Pages

Tuesday, November 17, 2009

Anda pelajar universiti!





“Anda bukan pelajar KUIS dan anda bukan penerima bantuan zakat, tetapi anda adalah pelajar universiti!”
Itulah tegasan saya kepada hampir 100 orang mahasiswa KUIS tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Lembah Azween Resort 3 hari lalu. Apa sebenarnya maksud saya dan kenapa saya berkata demikian?
Universiti sebagai gedung ilmu adalah medan terbaik untuk seseorang mahasiswa menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman sebagai bekalan kehidupan sehingga ke akhir hayat. Bukan setakat hayat di dunia tetapi juga hayat abadi di alam baqa’.
Adalah satu kerugian paling besar dan malang jika melangkah masuk ke universiti bersama-sama minda yang ‘terkapsul’. Jika ini keadaan kita, maka universiti tidak lebih sebagai satu tempat singgah dan rehat semata-mata.
Ada insan yang tidak pernah berpeluang belajar tinggi dek kerana nasib tidak menyebelahi tetapi punyai corak fikir yang hebat dan luar biasa. Mereka mampu hidup bahagia dan membahagiakan orang lain.
Tetapi ramai juga manusia yang bergelar siswazah atau istilahnya ‘educated’ (terpelajar) akhirnya sangat menyusahkan hidup orang lain. Mereka sebenarnya bukan terpelajar tetapi sekadar terbelajar.
Cara dan kebolehan kita berfikir sepatutnya berkembang sejajar dengan perkembangan status pelajaran kita. Semakin terpelajar semakin matang, berani, kreatif dan berimpak.
Sebagai warga universiti kita seharusnya mampu menjana buah fikir yang bermanfaat melangkaui keperluan peribadi semata-mata. Idea yang boleh memberi kesan merubah. Merubah daripada keadaan kurang baik kepada lebih baik dan daripada baik kepada terbaik.
Universiti bukan dunia nota dan exam. Universiti adalah dunia sebenar dan jika ini dijadikan tunjang pemikiran, anda mampu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengalaman yang diperlukan untuk mengubah apa yang anda mahu. Mengubah keadaan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.
Sejak di universiti inspirasi saya ialah kata-kata Almarhum Bapak Mohammad Natsir (bekas Perdana Menteri Indonesia); “Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannaya lalu diterima dan didukung oleh umat.” (Mohammad Natsir Pemandu Umat dipetik oleh Dr. Siddiq Fadil dalam Kepimpinan Melayu Era Perubahan, IKD 1993).
Mulai hari ini hapuskan kapsul minda yang merugikan. Semoga kalian berjaya keluar sebagai graduan dunia yang hebat persis nama Kolej UNIVERSITI Islam ANTARABANGSA Selangor.

No comments:

Post a Comment