Pages

Monday, February 20, 2012

Jawatan Kosong Sebagai Trainer (Motivator)

MUNGKIN ANDA
Anda seorang yang berpengetahuan, bersemangat dan berkebolehan mempengaruhi orang lain melalui tutur bicara yang meyakinkan? Anda mungkin bakal motivator yang kami cari!

Anda mungkin tahu Datuk Dr. Fadhilah Kamsah, Dr. H. M. Tuah, Dr. Muhaya dan ramai lagi motivator tersohor. Apakah satu kemahiran teras yang mereka kongsi bersama? Jika anda ingin menjadi seperti mereka, inilah soalan yang perlu anda jawab dengan tepat.

SENI
Kemahiran dan seni dalam berbicara amat signifikan bagi seseorang motivator. Bagi sesetengah orang ia adalah anugerah dan yang lain ia diperolehi selepas latihan berterusan. Ia tiada beza!

Minat yang mendalam, keinginan yang tinggi untuk membantu orang lain dan berdaya tahan tinggi adalah ciri-ciri utama diri anda yang kami cari.

Berdiri 8 jam atau lebih tanpa henti sambil melontar suara pelbagai intonasi. Menyampaikan ilmu dan maklumat yang tepat serta diwarnai dengan kemahiran menceriakan khalayak pendengar. Itulah antara cabaran seorang motivator. Justeru, hanya yang berdaya tahan kami perlukan.

Menjadi seorang motivator tidak memadai sekadar pandai berbicara di hadapan orang ramai. Sesiapa pun boleh ‘cakap depan’ dengan sedikit latihan. Tetapi kemahiran sebenar ialah mengolah idea-idea bernas dengan penstrukturan maklumat yang tepat untuk disampaikan dengan berkesan agar penyampaian benar-benar mempengaruhi khalayak pendengar.

BELAJAR
Berhadapan dengan pelbagai kelompok khalayak dari golongan remaja sehinggalah golongan bijak pandai dewasa memerlukan tahap kemahiran dan seni yang tinggi. Ia bukanlah masalah. Memang ia sukar. Tetapi dengan keyakinan, kemahuan dan kesungguhan belajar untuk menjadi motivator yang terbaik (di kalangan yang terbaik) ia bukan suatu yang mustahil untuk dilakukan.

AMANAH
Menyampaikan yang benar adalah tugas hakiki motivator. Motivator memikul amanah melaksanakan pesanan Rasulullah SAW, “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.” Masyarakat berhak memiliki motivator yang terbaik sahaja. Motivator adalah Da’ie. Kenapa tidak anda menyahut cabaran ini!

HANTARKAN RESUME ANDA HARI INI. Dengan bernas ‘ceritakan’ siapa anda dan kenapa motivator adalah kerjaya pilihan anda. Inilah laluan anda menyertai pasukan motivator kami dan berpeluang mengendalikan pelbagai bentuk program motivasi dan latihan di seluruh negara.

Anda Berani Anda Dapat! Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita. Amin

1.    Terbuka kepada lelaki dan wanita berusia tidak lebih 30 tahun
2.    Kelulusan minima ijazah dalam sebarang bidang
3.    Penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang baik
4.    Pengetahuan agama yang baik dan mahir membaca Al Quran
5.    Temuduga akan dibuat secara teori dan simulasi
6.    Sila sediakan 'talking points' dan slides untuk durasi 3 minit
7.    Audien simulasi anda ialah 50 orang eksekutif kanan
8.    Tajuk penyampaian adalah bebas

Tarikh tutup permohonan : 30 Mac 2012
Hantarkan resemu lengkap ke beourteamairt@gamil.com

 
 HANYA YANG LAYAK AKAN KAMI HUBUNGI.

Terima kasih.

Unit Pentadbiran & Sumber Manusia
ASASINSAN RESOURCES & TRAINING
TEL: 03-8922 2934

Thursday, February 16, 2012

Berbaloikah Belanja Untuk Motivasi Anak?


Segala puji bagi Allah SWT dan solawat serta salam ke atas Baginda junjungan SAW. Terima kasih saya ucapkan kepada para ibubapa dan peserta yang telah memberi sokongan kepada AsasInsan dengan menyertai pelbagai program motivasi yang telah kami anjurkan, sejak 2004.

Saya tertarik dengan ungkapan Sohibus Samahah Timbalan Mufti Negeri Sembilan dalam ucapannya merasmikan majlis penutupan satu program motivasi yang saya kendalikan akhir tahun lepas, dia menyebut “tuan-tuan dan puan-puan tidak perlu risau dengan duit yang dikeluarkan untuk menghantar anak menyertai program motivasi ini. Itu hak mereka dan tanggungjawab kita. Percayalah jika kita benar-benar ikhlas duit itu nanti Allah SWT akan gantikan dengan rezeki yang lain yang lebih baik.” Terubat hati para ibubapa yang hadir mendengar.

Memang benar! Bukan murah untuk menghantar anak untuk menyertai program motivasi hari ini. Bukan RM20-RM30 tetapi ratusan bahkan ribuan ringgit. Itu saya akui sebab yuran program motivasi remaja yang saya kendalikan pun yurannya lebih kurang RM300 untuk 2 hari program untuk seorang anak. Cuba bayangkan kalau kita ada 2 atau lebih anak, berapa banyak yang perlu disediakan? Saya juga ada anak dan saya faham.

Kemudian saya terfikir pula, kalau zaman saya belajar dulu ada program motivasi seperti hari ini, adakah mak dan ayah saya akan belanja duit untuk hantar saya menyertai program motivasi? Kalau yurannya RM20-RM30 mungkinlah mereka hantar tapi kalau RM300 saya tak berapa pasti. Tapi satu yang saya pasti mak dan ayah saya sentiasa cuba memberi yang terbaik untuk saya dan adik beradik yang lain belajar pandai. Tuan-tuan dan puan-puan pun saya kira begitu juga.

Apa isunya di sini? Duit dan hari ini tidak boleh dipisahkan umpama aur dengan tebing atau irama dan lagu. Kita bayar untuk menonton, makan, basuh baju, qodo’ hajat dan tidur. Semuanya tak upaya kita lakukan dengan selesa tanpa duit dikeluarkan. Zaman saya kecil dulu, satu keluarga boleh tidur nyenyak kerana tahu sekeliling kampung ada orang jaga, orang panggil rukun tetangga. Tapi hari ini, kalau nak selesa, bayarlah! Alasannya, lebih mudah.
Itulah hakikat zaman ini. Tidak adil sebenarnya kalau dibandingkan dengan zaman lampau. 

Daripada banding dengan zaman kecil-kecil dulu baik banding dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu.

Berbalik kepada isu asal, program motivasi. Saya selalu diberitahu oleh pihak masjid yang bekerjasama menganjurkan program motivasi kononnya yuran tidak boleh ‘diletak’ tinggi-tinggi. Alasannya kalau buat dengan masjid yuran kena rendah atau semolek-moleknya ‘free’. Itu mentaliti masyarakat Melayu Muslim kita. Bila program masjid sahaja mesti ‘free’. Padahal kalau nak dikira, berapa banyak duit yang kita sedekahkan setiap kali tabung masjid lalu depan kita. Selalunya tabung lalupun kita tak sedar sebab asyik melayan kantuk dan lena sambil dibuai alunan khutbah. Sampai bila kita perlu berfikiran begini. Ini minda subsidi kronik. Tiada subsidi kita seolah-olah tak boleh hidup. Mungkin.

Pernah seorang ibu tunggal membayar hampir RM1000 untuk menghantar 3 orang anaknya menyertai program motivasi yang saya kendalikan beberapa tahun lepas. Dia memberi amaran kepada saya jangan sesekali memberinya diskaun yang bukan-bukan hanya kerana dia seorang ibu tunggal. Ibu Superb! Tapi berapa ramai? Maka cubalah bayangkan kalau semua mak ayah berfikiran sedemikian.

Dalam program yang sama ada seorang ibu yang lain pula memberitahu saya bahawa dia pernah menghantar anaknya menyertai program motivasi yang dianjurkan oleh ‘orang luar’ dengan kadar yuran lebih RM3000 seorang. Pun Ibu Superb!

Balik-balik ibu, mana ayah? Ayah tak kisah kah? Siapa kata ayah tak kisah. Saya sendiri ayah dan saya kisah.

Juga beberapa tahun lepas, ada seorang ayah yang sanggup berulang dari Perak ke Bandar Seri Putra Bangi dengan motorsikal semata-mata untuk menghantar anaknya menyertai program motivasi yang saya kendalikan. Anaknya sertai tiga siri.

Ada juga seorang ayah yang menghubungi pejabat saya untuk mendaftar anaknya menyertai program motivasi yang saya anjurkan dari dalam pesawat sebaik sahaja mendarat di KLIA. Dia dalam perjalanan pulang dari Perancis.

Hendak seribu daya (usaha) tak hendak seribu dalih (alasan). Dalam berusaha kita kena ingat jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Oleh itu, alang-alang seluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Sebabnya kita tahu yang bulat tak datang bergolek dan yang pipih tak datang melayang.

Itulah masalah orang kita terlalu berkias. Maksud lambat sampai. Kiasan itu tanda beradab. Tapi kalau berkias sampai menjadikan kita lambat dan tertinggal maka itu telah menjejaskan peradaban.

Pendek cerita, dalam kita berkira-kira untuk keluarkan belanja untuk program motivasi anak-anak, saya saran kita jadikan ini sebagai sandaran pertimbangan iaitu apa yang kita beri kepada mereka hari ini akan menjadi tanda nilai apa yang bakal kita terima di kemudian hari. Jadilah ibu ayah yang bakal mereka kenang, hargai dan sebut dalam doa setiap hari sehingga akhir hayat mereka. Insya Allah

Segala-galanya urusan Allah SWT. Wallahu a’lam

Friday, February 3, 2012

Siapa berselawat ke atas kita?

Suka tak kalau ada orang berselawat ke atas anda setiap hari? Tapi siapa kita sehingga ada orang yang ‘berselawat’ ke atas kita? Apa hebat dan istimewanya kita sehingga ada ‘selawat’ ke atas kita?

Jangan tersasar faham, saya sekadar menjentik fikir. Cuba baca maksud hadith di bawah:

Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah (s.w.t) akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass r.a]

Bukan manusia ataupun malaikat tetapi Allah SWT akan berselawat ke atas kita. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Syaratnya mudah, cintailah Rasulullah SAW.

Apa tanda cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW? Ya, berselawat ke atasnya. Berselawatlah banyak-banyak.

Semoga cinta kita kepadanya mekar segar sepanjang masa sebagai jaminan bertemu dengannya di hari kemudian. Insya Allah.

Salam Maulidur Rasul 1433H


Surat khabar tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak?

Jika kita bimbang tentang perkara yang boleh dilayari oleh anak-anak remaja dalam internet, saya fikir kita juga harus gusar tentang apa yang boleh dibaca oleh anak-anak kecil kita dalam surat khabar.

Kanak-kanak pada usia 7 tahun ke bawah memiliki daya ‘perhati dan tiru’ yang tinggi. Sepatah pun mereka tak bercakap tetapi selepas itu perilaku kita diikutinya ‘sebijik-sebijik’. Dia tak tanya kenapa kita buat begitu sebaliknya dia melakukan sendiri untuk mendapatkan jawapannya.

Ringkasan di bawah saya buat selepas membaca satu surat khbar baru-baru ini. Cuba kita renungkan....

Mukasurat pertama – guru rogol murid
Mukasurat kedua – senior buli junior
Mukasurat ketiga – khalwat isteri orang
Mukasurat keempat – murtad
Mukasurat kelima – tunjuk kemaluan
Mukasurat keenam – cabul cucu
Mukasurat ketujuh – iklan permainan
Mukasurat kelapan – pekan kotor
Mukasurat kesembilan – rasuah
Mukasurat kesepuluh – artis cerai
Mukasurat seterusnya - iklan filem sumpahan hantu

Sayangilah anak anda sepenuh hati dan perhatian.