Pages

Thursday, February 16, 2012

Berbaloikah Belanja Untuk Motivasi Anak?


Segala puji bagi Allah SWT dan solawat serta salam ke atas Baginda junjungan SAW. Terima kasih saya ucapkan kepada para ibubapa dan peserta yang telah memberi sokongan kepada AsasInsan dengan menyertai pelbagai program motivasi yang telah kami anjurkan, sejak 2004.

Saya tertarik dengan ungkapan Sohibus Samahah Timbalan Mufti Negeri Sembilan dalam ucapannya merasmikan majlis penutupan satu program motivasi yang saya kendalikan akhir tahun lepas, dia menyebut “tuan-tuan dan puan-puan tidak perlu risau dengan duit yang dikeluarkan untuk menghantar anak menyertai program motivasi ini. Itu hak mereka dan tanggungjawab kita. Percayalah jika kita benar-benar ikhlas duit itu nanti Allah SWT akan gantikan dengan rezeki yang lain yang lebih baik.” Terubat hati para ibubapa yang hadir mendengar.

Memang benar! Bukan murah untuk menghantar anak untuk menyertai program motivasi hari ini. Bukan RM20-RM30 tetapi ratusan bahkan ribuan ringgit. Itu saya akui sebab yuran program motivasi remaja yang saya kendalikan pun yurannya lebih kurang RM300 untuk 2 hari program untuk seorang anak. Cuba bayangkan kalau kita ada 2 atau lebih anak, berapa banyak yang perlu disediakan? Saya juga ada anak dan saya faham.

Kemudian saya terfikir pula, kalau zaman saya belajar dulu ada program motivasi seperti hari ini, adakah mak dan ayah saya akan belanja duit untuk hantar saya menyertai program motivasi? Kalau yurannya RM20-RM30 mungkinlah mereka hantar tapi kalau RM300 saya tak berapa pasti. Tapi satu yang saya pasti mak dan ayah saya sentiasa cuba memberi yang terbaik untuk saya dan adik beradik yang lain belajar pandai. Tuan-tuan dan puan-puan pun saya kira begitu juga.

Apa isunya di sini? Duit dan hari ini tidak boleh dipisahkan umpama aur dengan tebing atau irama dan lagu. Kita bayar untuk menonton, makan, basuh baju, qodo’ hajat dan tidur. Semuanya tak upaya kita lakukan dengan selesa tanpa duit dikeluarkan. Zaman saya kecil dulu, satu keluarga boleh tidur nyenyak kerana tahu sekeliling kampung ada orang jaga, orang panggil rukun tetangga. Tapi hari ini, kalau nak selesa, bayarlah! Alasannya, lebih mudah.
Itulah hakikat zaman ini. Tidak adil sebenarnya kalau dibandingkan dengan zaman lampau. 

Daripada banding dengan zaman kecil-kecil dulu baik banding dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu.

Berbalik kepada isu asal, program motivasi. Saya selalu diberitahu oleh pihak masjid yang bekerjasama menganjurkan program motivasi kononnya yuran tidak boleh ‘diletak’ tinggi-tinggi. Alasannya kalau buat dengan masjid yuran kena rendah atau semolek-moleknya ‘free’. Itu mentaliti masyarakat Melayu Muslim kita. Bila program masjid sahaja mesti ‘free’. Padahal kalau nak dikira, berapa banyak duit yang kita sedekahkan setiap kali tabung masjid lalu depan kita. Selalunya tabung lalupun kita tak sedar sebab asyik melayan kantuk dan lena sambil dibuai alunan khutbah. Sampai bila kita perlu berfikiran begini. Ini minda subsidi kronik. Tiada subsidi kita seolah-olah tak boleh hidup. Mungkin.

Pernah seorang ibu tunggal membayar hampir RM1000 untuk menghantar 3 orang anaknya menyertai program motivasi yang saya kendalikan beberapa tahun lepas. Dia memberi amaran kepada saya jangan sesekali memberinya diskaun yang bukan-bukan hanya kerana dia seorang ibu tunggal. Ibu Superb! Tapi berapa ramai? Maka cubalah bayangkan kalau semua mak ayah berfikiran sedemikian.

Dalam program yang sama ada seorang ibu yang lain pula memberitahu saya bahawa dia pernah menghantar anaknya menyertai program motivasi yang dianjurkan oleh ‘orang luar’ dengan kadar yuran lebih RM3000 seorang. Pun Ibu Superb!

Balik-balik ibu, mana ayah? Ayah tak kisah kah? Siapa kata ayah tak kisah. Saya sendiri ayah dan saya kisah.

Juga beberapa tahun lepas, ada seorang ayah yang sanggup berulang dari Perak ke Bandar Seri Putra Bangi dengan motorsikal semata-mata untuk menghantar anaknya menyertai program motivasi yang saya kendalikan. Anaknya sertai tiga siri.

Ada juga seorang ayah yang menghubungi pejabat saya untuk mendaftar anaknya menyertai program motivasi yang saya anjurkan dari dalam pesawat sebaik sahaja mendarat di KLIA. Dia dalam perjalanan pulang dari Perancis.

Hendak seribu daya (usaha) tak hendak seribu dalih (alasan). Dalam berusaha kita kena ingat jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Oleh itu, alang-alang seluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Sebabnya kita tahu yang bulat tak datang bergolek dan yang pipih tak datang melayang.

Itulah masalah orang kita terlalu berkias. Maksud lambat sampai. Kiasan itu tanda beradab. Tapi kalau berkias sampai menjadikan kita lambat dan tertinggal maka itu telah menjejaskan peradaban.

Pendek cerita, dalam kita berkira-kira untuk keluarkan belanja untuk program motivasi anak-anak, saya saran kita jadikan ini sebagai sandaran pertimbangan iaitu apa yang kita beri kepada mereka hari ini akan menjadi tanda nilai apa yang bakal kita terima di kemudian hari. Jadilah ibu ayah yang bakal mereka kenang, hargai dan sebut dalam doa setiap hari sehingga akhir hayat mereka. Insya Allah

Segala-galanya urusan Allah SWT. Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment