Pages

Showing posts with label Ketua. Show all posts
Showing posts with label Ketua. Show all posts

Tuesday, May 25, 2010

Tanda Nama Halimunan?

Seronok buat bengkel macam ini, boleh kenal semua...

Tak pasal-pasal cik adik Puri Pujangga ini pun jadi 'peserta'

Gabungan 3 generasi dalam 1 warna, Biru mantap!

Sekali sekala kembali ke '15-20 tahun lepas' seronok jugak, kan?

Pemenang anugerah khas juri, Hafiz, Kak Roziah & Alib!


Tahniah untuk semua, kalian HEBAT!

Alhamdulillah. Rasanya macam baru semalam sahaja berprogram, rupa-rupanya sudah seminggu berlalu. Tahniah kepada semua rakan peserta Bengkel Tingkatkan Interaksi Estim Diri Siri Ke-3. Abang Azizan yang kebiru-biruan, Kak Roziah yang kehijau-hijauan, Lela yang keperangan dan Alib yang keemasan, masih segar menyilau-nyilau!

Apabila kita bicara soal ESTIM DIRI ia sebenarnya merujuk kepada ‘KESERONOKAN’.  Seronok menjadi diri anda. Cuba tanya diri anda sekarang, berapa peratus anda seronok menjadi diri anda, 60%, 70%, 80% atau 99.99%?

Alhamdulillah dalam bengkel tempoh hari dua rakan peserta bersahabat baik bagi markah estim diri masing-masing 99.99%! Cukup tinggi. Adakah ini logik? Terpulang kepada empunya diri. Tiada siapa yang boleh menghalang atau menafikan hak anda untuk bergembira menjadi diri anda. Ia hak anda. Jadi, ambillah semuanya! Tahniah buat Anif dan Suhaimi.

Saya sangat berharap rakan peserta semua tidak lupa kepada ‘Tanda Nama Halimunan’ yang sentiasa dipakai oleh semua orang termasuk diri kita sendiri. Mengetahui perkara ini akan menjadikan anda seorang yang hebat dalam interaksi dan perhubungan dengan orang lain samada dengan ahli keluarga, pekerja, rakan, bos, supplier, pelanggan dan sesiapa sahaja. Kalau ikut Dale Carnegie, haiwan pun suka dengan kita.

Sebagai contoh, semalam sewaktu saya memesan makanan di sebuah restoran berdekatan rumah. Saya dan anak saya, Fatimah Az-Zahra duduk menunggu di bahagian paling luar sebab kami hanya order bungkus jadi buat apa nak duduk dekat dalam.

Selang 7-8 minit, tiba-tiba pekerja yang ambil pesanan saya menjerit dari dalam restoran “Nasi goreng ayam! Bayar sini!” sambil menunjuk ke arah kaunter bayaran di bahagian dalam sebagai ‘arahan’ untuk saya masuk dan buat bayaran di situ. Tiba-tiba saya musykil, bila masa pulak nama saya bertukar jadi Nasi Goreng Ayam?

Sepantas kilat minda saya terjentik. “Patutlah kita sukar bersaing dengan restoran mamak”. Itulah sebabnya rumusan saya mengapa ‘orang kita’ susah sikit apabila berniaga ialah kerana kita tak tahu dan masalahnya tak mahu tahu ‘Tanda Nama Halimunan’ yang dipakai oleh pelanggan. Setuju?

Berbeza dengan bangsa lain, mereka tahu. Ini perkara yang sangat mudah dan asas. Tapi, orang kita tetap bermasalah. Bagi saya senang saja, sesiapa yang nak mula berniaga patut sertai bengkel yang kita anjurkan ini terlebih dahulu.

Interaksi Bos-Pekerja di pejabat juga sering terperangkap dalam situasi seperti di atas. Si Bos merasakan dirinya ‘di atas’ sedangkan pada masa sama si Pekerja pula merasakan dirinya juga manusia sama seperti si Bos.

Konflik sering terjadi dalam interaksi. Bagaimana cara interaksi paling ideal dalam hubungan ini? Jawapan saya tetap sama, dalam memulakan interaksi sentiasa ingat orang di depan kita ini memakai ‘Tanda Nama Halimunan’ sama seperti kita! Jadi, apa yang kita mahu itulah juga yang dia mahu. Soalnya ‘mahu’ siapa yang patut kita dahulukan?

Jutaan terima kasih dan penghargaan setinggi gunung daik buat semua rakan peserta yang sudi bersama-sama menggamatkan suasana dalam bengkel itu hari. Kalian telah menjadikan estim diri saya dan krew-krew AsasInsan berlipat kali ganda meningkat. Semoga ilmu dan pengalaman yang kita kongsikan menjadi pelaburan terbaik buat diri kita di dunia dan akhirat. Insya Allah.

Wednesday, February 10, 2010

Hubungan ikhlas tingkatkan estim diri




Reaksi spontan Kak Bidayah & Kak Zah setelah 20 tahun tak jumpa.

Berikan tumpuan apabila berinteraksi. Nama ingat tapi rupa lupa.

Sesi dikendalikan dalam bentuk diskusi. 

Barisan Bos-Bos Hebat!

Buangkan segala yang membebankan....

En. Fauzi berjaya menggamatkan suasana. En Razak tergamam!

Orang kata, orang perempuan dan Sale tak boleh dipisahkan, betul ke?

Siapa yang lead ni, En. Fauzi ke Kak Zainab?

Tadaa... Senyuman En. Fauzi Ghani memikat!

Spot the difference, please...

Teringat zaman muda-mudalah tu...

Terima kasih kerana menyertai. Semoga ukhwah berkekalan. Amin

Minggu lepas saya ‘puas’ mengendalikan satu bengkel motivasi peningkatan profesionalisme bertajuk Tingkatkan Interaksi Estim Diri; Tip Mudah Untuk Ketua di Puri Pujangga UKM, Bangi. Lebih 20 orang peserta dari pelbagai organisasi hadir.

Falsafah bengkel ini sangat mudah. Percayalah bahawa interaksi akan meningkatkan kualiti hubungan sesama manusia. Menurut Dale Carnegie dalam membina hubungan sesama manusia kita hendaklah sentiasa sedar bahawa orang lain akan sentiasa berfikir apakah yang terbaik untuk dirinya yang bakal dia perolehi dalam membina hubungan dengan kita.

Bayangkan hari ini hari pertama anda melapor diri sebagai ketua jabatan di sebuah jabatan baru. Pada saat pertama anda bertemu dengan sesiapa sahaja kakitangan di pejabat baru anda, tanpa anda sedari anda sebenarnya ‘sedang berfikir’ apa yang terbaik untuk diri anda dalam membina hubungan dengan mereka ini?

Anda tidak perlu risau sebab berapa ramai pun kakitangan di pejabat baru anda itu, mereka juga memikirkan perkara yang sama ‘apakah yang terbaik untuk diri mereka dalam membina hubungan dengan anda sebagai bos yang baru’.

Semua ‘fikiran’ ini berlaku dalam fikiran bawah sedar kita. Itulah sebabnya saya selalu tegaskan bahawa untuk menjadi hebat kita perlu manfaatkan potensi hebat minda bawah sedar. Bagaimana dalam hal membina hubungan ini?

Mudah sahaja. Bagi peserta-peserta bengkel tempoh hari, sahabat-sahabat sekalian boleh buat sedikit ulangkaji dengan membuka muka surat 16 manual masing-masing, ada jawapan di situ. Harap-harap kalian masih menyimpan manual masing-masing…

Untuk yang lain, caranya begini. JANGAN PENTING DIRI! Jika ini sikap anda bermakna anda sedang berkata YA atau 100% bersetuju dengan minda bawah sedar anda! Anda tidak akan menjadi orang yang hebat dalam hubungan dengan orang lain. Orang akan meluat dengan anda dari saat pertama perhubungan lagi.

Sekarang terbalikkannya (orang putih kata REVERSE!) Di saat anda menghulur tangan untuk berjabat atau melempar senyuman isyarat memulakan hubungan, dengan sesiapa sahaja, fikirkan dan beri jawapan kepada apa yang sedang mereka fikirkan! Apa yang sedang mereka fikirkan? Jawapan ada di peranggan 4 di atas.

Itulah sebabnya, dalam bengkel tempoh hari saya mulakan dengan sebuah kotak. Sebenarnya apa yang saya buat ialah membantu rakan-rakan peserta semua untuk REVERSE minda bawah sedar agar kita tidak penting diri dalam memulakan hubungan dengan orang lain dalam program itu.

Hasilnya, semua gembira dan tiada prasangka. Buktinya, lihatlah pelbagai aktiviti yang kita buat semuanya berjalan lancar kerana semua terlibat, sedia menyumbang sesuatu dan tidak berkira, walaupun kita berbeza organisasi dan pangkat.

Terlanjur bercerita pasal aktiviti, saya suka aktiviti ‘Persona’. Semua sudah tukar…, En. Razak nampak ‘cun’, Tuan Haji nampak ‘cute’, Kak Zainab nampak ‘handsome’ berjambang, Hafiz tetap nampak gagah walau bergincu merah. Namun, atas sebab-sebab keselamatan, gambar-gambar aktiviti ini tidak boleh ditayang dalam blog ini. Ini rahsia kita ‘adik-beradik’ sahaja….

Cuma satu, mungkin sebab terlalu seronok, kalian semua tertinggal sesuatu semasa balik. Demi menjaga hubungan saya dengan sahabat-sahabat baru, saya telah minta krew saya bawa balik dan simpan semuanya di pejabat saya. Jika rakan-rakan sekalian ada kelapangan bolehlah singgah di pejabat saya untuk mengambilnya. Apa bendanya? Limau, Manual, Paper bag? Bukan. Kalian letak di dalam kotak.

Terima kasih banyak2… Jumpa lagi dan segarkan interaksi!

Wednesday, December 30, 2009

2010 tahun untuk mendengar?

Amboi-amboi Sister Jamilah, bukan main teruja lagi macam dah setahun tak jumpa ye.
Magis Kuasa Sentuhan. Hilangkan rasa gusar, syak wasangka dan rasa lebih dihargai.
Tumpuan yang diberikan oleh beliau amat saya hargai. Jangan lupa emel saya untuk dapat hadiah.
Macam-macam gaya, superman, ultraman, power rangers semua terkeluar! Itu potensi dalaman yang terpendam.
Pn. Haryani, Pn. Tan, Pn. Salbiah, En. Haikal, Pn. Jamilah... terima kasih daun keladi. Doakan kita berjumpa lagi.


Sejauh mana kita mahir mendengar atau sejauh mana kita sedar bahawa mendengar itu penting?


Dalam program KLIMAK di Hospital Kluang pada 16 Disember lepas, saya meminta para peserta untuk memilih seseorang dalam dewan program yang sangat mereka kagumi atau hargai. Tuliskan namanya dan 3 sebab kenapa dia dikagumi atau dihargai. Pada peringkat ini reaksi peserta biasa sahaja dan tanpa banyak soal terus menulis.


Kemudian, saya minta mereka mencari orang tersebut dan bacakan 3 sebab tersebut kepadanya. Pada ketika ini, reaksi mula berbeza. Terpancar riak terkejut, ragu-ragu, malu, kurang yakin, teruja, seronok, tak sabar-sabar dan macam-macam lagi. Ternyata, apabila orang lain mula ‘mendengar’ isi hati kita, ada tindak balas berbeza pada minda dan emosi kita.


Dalam keadaan kita hari ini, saya fikir ramai daripada kita termasuklah saya sering terlepas pandang perkara ini. Masakan tidak, bermula dari pagi seluruh penumpuan kita berikan kepada tugasan yang perlu disiapkan segera samada untuk tatapan bos, klien, penonton, tetamu, pesakit, rakyat atau siapa sahaja yang penting dalam kerja kita. Kesibukan menyebabkan kita sering ‘terlupa mendengar’.


Mendengar penting dalam membina hubungan dengan orang lain samada dalam keluarga mahupun di tempat kerja. Apakah kemahiran penting bagi seorang wakil rakyat yang hebat, menutur kata bicara yang memukau atau mendengar dengan penuh tumpuan? Adakah kemahiran ini yang dimiliki oleh wakil-wakil rakyat kita, yang jelas mahukan dirinya didengar sewaktu kempen pilihanraya?


Bagi seorang doktor atau jururawat, kepakaran mereka mendiagnos, merawat dan memberi ubat sememangnya penting. Tetapi kemahiran pertama yang lebih penting ialah mendengar. Saya lebih suka ‘berurusan’ dengan doktor yang terlebih dahulu ingin mendengar dengan tumpuan apa yang ingin saya katakan daripada doktor yang tidak sabar-sabar ingin memeriksa dan mencatat diagnosisnya dalam kad rekod rawatan saya. Saya fikir anda juga begitu.


Anda yang keletihan sehari suntuk berkerja baru sahaja melangkah masuk rumah. Belum pun sempat membuka sarung kaki anak anda berlari meluru ke arah anda sambil membawa sesuatu untuk ditunjukkan kepada anda. “Ayah penatlah Aiman… Aiman pergi main kat bilik ye atau tengok tv ada cerita best kat tv tu, nanti ayah tengok, ok.” Itulah reaksi kebanyakan daripada kita apabila berhadapan situasi ini. Apa yang diperlukan oleh si anak sebenarnya hanyalah 1 minit daripada masa kita untuk mendengar apa yang ingin dia katakan. Tetapi bukan ‘mendengar’ yang kita beri sebaliknya arahan.



Mendengar akan meningkat harga diri seseorang. Kita lebih rasa dihargai jika orang mendengar apa yang kita bicarakan. Dengan mendengar bermakna kita mengiktiraf dan menghargai orang lain. Kita ingin dihargai maka hendaklah kita terlebih dahulu menghargai. Bukannya susah, hanya dengan mendengar.


Mendengar juga boleh mengurangkan stress, mengelakkan konflik dan meningkatkan kemahiran untuk menangani individu lain. Kurang kemahiran mendengar boleh menyebabkan kita membuat kerja dua kali, salah faham, memendam perasaan, kekeliruan, kehilangan maklumat penting, menyebabkan rasa malu, kecewa, ganggguan emosi dan pertelingkahan antara individu (Abdul Jalil Hassan, 2006).


Bagaimana dengan pencapaian diri anda setakat hari ini? Adakah anda berpuas hati? Jika belum, mungkin perkara pertama yang perlu kita lakukan sebagai memulakan tahun baru 2010 ini ialah dengan mendengar. Mendengar isi hati orang yang penting di sekeliling kita.


Sebagai perkerja bawahan kita sering mengeluh bos tak mahu dengar cakap kita. Tetapi cuba kita nilai kembali adakah kita telah cukup mendengar isi hati bos kita? Saya yakin jika kita benar-benar mendengar bos kita, dia pasti akan mendengar kita.


Samalah juga kita yang bergelar ibu dan ayah sering mengeluh anak-anak degil tak mahu dengar cakap kita. Cuba kita selusuri dari awal, adakah kita telah cukup mendengar mereka?


Pelbagai cerita rakyat dari isu jual anak, rumah terbengkalai, kemalangan bas-bas ekspres, kehilangan enjin kapal terbang, tanah runtuh, bonus, kes-kes jenayah berat dan ratusan lagi yang lain saban hari menjadi bahan paparan media adalah isi-isi hati yang menuntut untuk didengar. Soalnya siapa yang benar-benar mahu mendengar.


Saya tidak pasti apa akan berlaku jika kita mula mendengar. Tetapi saya yakin dengan menjadi lebih mendengar kita akan menjadi lebih prihatin, sensitif, terbuka dan positif. Bukankah ini yang kita mahukan. Dengan hanya tinggal 10 tahun lagi untuk menjengah tahun 2020 yang kita jangkakan kita akan jadi ‘maju’, mungkin kita patut benar-benar mendengar apa orang luar dan dalam kata tentang diri kita yang sebenar.


Sebagai seorang muslim, kehidupan kita mestilah bergerak selari dengan panduan yang termaktub dalam Al Quran Al Karim dan hadith Nabi SAW. Panduannya jelas. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.” (An Nahl : 108).


Dalam surah Al Anfaal : 21-22, Allah berfirman yang bermaksud “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafiq) yang berkata: Kami dengar, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, di sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).


Terlupakah kita, nikmat iman yang kita ‘terima’ hari ini juga sebenarnya amat berkait dan signifikan dengan kemahiran mendengar. Al Quran yang menjadi panduan kita hari ini kita terima daripada Nabi Muhammad SAW seorang yang ummiy (buta huruf) yang telah mengerah seluruh kemahiran mendengarnya dalam menerima setiap ayat Kalam Allah yang diwahyukan kepadanya melalui perantaraan Jibrail as. Akhirnya kita beriman dan semoga anak cucu generasi akan datang juga kekal beriman sehingga akhirnya masa berhenti berdetik.


40% masa seseorang digunakan untuk dengar berbanding bercakap sebanyak 35%. Namun, seseorang hanya mendengar 25% daripada apa yang dia dengar. Selama ini kita mungkin dengar apa yang isteri, anak, staf, rakan, musuh atau pesaing katakan kepada kita. Mungkin itulah puncanya kita sukar membina hubungan yang hebat sesama insan. Kita hanya dengar dan bukannya mendengar. “I know you believe, you understand what I said, but I’m not sure you realize that what you heard is not what I meant.” Saya petik kata-kata Madelyn Burley-Allen dalam buku yang tajuknya saya tulis di bawah.


Oleh itu, untuk menjana pencapaian yang lebih hebat dalam tempoh 365 hari yang berikut ini, saya fikir setiap kita perlu menilai kembali kemahiran mendengar masing-masing. Kenal pasti kelemahan selama ini dan pelajari cara yang betul dalam mendengar. Ia sangat mudah.


Jika selama ini anda fikir mendengar hanya dengan telinga, ternyata perenggan sebelum ini tepat, anda perlu menilai kembali kemahiran mendengar anda. Saya cadang sebagai permulaan mungkin kita boleh cari, beli dan baca buku ini, Bukan Pekak Tapi Tak Dengar tulisan Abdul Jalil Hassan.


Selamat Tahun Baru 2010 dan Selamat Mendengar.

Wednesday, October 28, 2009

Apa Susahnya Senyum?






Untuk apa jua peranan, sebagai pasangan hidup, sahabat, jiran, rakan sekerja, bos, pekerja, imam, doktor, pesakit hatta Perdana Menteri, kita senangi mereka mudah mengukir senyuman.
Itulah perkara yang saya tegaskan kepada 120 peserta Simposium Mini Kepimpinan Islam anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) di Sutra Beach Resort, Setiu, Terengganu minggu lepas. Saya diminta untuk mengupas antaranya mengenai topik kesan imej kendiri positif dalam kerja.
Sewaktu tiba di dewan seminar, apabila pandangan melirik para peserta yang duduk tekun di meja masing-masing, hati kecil saya berbisik sendiri, “kelihatan semuanya agak serius.” Lantas, saya berazam memastikan setiap ‘mulut’ dalam dewan itu akan mengukir senyuman sebentar sahaja lagi. 10 minit berlalu, azam saya dimakbulkan Allah swt. Alhamdulillah.
Soalan saya mudah. Mana satu yang anda senangi, seseorang yang murah atau lokek dengan senyuman?
Saya pasti 100% akan mengundi pilihan pertama. Kenapa? Jawapannya juga mudah, kerana senyuman adalah fitrah kejadian insan. Sebagai makhluk, kita juga diciptakan sama seperti haiwan, miliki mulut dan gigi.
Namun, senyuman hanya mampu diukir oleh manusia. Sama seperti otak, hanya manusia yang boleh berfikir. Cuba bayangkan jika gajah juga boleh senyum dan berfikir, pada hemat anda siapa lagi hebat?
Untuk menampilkan imej diri positif, ia perlu dimulakan dari dalam. Inside out. Apa yang terkandung di dalam kotak fikir dan lubuk hati anda akan terbias melalui penampilan luaran. Jika anda berfikiran positif dan berhati tulus, mungkinkah anda berwajah masam?
Sebagai pimpinan jabatan atau unit tidak kiralah di organisasi manapun, penampilan fizikal yang ceria, berseri dan meyakinkan amat signifikan. Ia melambangkan kewibaaan kita.
Jika berjalan pun mengheret kasut, berucap pun bergetar-getar dan tak tentu hujung pangkal dan jarang sekali senyum, di mana wibawanya kita?
Tak pasti di mana mereka pelajarinya, tetapi acapkali kita berhadapan dengan individu yang bergelar ketua lokek dengan senyuman. Mungkin bagi mereka tidak senyum itu tanda “keketuaan”. Siapa bilang?
Dalam slot saya tempoh hari saya memetik contoh watak diri baginda Rasulullah saw. Baginda pemimpin ulung dalam hampir semua bidang. Peliknya, baginda seringkali digambarkan sebagai insan yang sentiasa tersenyum. Itulah contoh kepimpinan dalam Islam yang sebenar.
Percayalah, jika kita senyum kepada pekerja bawahan, rakan setugas, bos, pelanggan, orang ramai, pesakit hatta kanak-kanak, ia tidak langsung mengurangkan maruah atau wibawa kepimpinan kita bahkan menokoknya.
Justeru, berusahalah menjadi pemimpin yang disegani dan digeruni lantaran senyuman yang sentiasa terukir di wajah membias penampilan diri yang hebat, berwibawa dan bijak.
Senyum itu sedekah.