Pages

Tuesday, March 3, 2015

Belajar tentang kehidupan di UNISZA



Belajarlah tentang kehidupan.

Itulah pesanan saya kepada hapir 200 orang mahasiswa UNISZA dalam Seminar Kemahiran Belajar, Teknik Tepat PNGK Gempak yang saya kendalikan pada 27 Februari 2015 yang lepas.

Rata-rata mereka teruja hadir ke seminar tersebut kerana tertarik dengan perkataan PNGK Gempak. Jelas menampakkan perspektif mereka tentang PNGK.

Saya pasti mereka hadir kerana ingin tahu bagaimana cara mudah untuk memperoleh PNGK tinggi. Mudah! Amat mudah. Belajar betul-betul dan skor markah tinggi atau A dalam setiap paper. Pasti PNGK tinggi. Tiada sesiapa akan menafikan teknik ini.

Belajar di universiti bukanlah untuk skor PNGK tinggi. Belajar di universiti adalah untuk belajar tentang kehidupan sebenar yang akan dilalui selepas tamat pengajian. PNGK nilai diri anda yang perlu ditinggikan.

Jika sewaktu di universiti masa anda banyak diluangkan untuk melepak dengan member, dating, layan games, tidur selain kuliah dan makan. Berapa PNGK nilai diri anda?

Cuba kira berapa banyak duit anda ‘laburkan’ untuk rokok, gajet dan dating sepanjang tempoh belajar di universiti? Berapa banyak pula buku selain buku teks atau rujukan yang pensyarah wajibkan anda beli yang anda miliki? Boleh sudahkah anda menjadi imam solat jemaah atau jumaat selepas bergelar graduan esok?

Saya pesan kepada mereka bahawa yang penting bukanlah PNGK tetapi bagaimana cara anda belajar. Jika anda mempunyai cara belajar yang bijak (smart) anda akan mempunyai kesimbangan dalam kehidupan di kampus. Akademik bagus dan nilai diri juga bagus.

Apabila memasuki zaman pekerjaan bermakna anda perlu bersaing untuk menang. Tiada siapa yang akan ‘menyuap’ anda lagi. Dari sekolah sehinggalah ke universiti, kita sudah terbiasa ‘disuap’. Itu sebab kenapa anda perlukan PNGK tinggi supaya anda boleh ‘disuapkan’ dengan kerja yang bagus-bagus apabila usai sahaja belajar nanti. Aduh! Sampai bila?

Usah risau kalau PNGK tidak gempak. Gempakkan perkara lain dalam diri anda. Cara berfikir, hasilkan buah fikiran unik, cara berinteraksi, cara memimpin dan banyak lagi potensi lain yang boleh anda gempakkan. Percayalah, biar PNGK biasa-biasa tetapi jika anda memang individu dengan potensi yang gempak, orang lain pasti gempar dengan anda. Cari sekarang apa potensi gempak anda.

Saya dedahkan rahsia personaliti otak kanan dan otak kiri. Cuba teroka dan gempakkannya. Ceritakan kepada penemuduga anda esok bahawa anda seringkali menggunakan gaya fikir whole brain iaitu gabungan potensi otak kanan dan kiri.

Adakalanya penyelesaian kepada sesuatu masalah atau isu sukar ditemui dan kelihatan seakan-akan mustahil. Ia berlaku kerana kita mungkin terlalu mengerah otak kiri untuk mencari jalan penyelesaian tanpa memberi ruang sewajarnya kepada kemampuan otak kanan. Gabungan otak kanan dan otak kiri umpama gabungan kerja seorang arkitek dan jurutera awam dalam membina sebuah bangunan. Mereka pasti gempar dan teruja untuk tahu lebih tentang anda.

Terima kasih kerana hadir, participate dan memberi perhatian. Semoga perkongsian kita tempoh hari ada manfaat dan diberkati olehNya. Wallahu a’lam.

Che E
3 Mac 2015

No comments:

Post a Comment