Pages

Showing posts with label Pekerja. Show all posts
Showing posts with label Pekerja. Show all posts

Sunday, January 23, 2011

Apa yang kau tahu pasal padi?

Bengkel Peningkatan Hasil Padi...? Eh..E u tau apa pasal padi nak bagi talk dalam bengkel tu? Tanya seorang rakan baru-baru ini apabila dia mengetahui saya dijemput oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor untuk bersama menjayakan bengkel tersebut pada penghujung 2010 yang lalu.

Memanglah aku tak berapa tahu tentang padi sebab itu bukan bidang aku... tapi yang pasti kita di Malaysia ni perlu padi setiap hari! Betul tak?

Bendang, sekolah, syarikat, bisnes, universiti, masjid semuanya adalah medan untuk kita. Medan untuk menterjemah apa yang kita tahu. Medan untuk kita buat apa yang kita tahu, Medan tempat kita berikan yang terbaik daripada apa yang kita ada.

Satu pengalaman unik dan menarik apabila saya berpeluang bersua dan berkongsi pengalaman dengan para petani yang majoritinya mengusahakan sawah padi di daerah Kuala Selangor, tiada beza sebenarnya antara pesawah dengan pegawai. Sama sahaja!

Sama macam mana? Mudah! Siapa mahukan yang terbaik akan berikan yang terbaik dan semestinyalah dia menjadi dan melakukan yang terbaik.

Saya berkongsi formula sukses oleh Brad Sugars (motivator jutawan antarabangsa)  dengan mereka iaitu BE x DO = HAVE. Untuk memiliki yang terbaik, sebagai contoh hasil padi yang terbaik, kita perlu buat atau lakukan apa yang sepatutnya dengan cara yang terbaik. Dan sebelum itu kita perlulah menjadi diri kita yang terbaik! kalau pesawah, pesawah terbaik, kalau pegawai, pegawai terbaik!

Terima kasih daun keladi kepada JPNS khususnya kepada Alumni AsasInsan Pn. Helaliah dan semua peserta bengkel tempoh hari. Semoga ukhwah kita berkekalan. Jemputlah sertai Seminar Mak Ayah Sayang Kamu.. hujung bulan Mac ini... Wallahu A'lam

Thursday, October 21, 2010

Apa budaya korporat anda?


BUDAYA korporat bermaksud nilai yang dibudayakan dalam konteks suatu perusahaan. Nilai yang disepakati dan dihayati bersama itulah menjadi teras budaya korporat, lalu melahirkan sikap dan perilaku unik serta tersendiri, berbeza daripada korporat lain terutama yang menjadi saingan.

Itulah antara tafsiran budaya korporat yang saya dapat sewaktu membuat sedikit research sebelum mengendalikan Kursus Motivasi Budaya Korporat untuk kakitangan Hospital Mersing baru-baru ini. Secara harfiah memang sedikit sukar untuk difahami.


Untuk memudahkan pemahaman tentang budaya korporat, saya beri satu formula mudah untuk fahaminya iaitu 'budaya korporat adalah budaya diri anda sendiri'.


Ia kurang berhasil jika budaya korporat tempat kerja anda menekankan budaya SENTIASA SENYUM tetapi anda secara peribadi sukar untuk senyum. Senyum perlu menjadi budaya anda barulah ia boleh menjadi budaya korporat yang berhasil.


Cuba lihat jurutol setiap kali anda mengambil tiket tol atau buat bayaran tol, berapa ramai yang melontarkan senyuman ke arah anda? Sedangkan saya percaya majikan mereka sememangnya menekankan SENYUM sebagai budaya kerja atau budaya korporat mereka.


Bicara soal budaya korporat di hospital, saya yakin SENYUM amat relevan. SENYUM itu berjangkit sama macam penyakit. Bezanya, SENYUM akan mengurangkan rasa sakit. Dan tanpa SENYUM ia akan menyebakan sakit yang kita tanggung semakin perit.


Sama-samalah kita renungkan. Apa budaya korporat kita?


Thursday, June 24, 2010

Apa Ada Dalam Kotak?

Apa ada dalam kotak? Itulah soalan yang rasanya lebih 10 kali saya tanya kepada para peserta dalam Kursus Effective Leadership for Senior Allied Health Managers di Institut Pengurusan Kesihatan, Bangsar pada 16 Jun lepas.

Macam-macam jawapan (tekaan) yang saya terima. Ada yang logik dan ada juga yang memerlukan tahap fikiran tinggi untuk menafsirkannya.

Sebelum program tamat, saya akhirnya mendedahkan apa yang terkandung di dalam kotak tersebut. Saya tak pasti samada para peserta itu hari ‘terperanjat’ atau tidak dengan ‘benda’ dalam kotak yang saya tunjukkan. Cuma yang pasti ‘benda’ tersebut sangat luar biasa dan magis. Boleh mengubah apa saja yang kita mahu. Termasuklah melihat dan menentukan masa depan.

Buktinya, dua orang yang volunteer utk berkongsi cerita masa depan sblm program tamat itu hari jelas sekali menunjukkan magiknya benda dalam kota tersebut. Yang seorang bakal memperoleh RM20 ribu sebulan dan yang seorang lagi akan dapat kumpul lebih kurang RM200 ribu selepas lima tahun dari tarikh 17 Jun 2010. Bagaimana mereka boleh melakukannya dengan hanya bergaji lebih kurang RM3000 sebulan? Hanya dengan menggunakan benda dalam kotak itu.

Samada Lim dan Kamil (maaf klu tersilap nama) betul-betul dpt apa yang mereka katakan, kita tunggu 16 Jun 2015! Sesiapa yang sanggup tunggu, tunggu.

Dalam kehidupan kita sebagai pekerja, satu perkara yang mesti kita faham iaitu kita berkerja untuk membina kehidupan dan masa depan. Jika bekerja untuk cari duit atau buat kerja untuk orang lain, kita tidak akan bahagia kerana tidak pernah dan tidak akan gembira dengan apa yang kita lakukan.

Tempoh hari saya katakan bahawa pendapatan boleh bertambah dengan hanya membaca buku beberapa minit sehari. Ia hanya akan terbukti betul jika kita bekerja untuk membina kehidupan dan masa depan. 


Jika kita bekerja sekadar untuk membolehkan kita cucuk dinding dan keluar duit hujung bulan maka, anda masih belum kenal diri anda dan anda masih belum menggunakan potensi diri anda yang sebenar. Jadi, tunggu apa lagi, berusahalah untuk lebih kenal diri anda hari ini!

Pimpinlah diri kita agar kita mampu memimpin!

Wednesday, December 30, 2009

2010 tahun untuk mendengar?

Amboi-amboi Sister Jamilah, bukan main teruja lagi macam dah setahun tak jumpa ye.
Magis Kuasa Sentuhan. Hilangkan rasa gusar, syak wasangka dan rasa lebih dihargai.
Tumpuan yang diberikan oleh beliau amat saya hargai. Jangan lupa emel saya untuk dapat hadiah.
Macam-macam gaya, superman, ultraman, power rangers semua terkeluar! Itu potensi dalaman yang terpendam.
Pn. Haryani, Pn. Tan, Pn. Salbiah, En. Haikal, Pn. Jamilah... terima kasih daun keladi. Doakan kita berjumpa lagi.


Sejauh mana kita mahir mendengar atau sejauh mana kita sedar bahawa mendengar itu penting?


Dalam program KLIMAK di Hospital Kluang pada 16 Disember lepas, saya meminta para peserta untuk memilih seseorang dalam dewan program yang sangat mereka kagumi atau hargai. Tuliskan namanya dan 3 sebab kenapa dia dikagumi atau dihargai. Pada peringkat ini reaksi peserta biasa sahaja dan tanpa banyak soal terus menulis.


Kemudian, saya minta mereka mencari orang tersebut dan bacakan 3 sebab tersebut kepadanya. Pada ketika ini, reaksi mula berbeza. Terpancar riak terkejut, ragu-ragu, malu, kurang yakin, teruja, seronok, tak sabar-sabar dan macam-macam lagi. Ternyata, apabila orang lain mula ‘mendengar’ isi hati kita, ada tindak balas berbeza pada minda dan emosi kita.


Dalam keadaan kita hari ini, saya fikir ramai daripada kita termasuklah saya sering terlepas pandang perkara ini. Masakan tidak, bermula dari pagi seluruh penumpuan kita berikan kepada tugasan yang perlu disiapkan segera samada untuk tatapan bos, klien, penonton, tetamu, pesakit, rakyat atau siapa sahaja yang penting dalam kerja kita. Kesibukan menyebabkan kita sering ‘terlupa mendengar’.


Mendengar penting dalam membina hubungan dengan orang lain samada dalam keluarga mahupun di tempat kerja. Apakah kemahiran penting bagi seorang wakil rakyat yang hebat, menutur kata bicara yang memukau atau mendengar dengan penuh tumpuan? Adakah kemahiran ini yang dimiliki oleh wakil-wakil rakyat kita, yang jelas mahukan dirinya didengar sewaktu kempen pilihanraya?


Bagi seorang doktor atau jururawat, kepakaran mereka mendiagnos, merawat dan memberi ubat sememangnya penting. Tetapi kemahiran pertama yang lebih penting ialah mendengar. Saya lebih suka ‘berurusan’ dengan doktor yang terlebih dahulu ingin mendengar dengan tumpuan apa yang ingin saya katakan daripada doktor yang tidak sabar-sabar ingin memeriksa dan mencatat diagnosisnya dalam kad rekod rawatan saya. Saya fikir anda juga begitu.


Anda yang keletihan sehari suntuk berkerja baru sahaja melangkah masuk rumah. Belum pun sempat membuka sarung kaki anak anda berlari meluru ke arah anda sambil membawa sesuatu untuk ditunjukkan kepada anda. “Ayah penatlah Aiman… Aiman pergi main kat bilik ye atau tengok tv ada cerita best kat tv tu, nanti ayah tengok, ok.” Itulah reaksi kebanyakan daripada kita apabila berhadapan situasi ini. Apa yang diperlukan oleh si anak sebenarnya hanyalah 1 minit daripada masa kita untuk mendengar apa yang ingin dia katakan. Tetapi bukan ‘mendengar’ yang kita beri sebaliknya arahan.



Mendengar akan meningkat harga diri seseorang. Kita lebih rasa dihargai jika orang mendengar apa yang kita bicarakan. Dengan mendengar bermakna kita mengiktiraf dan menghargai orang lain. Kita ingin dihargai maka hendaklah kita terlebih dahulu menghargai. Bukannya susah, hanya dengan mendengar.


Mendengar juga boleh mengurangkan stress, mengelakkan konflik dan meningkatkan kemahiran untuk menangani individu lain. Kurang kemahiran mendengar boleh menyebabkan kita membuat kerja dua kali, salah faham, memendam perasaan, kekeliruan, kehilangan maklumat penting, menyebabkan rasa malu, kecewa, ganggguan emosi dan pertelingkahan antara individu (Abdul Jalil Hassan, 2006).


Bagaimana dengan pencapaian diri anda setakat hari ini? Adakah anda berpuas hati? Jika belum, mungkin perkara pertama yang perlu kita lakukan sebagai memulakan tahun baru 2010 ini ialah dengan mendengar. Mendengar isi hati orang yang penting di sekeliling kita.


Sebagai perkerja bawahan kita sering mengeluh bos tak mahu dengar cakap kita. Tetapi cuba kita nilai kembali adakah kita telah cukup mendengar isi hati bos kita? Saya yakin jika kita benar-benar mendengar bos kita, dia pasti akan mendengar kita.


Samalah juga kita yang bergelar ibu dan ayah sering mengeluh anak-anak degil tak mahu dengar cakap kita. Cuba kita selusuri dari awal, adakah kita telah cukup mendengar mereka?


Pelbagai cerita rakyat dari isu jual anak, rumah terbengkalai, kemalangan bas-bas ekspres, kehilangan enjin kapal terbang, tanah runtuh, bonus, kes-kes jenayah berat dan ratusan lagi yang lain saban hari menjadi bahan paparan media adalah isi-isi hati yang menuntut untuk didengar. Soalnya siapa yang benar-benar mahu mendengar.


Saya tidak pasti apa akan berlaku jika kita mula mendengar. Tetapi saya yakin dengan menjadi lebih mendengar kita akan menjadi lebih prihatin, sensitif, terbuka dan positif. Bukankah ini yang kita mahukan. Dengan hanya tinggal 10 tahun lagi untuk menjengah tahun 2020 yang kita jangkakan kita akan jadi ‘maju’, mungkin kita patut benar-benar mendengar apa orang luar dan dalam kata tentang diri kita yang sebenar.


Sebagai seorang muslim, kehidupan kita mestilah bergerak selari dengan panduan yang termaktub dalam Al Quran Al Karim dan hadith Nabi SAW. Panduannya jelas. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.” (An Nahl : 108).


Dalam surah Al Anfaal : 21-22, Allah berfirman yang bermaksud “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafiq) yang berkata: Kami dengar, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, di sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).


Terlupakah kita, nikmat iman yang kita ‘terima’ hari ini juga sebenarnya amat berkait dan signifikan dengan kemahiran mendengar. Al Quran yang menjadi panduan kita hari ini kita terima daripada Nabi Muhammad SAW seorang yang ummiy (buta huruf) yang telah mengerah seluruh kemahiran mendengarnya dalam menerima setiap ayat Kalam Allah yang diwahyukan kepadanya melalui perantaraan Jibrail as. Akhirnya kita beriman dan semoga anak cucu generasi akan datang juga kekal beriman sehingga akhirnya masa berhenti berdetik.


40% masa seseorang digunakan untuk dengar berbanding bercakap sebanyak 35%. Namun, seseorang hanya mendengar 25% daripada apa yang dia dengar. Selama ini kita mungkin dengar apa yang isteri, anak, staf, rakan, musuh atau pesaing katakan kepada kita. Mungkin itulah puncanya kita sukar membina hubungan yang hebat sesama insan. Kita hanya dengar dan bukannya mendengar. “I know you believe, you understand what I said, but I’m not sure you realize that what you heard is not what I meant.” Saya petik kata-kata Madelyn Burley-Allen dalam buku yang tajuknya saya tulis di bawah.


Oleh itu, untuk menjana pencapaian yang lebih hebat dalam tempoh 365 hari yang berikut ini, saya fikir setiap kita perlu menilai kembali kemahiran mendengar masing-masing. Kenal pasti kelemahan selama ini dan pelajari cara yang betul dalam mendengar. Ia sangat mudah.


Jika selama ini anda fikir mendengar hanya dengan telinga, ternyata perenggan sebelum ini tepat, anda perlu menilai kembali kemahiran mendengar anda. Saya cadang sebagai permulaan mungkin kita boleh cari, beli dan baca buku ini, Bukan Pekak Tapi Tak Dengar tulisan Abdul Jalil Hassan.


Selamat Tahun Baru 2010 dan Selamat Mendengar.

Monday, December 14, 2009

Masa Untuk Berfikiran Besar!


Beberapa minit selepas program bermula. Cuba kira berapa ramai yang tongkat dagu?


Sekarang, cuba kira berapa ramai pula yang peluk tubuh?


Untuk jadi hebat, lakukan gerak tubuh yang positif. Kurangkan tongkat dagu atau peluk tubuh.


Sentiasalah senyum. Akak ni memang ikhlas senyumannya, itu sebab dia dapat hadiah.


Kan hebat bila tiada lagi yang bertongkat dagu atau berpeluk tubuh. Tahniah kepada semua. UiTMPP Hebat!


Teruja dapat bersama dengan lebih 150 warga kerja UiTM Pulau Pinang dalam program KLIMAK pada hari Khamis minggu lepas. Walaupun agak letih travel, segalanya terubat dengan sambutan yang diberikan.
Tahniah saya ucapkan kepada Puan Alina dan semua rakan peserta kerana berjaya merentasi halangan paling besar hari itu, iaitu halangan minda.
Tempoh hari, saya sempat mengajak rakan peserta semua untuk mengamalkan 4 tip menjadi “SUPERME”. Saya sebenarnya mengajak untuk kita ‘berfikiran besar’ (think big).
Berfikiran besar akan ‘mengeluarkan’ diri kita yang sebenar kerana diri kita adalah produk fikiran kita sendiri.
Menurut Dr. David J. Schwartz dalam bukunya The Magic of Thinking Big, minda kita adalah sebuah kilang yang besar dan hebat sebenarnya. Ia beroperasi mengeluarkan produk (fikiran) dalam jumlah yang tak terbilang banyaknya setiap hari. Produk yang terhasil inilah yang akan membentuk siapa diri anda.
Jika hebat kualiti produk kilang ini, maka hebatlah diri anda. Dan jika rendah kualiti produk kilang ini, maka begitu jugalah diri anda.
Kilang kita ini dikendalikan oleh ‘dua orang pengurus’. Pengurus pertama saya panggil En. Segala Bin Mudah dan yang kedua saya panggil En. Segala Bin Susah. Dr. David memanggilnya Mr. Triumph dan Mr. Defeat.
En. Segala Mudah bertanggungjawab memastikan kilang anda menghasilkan produk yang hebat dan positif. Dia pakar dalam mencari sebab kenapa anda boleh, kenapa anda layak, kenapa anda hebat dan akhirnya memang anda berjaya.
Sebaliknya En. Segala Susah pula pakar dalam menghasilkan produk negatif, lemah dan menggagalkan. Dia pakar memberi anda alasan kenapa anda tak boleh, kenapa anda lemah, kenapa anda tiada kelebihan dan akhirnya memang anda gagal.
Dua orang pengurus kilang anda ini amat setia, rajin dan sensitif. Mereka sentiasa berebut-rebut untuk menerima arahan daripada anda dan akan terus memulakan tugas. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah memberi isyarat mudah.
Jika isyarat positif yang anda berikan maka En. Segala Mudah akan bingkas tampil dan mulakan operasi kilang anda dan begitu jugalah sebaliknya jika isyarat negatif yang anda beri maka sepantas kilat En. Segala Susah akan memulakan tugasnya.
Mari kita cuba teknik mudah memberi isyarat kepada dua orang pengurus ini. Sekarang, fikirkan satu perkara besar yang bakal anda lakukan dan cuba angguk-anggukkan kepala anda. Berhenti. Sekarang, cuba pula geleng-gelengkan kepala anda, dapatkah anda rasakan perbezaan operasi kilang anda?
Sekarang anda pilih siapa yang anda mahu untuk mengurus kilang anda? Siapa pun diri kita sekarang, dengan berfikiran besar, kita boleh menjadi seseorang yang jauh lebih hebat.
Pemimpin-pemimpin kita, bukan semua asalnya ‘seseorang’ seperti mereka hari ini. Tokoh-tokoh korporat dan akademik, ramai di kalangan mereka juga satu masa dulu hanyalah orang biasa yang tidak memiliki apa-apa melainkan satu, fikiran besar.
Dengan pilihan yang tepat, saya, anda dan kita semua boleh menjadi jauh lebih hebat daripada hari ini. Jom buat pilihan hari ini dan saya amat setuju dengan Henry Ford apabila dia berkata “If you think you can or you think you cannot, you are right.” Sebab kita adalah produk minda kita sendiri.

Tuesday, November 17, 2009

Bangga diri?




Bersemangat. Itulah gambaran yang boleh saya berikan kepada peserta-peserta program KLIMAK@Carrefour yang saya kendalikan minggu lepas di The Summit Hotel, USJ. Terima kasih buat En. Fauzi dan En. Ahmad di atas kepercayaan yang diberikan. Tak lupa buat Pn. Azwina yang setia menyokong.
Sepanjang program dijalankan bukan setakat Zul tetapi Alan, Siva, Ameer, Yau, Zul Kuantan, Aida, Ameli, Louis, Nor, Syarul, Kali, Ateh dan Choo menunjukkan satu semangat yang jarang dapat saya lihat dalam program-program lain yang saya kendalikan sebelum ini. Jeritan “AKU HEBAT!!!” kalian kedengaran sangat tulen. Tahniah buat kalian semua. Dalam ramai-ramai saya pilih Kali untuk mewakili kalian menerima hadiah daripada saya.
Di manapun berada kita boleh jadi hebat jika kita mahu. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Sering memberi alasan akan melambatkan proses kejayaan. Lebih dasyat lagi, anda mungkin akan terus gagal menemui kejayaan. Kenapa?
Walaupun kita berfikir sewaktu mencari alasan, tetapi aktiviti berfikir ini hanya mengembangkan bahagian negatif dalam minda anda. Itulah punca individu yang suka mengeluh lazimnya sukar maju.
Oleh itu, latih diri setiap hari untuk mengembangkan bahagian positif dalam minda kita. Ucapan terima kasih, senyuman dan ungkapan kata-kata semangat kepada diri sendiri akan merangsang minda untuk menjadi positif dan hebat tidak kiralah apa jua jenis kerja yang kita lakukan.
Peluang menjadi sebahagian daripada Carrefour patut dimanfaatkan sebaik mungkin. Sememangnya tidak ada kerja yang mudah. Jika anda mahukan sesuatu yang mudah anda tidak berhak hidup di dunia ini kerana melahirkan anda sahaja bukan suatu yang mudah.
Cabar diri kita untuk sentiasa melakukan perkara yang sukar. Perkara yang sukar jika sering dilakukan juga akan menjadi enteng. Akhirnya anda perlu mencari kerja sukar yang lain pula. Begitulah seterusnya sehingga anda benar-benar puas dengan apa yang telah anda lakukan. Pada saat itu kejayaan telah menjadi milik anda.
Berbanggalah dengan diri anda hari ini.

Wednesday, October 28, 2009

Apa Susahnya Senyum?






Untuk apa jua peranan, sebagai pasangan hidup, sahabat, jiran, rakan sekerja, bos, pekerja, imam, doktor, pesakit hatta Perdana Menteri, kita senangi mereka mudah mengukir senyuman.
Itulah perkara yang saya tegaskan kepada 120 peserta Simposium Mini Kepimpinan Islam anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) di Sutra Beach Resort, Setiu, Terengganu minggu lepas. Saya diminta untuk mengupas antaranya mengenai topik kesan imej kendiri positif dalam kerja.
Sewaktu tiba di dewan seminar, apabila pandangan melirik para peserta yang duduk tekun di meja masing-masing, hati kecil saya berbisik sendiri, “kelihatan semuanya agak serius.” Lantas, saya berazam memastikan setiap ‘mulut’ dalam dewan itu akan mengukir senyuman sebentar sahaja lagi. 10 minit berlalu, azam saya dimakbulkan Allah swt. Alhamdulillah.
Soalan saya mudah. Mana satu yang anda senangi, seseorang yang murah atau lokek dengan senyuman?
Saya pasti 100% akan mengundi pilihan pertama. Kenapa? Jawapannya juga mudah, kerana senyuman adalah fitrah kejadian insan. Sebagai makhluk, kita juga diciptakan sama seperti haiwan, miliki mulut dan gigi.
Namun, senyuman hanya mampu diukir oleh manusia. Sama seperti otak, hanya manusia yang boleh berfikir. Cuba bayangkan jika gajah juga boleh senyum dan berfikir, pada hemat anda siapa lagi hebat?
Untuk menampilkan imej diri positif, ia perlu dimulakan dari dalam. Inside out. Apa yang terkandung di dalam kotak fikir dan lubuk hati anda akan terbias melalui penampilan luaran. Jika anda berfikiran positif dan berhati tulus, mungkinkah anda berwajah masam?
Sebagai pimpinan jabatan atau unit tidak kiralah di organisasi manapun, penampilan fizikal yang ceria, berseri dan meyakinkan amat signifikan. Ia melambangkan kewibaaan kita.
Jika berjalan pun mengheret kasut, berucap pun bergetar-getar dan tak tentu hujung pangkal dan jarang sekali senyum, di mana wibawanya kita?
Tak pasti di mana mereka pelajarinya, tetapi acapkali kita berhadapan dengan individu yang bergelar ketua lokek dengan senyuman. Mungkin bagi mereka tidak senyum itu tanda “keketuaan”. Siapa bilang?
Dalam slot saya tempoh hari saya memetik contoh watak diri baginda Rasulullah saw. Baginda pemimpin ulung dalam hampir semua bidang. Peliknya, baginda seringkali digambarkan sebagai insan yang sentiasa tersenyum. Itulah contoh kepimpinan dalam Islam yang sebenar.
Percayalah, jika kita senyum kepada pekerja bawahan, rakan setugas, bos, pelanggan, orang ramai, pesakit hatta kanak-kanak, ia tidak langsung mengurangkan maruah atau wibawa kepimpinan kita bahkan menokoknya.
Justeru, berusahalah menjadi pemimpin yang disegani dan digeruni lantaran senyuman yang sentiasa terukir di wajah membias penampilan diri yang hebat, berwibawa dan bijak.
Senyum itu sedekah.

Wednesday, October 14, 2009

Benarkah kita First Class?






First Class!!! Itulah ungkapan yang dilaungkan setiap kali saya bertanya “JKNS Apa?”. Tenaga, komitmen, kesungguhan dan kemahuan yang ditunjukkan oleh hampir semua peserta dalam Kursus Pengukuhan Motivasi Kerja Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) hujung minggu lepas sangat hebat walaupun mereka terdiri daripada latar umur yang berbeza. Seolah-olah semuanya seusia dan tak lebih 27 tahun….
Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menamatkan program dengan jayanya.
Harapan saya semoga apa yang telah dilalui sepanjang program tersebut dapat dihayati, difikirkan dan yang lebih penting diserap menjadi habit atau tabiat diri positif untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, majikan dan siapa saja yang ada kena mengena dengan diri kita.
Saya juga dalam setiap program yang saya kendalikan sentiasa menilai tahap, kemampuan, prestasi dan berusaha untuk menambah baik diri sendiri dari semasa ke semasa. Sama-sama kita lakukan, insyaAllah.
Teringat pula saya kepada “lauk-pauk” dalam program itu hari. Biarlah kehadiran kita umpama gula atau garam dalam gulai (macam Kari Ikan Kaw). Zahir kehadirannya tidak kelihatan tetapi amat memberi kesan. P. Ramlee pernah guna falsafah ini dalam filem Ahmad Albab kalau tak silap saya. Elakkan hadir persis gincu. Hadir menutup kepucatan sekadar mengindahkan paras luaran semata-mata. Sementara.
Siapa pun kita dalam organisasi, anggap dan buatlah sesuatu yang hebat supaya kita penting dan memberi kesan kepada organisasi, tempat kita mencari rezeki. Biar apa orang lain kata atau melihat kita, yang penting kita kenal diri kita sendiri dan tahu apa yang kita lakukan.
Sentiasalah berusaha meningkatkan tahap “kepakaran” kita. Jika kita seorang jurutaip. Jadilah jurutaip pakar. Setiap surat atau dokumen yang kita sediakan tak pernah terdapat kesilapan hatta satu titik noktah walaupun ia disiapkan dalam tempoh yang singkat (mungkin tak lebih 0.56 saat setiap kali, mugkin…).
Sewaktu pertama kali saya pergi ke JKNS Seremban, saya terpaksa pergi ke tandas untuk menyelesaikan ‘urusan’ yang tertunda dari pagi akibat kesuntukan masa mengejar temujanji tepat jam 8.00 pagi. Apabila saya masuk ke tandas lelaki, hasrat saya tertunda sekali lagi. Masakan tidak dengan bau busuk, daki di atas lantai, takungan air kotor, tiada satu mangkuk tandas yang dipam, sinki yang berlumut dan pintu tandas yang bercontengan, berlubang, rosak dan tidak boleh dikunci. Cuba teka apa yang saya fikirkan pada ketika itu?
Dalam keadaan di atas fikiran anda tertala kepada siapa? Sudah pasti anda terfikir tentang petugas-petugas pembersihan (yang biasa kita sebut “Akak Cleaner”). Apa yang mereka buat, pemalas, memalukan dan sebagainya. Sekarang jelaslah apa yang saya maksudkan di atas. Siapa pun kita atau apa pun jawatan kita, kita tetap memberi kesan kepada organisasi dan orang lain walaupun kita hanya seorang pekerja pembersihan. Baik kualiti kerja kita, baiklah kesannya dan begitulah sebaliknya.
Tuan-tuan bertuah kerana ‘cerita tandas’ di atas tidak berlaku di tempat tuan-tuan. Jangan pula selepas ini ada yang “memarahi” petugas-petugas pembersihan di JKNS Seremban, kerana saya tidak pernah maksudkan tandas di JKNS Seremban. Dalam cerita di atas pun, saya tidak kata tandas di JKNS Seremban. Sebenarnya, saya singgah di satu tempat sebelum sampai di bangunan JKNS Seremban.
Letaklah nilai yang tinggi pada diri kita sendiri. Jika kita meletak nilai tinggi pada diri, kita akan sentiasa berfikiran positif, melakukan sesuatu yang berfaedah dan amat jarang menyusahkan orang lain.
Lihat hasil kutipan dalam aktiviti pada petang Sabtu lalu. Kos bahan sebenarnya tidak lebih RM2.00 dan hasil jualan ada yang mencecah RM44.00. Bermakna untung bersih ialah RM42.00, iaitu 21 kali ganda daripada nilai asal.
Dengan nilai-nilai positif yang diserap bersama seperti kerjasama, rajin, tekad, bersungguh-sungguh, kreatif, jelas matlamat, tidak penting diri dan banyak lagi yang lain, kita berjaya menambah nilai sesuatu yang asalnya hanya bernilai RM2.00 kepada sesuatu yang bernilai 21 kali ganda lebih baik.
Bagaimana dengan diri kita sendiri? Bukahkah hebat jika kita juga dapat menggandakan nilai diri kita masing-masing 21 kali ganda lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini. Jom sama-sama kita fikirkan.
Akhirnya, saya berbesar hati memilih Pak Ya dan Kak Norli untuk menerima hadiah istimewa daripada AsasInsan Resources & Training mewakili rakan-rakan peserta yang lain. Tahniah kepada semua. Kepada pasukan pengurusan JKNS yang dipimpin oleh En. Nanthakumaran, saya mewakili AsasInsan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas kepercayaan yang diberikan. Berkat kegigihan semua, JKNS mampu mencapai tahap FIRST CLASS! InsyaAllah.

Wednesday, September 16, 2009

Rahsia Hebat Hospital Mersing


Endau Rompin Seri Mersing
Letak Sebelah Berbeza Negeri
Rahsia Hebat Hospital Mersing
Mereka Tiada Pentingkan Diri

Beli Ubat Dek Kerna Pening
Tabib Rawat Bagai Membelai
Rahsia Hebat Hospital Mersing
Mereka Suka Menghargai

Mentari Petang Di Ufuk Kuning
Pantai Mersing Berhawa Nyaman
Rahsia Hebat Hospital Mersing
Mereka Alir Aura Sentuhan

Cari Yang Empat Pusing Keliling
Sekali Terjumpa “I Love U” Ku Ucapkan
Rahsia Hebat Hospital Mersing
Mereka Tak Lokek Mendoakan

Rahsia Hebat Klimak Kerja
Interaksi Sihat Beri Perhatian
Che E Cabar Warga Hospital Mersing Semua
Jika Hebat Beri Pengarah “Surat Perhatian”

Tuah Ayam Pada Kaki
Tuah Insan Siapa Yang Tahu
Wajah Dibulat Siapakah Diri
Emelkan Gerangan Hadiah Menunggu

Saturday, September 12, 2009

Tips Terubuk Unggul...





Alhamdulillah, walaupun rancangan asalnya datang ‘last minute’, program Klimak Istimewa Ramadhan berjaya dilaksanakan di Institut Pengurusan Kesihatan (IPK), Bangsar, Kuala Lumpur pada 10 September 2009 yang lepas.
Walaupun hanya 3 jam, kepenatannya agak terasa. Mungkin kerana puasa? Bukan. Tapi kerana saya belum benar-benar sihat dari demam yang dialami beberapa hari sebelum itu. Namun, dek kerana amanah, tugas perlu dilaksanakan. Orang dah jemput dan atur segalanya, maka saya bertanggungjawab untuk hadir dan sampaikan. Doa dipanjat ke hadrat Ilahi mohon kekuatan agar mampu melaksanakan tugas kali ini. Alhamdulillah, ‘ceramah’ saya tamat tepat pukul 1.00 tengahari seperti dirancang. Hebat perancangan Allah swt.
Terima kasih saya ucapkan kepada semua peserta di atas kerjasama, perhatian dan maklum balas yang diberikan. Seorang peserta lelaki (namanya saya rahsiakan) telah memberi respon berikut dalam borang penilaiannya:
“Unsur keagamaan banyak diserapkan dalam program ini. Amat baik kerana agama tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan.”
Seorang peserta perempuan pula menyatakan:
“Seronok!! Dapat banyak ilmu… kalau boleh datang lagi untuk bantu memotivasikan diri saya dan rakan-rakan lain.”
Dan seorang lagi peserta perempuan pula memberi respon ringkas: “Memberi kesedaran.”
Paling tidak respon-respon sedemikian memberi gambaran bahawa matlamat awal program tercapai. Apa sebenarnya matlamat program ini? Kenal diri kita sendiri. Dengan kenal diri maka kita akan kenal Pencipta yang Maha Agung. Apabila kita kenal Tuhan mana mungkin kita main-main dalam kerja.
Untuk peserta bertuah yang gambarnya dibulatkan di atas. Tahniah. Sila hubungi saya melalui emel mkfuad@asasinsan.com dan berikanlah maklumat ringkas anda untuk kita kirimkan hadiah misteri yang dijanjikan. Untuk yang lain, jangan kecil hati kalian semua hebat sebenarnya cuma dia terpilih kerana hadiah ada satu sahaja. Lain kali kita bagi hadiah kepada yang lain pula.
Saya yakin ramai di kalangan peserta yang agak ‘terjentik’ dengan aktiviti Diagnosis Kendiri. Sedikit yang dapat Hijau dan majoriti dapat Kuning. Mungkin ada yang dapat Merah tapi segan nak angkat tangan. Tak perlu angkat tangan kalau anda tak mahu sebab itu tidak penting. Apa yang penting dari diagnosis ringkas itu ia dapat memberi gambaran tentang diri kita sendiri. Mampukah atau tidak kita memimpin diri sendiri.
Dunia ini adalah ladang Akhirat dan kita adalah petaninya. Jika kita mahukan hasil yang banyak dan baik untuk bekalan di Akhirat kelak maka jadilah petani yang HEBAT di dunia ini. Tanamlah benih-benih amalan yang HEBAT, sirami dengan taqwa yang HEBAT dan bajai dengan cinta kepadaNya yang HEBAT. HEBAT usaha, insya Allah HEBATlah hasilnya.
Saidina Ali bin Abi Talib k.w. pernah berpesan dengan mengatakan bahawa beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok dan bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya.
Jika masih ingat dalam peta minda Terubuk Unggul tempoh hari, tulangnya yang pertama ialah Kerja sebagai Ibadah. Berusahalah untuk melaras minda kita setiap pagi dan setiap kali kita bersedia untuk bekerja bahawa kita lakukan kerja ini kerana Allah swt.
Kenapa? Kerana sebagai seorang muslim, kita sentiasa berada dalam keadaan beribadah kepada Allah swt. Bukan hanya 5 kali sehari semalam. Jika kita beribadah hanya 5 kali sehari semalam dalam sehari maka kita masih belum kenal siapa diri kita dan siapa Pencipta kita yang sebenar. Berhati-hatilah. Rugi jika kita tergelincir dari landasan pahala dek kerana kejahilan dan kesombongan.
Saudara saudari yang saya hargai, keluarlah dari zon selesa kita sekarang jika zon selesa itu hanya sekadar menjadikan anda selesa berada di takuk lama, kekal tidak berubah, tiada yang hebat dan tiada manfaat kepada orang lain. Sentiasalah berfikir dan mencari idea untuk menjadikan diri kita bermanfaat. Bermanfaat tidak bermaksud kita mesti glamour atau mesti menjadi figura. Setiap hari, kita mendapat banyak manfaat daripada orang lain dan kebanyakannya kita tidak pernah tahupun siapa orangnya.
Bukanlah maksud saya kita tidak perlu bersyukur dengan apa yang kita ada. Bersyukur bukan maksudnya kita kena ‘bercukup’ dengan apa yang ada sahaja. Kita kena sentiasa berusaha untuk menambahbaik prestasi diri dari semasa ke semasa. Jika tidak kenapa Allah swt berjanji di dalam Al-Quran bahawa barang siapa yang bersyukur kepadaNya pasti Dia akan menambahnya dan siapa yang kufur pula Allah sediakan azab yang dasyat baginya.
Justeru, setiap pagi di kala menjengah muka di cermin, bacalah doa yang ustaz kita pernah ajarkan dulu yang maksudnya “Ya Allah, sebagaimana Engkau elokkan kejadian aku maka kau elokkanlah pula akhlaqku.” Dan katakanlah pada imej dalam cermin itu bahawa “KAU HEBAT DAN MESTI JADI HEBAT HARI INI!!!” Berusahalah untuk memotivasikan diri kita sendiri setiap hari untuk sentiasa menjadi insan yang lebih baik daripada semalam. Saya tinggalkan tulisan ini dengan sepotong maksud hadith Nabi saw : “Sesiapa yang dua harinya adalah sama (dalam pencapaian) maka dia pasti seorang yang rugi.” (Sunan Ad-Dailami).
Sekali lagi, segunung penghargaan dan terima kasih kepada Bahagian Latihan IPK kerana sudi menganjurkan program Klimak Ramadhan 2009. Selepas ini Program Klimak Istimewa Ramadhan akan bertemu pula dengan kakitangan Hospital Mersing, di Mersing, Johor dan IOI Edible Oil Sdn. Bhd., di Sandakan, Sabah, Insya Allah. Doa kalian saya dambakan. Wallahu A’lam.