda syukur dengan berkongsi nikmat rezeki dengan orang lain. Daging-daging korban diagih ke seluruh kampung dan kota. Setidak-tidaknya semua akan merasai nikmat menjamah daging.
Kalau di negara lain terutama negara-negara miskin mungkin tak pelik bunyinya kalau ada rakan muslim kita yang tak mampu makan daging.
Itulah sebab ada negara maju, seperti Australia, mereka tinkan daging-daging korban dan kemudian diagih ke negara-negara yang lebih memerlukan. Saya fikir negara kita juga boleh pertimbangkan perkara ini. Kalau tak bagi luar negara, agih dalam negara pun jadilah dulu sebagai permulaan.
Bukan apa, adalah lebih pelik dan menghairankan sebab di negara kita sendiri pun masih ada saudara seagama kita yang tak mampu membeli daging untuk dijadikan hidangan. Miskin sangatkah kita atau mahal sangatkah harga daging?
Justeru itu, jenguk-jenguk dan pandang-pandanglah. Mana tahu mungkin, jiran depan, tepi atau belakang kita termasuk dalam kategori yang saya maksudkan di atas. Apatah lagi jika kita memakai lencana ADUN dan sebagainya. Saya tak pasti apa dosa yang bakal kita tanggung kalau terlepas pandang keadaan ini. Janganlah kita tunggu sehingga jiran sekampung kita tersiar dalam tv atau surat khabar baru nak hulur sesuatu. Itu tak ikhlas dan tak jujur namanya.
Esok, kalau kita turun padang (surau dan masjid) untuk tolong aktiviti korban, ikhlaskanlah nawaitu masing-masing keranaNya. Bukan kerana inginkan bahagian peha, daging manis, tulang, ekor atau ‘anu’ ternakan korban yang telah ditumbangkan.
Semoga Allah swt merahmati dan memberkati kerja-kerja kita yang ikhlas keranaNya.
Kullu ‘am wa antum bi khair.

No comments:

Post a Comment