Pages

Thursday, November 26, 2009

Berkorban KeranaNya

Esok kita akan merayakan Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban atau Eidul Adha. Perayaan ini terasa ‘rayanya’ disebabkan oleh acara korban. Kerbau, lembu dan kambing ‘ditumbangkan’ seekor demi seekor. Di sesetengah tempat unta turut tumbang.
Hikmah ibadah korban ini ia melambangkan tanda syukur dengan berkongsi nikmat rezeki dengan orang lain. Daging-daging korban diagih ke seluruh kampung dan kota. Setidak-tidaknya semua akan merasai nikmat menjamah daging.
Kalau di negara lain terutama negara-negara miskin mungkin tak pelik bunyinya kalau ada rakan muslim kita yang tak mampu makan daging.
Itulah sebab ada negara maju, seperti Australia, mereka tinkan daging-daging korban dan kemudian diagih ke negara-negara yang lebih memerlukan. Saya fikir negara kita juga boleh pertimbangkan perkara ini. Kalau tak bagi luar negara, agih dalam negara pun jadilah dulu sebagai permulaan.
Bukan apa, adalah lebih pelik dan menghairankan sebab di negara kita sendiri pun masih ada saudara seagama kita yang tak mampu membeli daging untuk dijadikan hidangan. Miskin sangatkah kita atau mahal sangatkah harga daging?
Justeru itu, jenguk-jenguk dan pandang-pandanglah. Mana tahu mungkin, jiran depan, tepi atau belakang kita termasuk dalam kategori yang saya maksudkan di atas. Apatah lagi jika kita memakai lencana ADUN dan sebagainya. Saya tak pasti apa dosa yang bakal kita tanggung kalau terlepas pandang keadaan ini. Janganlah kita tunggu sehingga jiran sekampung kita tersiar dalam tv atau surat khabar baru nak hulur sesuatu. Itu tak ikhlas dan tak jujur namanya.
Esok, kalau kita turun padang (surau dan masjid) untuk tolong aktiviti korban, ikhlaskanlah nawaitu masing-masing keranaNya. Bukan kerana inginkan bahagian peha, daging manis, tulang, ekor atau ‘anu’ ternakan korban yang telah ditumbangkan.
Semoga Allah swt merahmati dan memberkati kerja-kerja kita yang ikhlas keranaNya.
Kullu ‘am wa antum bi khair.

Tuesday, November 17, 2009

SPM 2009, doa semua kami dambakan.


Selamat Berjuang!

Inilah masa yang ditunggu-tunggu untuk
membuktikan usaha selama ini bukan satu yang sia-sia.

Ibu, ayah, cikgu, rakan dan siapa sahaja ketahuilah saya akan buktikan bahawa
saya bukan seperti yang kalian fikirkan!!!

SPM 2009... AKU DATANG!!!!

Ikhlas drpd
Abang E & Kakitangan
AsasInsan Resources & Training

Anda pelajar universiti!





“Anda bukan pelajar KUIS dan anda bukan penerima bantuan zakat, tetapi anda adalah pelajar universiti!”
Itulah tegasan saya kepada hampir 100 orang mahasiswa KUIS tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Lembah Azween Resort 3 hari lalu. Apa sebenarnya maksud saya dan kenapa saya berkata demikian?
Universiti sebagai gedung ilmu adalah medan terbaik untuk seseorang mahasiswa menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman sebagai bekalan kehidupan sehingga ke akhir hayat. Bukan setakat hayat di dunia tetapi juga hayat abadi di alam baqa’.
Adalah satu kerugian paling besar dan malang jika melangkah masuk ke universiti bersama-sama minda yang ‘terkapsul’. Jika ini keadaan kita, maka universiti tidak lebih sebagai satu tempat singgah dan rehat semata-mata.
Ada insan yang tidak pernah berpeluang belajar tinggi dek kerana nasib tidak menyebelahi tetapi punyai corak fikir yang hebat dan luar biasa. Mereka mampu hidup bahagia dan membahagiakan orang lain.
Tetapi ramai juga manusia yang bergelar siswazah atau istilahnya ‘educated’ (terpelajar) akhirnya sangat menyusahkan hidup orang lain. Mereka sebenarnya bukan terpelajar tetapi sekadar terbelajar.
Cara dan kebolehan kita berfikir sepatutnya berkembang sejajar dengan perkembangan status pelajaran kita. Semakin terpelajar semakin matang, berani, kreatif dan berimpak.
Sebagai warga universiti kita seharusnya mampu menjana buah fikir yang bermanfaat melangkaui keperluan peribadi semata-mata. Idea yang boleh memberi kesan merubah. Merubah daripada keadaan kurang baik kepada lebih baik dan daripada baik kepada terbaik.
Universiti bukan dunia nota dan exam. Universiti adalah dunia sebenar dan jika ini dijadikan tunjang pemikiran, anda mampu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengalaman yang diperlukan untuk mengubah apa yang anda mahu. Mengubah keadaan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.
Sejak di universiti inspirasi saya ialah kata-kata Almarhum Bapak Mohammad Natsir (bekas Perdana Menteri Indonesia); “Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannaya lalu diterima dan didukung oleh umat.” (Mohammad Natsir Pemandu Umat dipetik oleh Dr. Siddiq Fadil dalam Kepimpinan Melayu Era Perubahan, IKD 1993).
Mulai hari ini hapuskan kapsul minda yang merugikan. Semoga kalian berjaya keluar sebagai graduan dunia yang hebat persis nama Kolej UNIVERSITI Islam ANTARABANGSA Selangor.

Bangga diri?




Bersemangat. Itulah gambaran yang boleh saya berikan kepada peserta-peserta program KLIMAK@Carrefour yang saya kendalikan minggu lepas di The Summit Hotel, USJ. Terima kasih buat En. Fauzi dan En. Ahmad di atas kepercayaan yang diberikan. Tak lupa buat Pn. Azwina yang setia menyokong.
Sepanjang program dijalankan bukan setakat Zul tetapi Alan, Siva, Ameer, Yau, Zul Kuantan, Aida, Ameli, Louis, Nor, Syarul, Kali, Ateh dan Choo menunjukkan satu semangat yang jarang dapat saya lihat dalam program-program lain yang saya kendalikan sebelum ini. Jeritan “AKU HEBAT!!!” kalian kedengaran sangat tulen. Tahniah buat kalian semua. Dalam ramai-ramai saya pilih Kali untuk mewakili kalian menerima hadiah daripada saya.
Di manapun berada kita boleh jadi hebat jika kita mahu. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Sering memberi alasan akan melambatkan proses kejayaan. Lebih dasyat lagi, anda mungkin akan terus gagal menemui kejayaan. Kenapa?
Walaupun kita berfikir sewaktu mencari alasan, tetapi aktiviti berfikir ini hanya mengembangkan bahagian negatif dalam minda anda. Itulah punca individu yang suka mengeluh lazimnya sukar maju.
Oleh itu, latih diri setiap hari untuk mengembangkan bahagian positif dalam minda kita. Ucapan terima kasih, senyuman dan ungkapan kata-kata semangat kepada diri sendiri akan merangsang minda untuk menjadi positif dan hebat tidak kiralah apa jua jenis kerja yang kita lakukan.
Peluang menjadi sebahagian daripada Carrefour patut dimanfaatkan sebaik mungkin. Sememangnya tidak ada kerja yang mudah. Jika anda mahukan sesuatu yang mudah anda tidak berhak hidup di dunia ini kerana melahirkan anda sahaja bukan suatu yang mudah.
Cabar diri kita untuk sentiasa melakukan perkara yang sukar. Perkara yang sukar jika sering dilakukan juga akan menjadi enteng. Akhirnya anda perlu mencari kerja sukar yang lain pula. Begitulah seterusnya sehingga anda benar-benar puas dengan apa yang telah anda lakukan. Pada saat itu kejayaan telah menjadi milik anda.
Berbanggalah dengan diri anda hari ini.

Thursday, November 5, 2009

Jom sertai hari ini!


JOM JADI HEBAT!

Perhebatkan potensi diri untuk menjadi
seorang ayah, ibu, anak, bos, pekerja,
mahasiswa, pelajar hatta penganggur yang luar biasa!

Kini anda boleh layari


untuk dapatkan info terkini berkenaan
Siri Klinik Motivasi Pengupayaan Kendiri
anjuran AsasInsan Resources & Training.

Semoga mendapat manfaat.

Terima kasih.
Unit Pemasaran & Pengurusan Program