Jika dibandingkan bulan Ramadhan semasa zaman saya budak-budak dulu (kira-kira 25 tahun lepas) dengan Ramadhan sekarang, banyak bedanya.
Dulu, ia memang betul bulan puasa sebab orang Islam memang berpuasa dan makannya juga kurang daripada hari-hari di bulan biasa. Siang puasa, malam juga kurang lebih berpuasa (kerana kurang makan).
Kini walaupun orang Islam masih jua puasa seperti dulu-dulu, tapi makan di kala berbuka dan waktu selepas berbuka, masyaAllah, tuhan saja yang tahu.
Nafsu makan dihangatkan dengan ratusan menu dan citarasa hidangan berbuka samada yang dilambakkan di bazar-bazar Ramadhan, restoran-restoran mahupun hotel-hotel. Macam-macam bentuk, warna, rupa, rasa dan nama.
Bahkan kini, bukan lagi asing berbuka puasa bahkan bersahur di hotel-hotel. Lihat saja promosi Ramadhan yang dibuat oleh hotel-hotel di seluruh negara.
Jadi apahalnya saya ungkitkan soal ini?
Ya untuk kita sama-sama fikir dan rasa. Apa masih ada lagikah kuasa aura berlapar dengan berpuasa dalam bulan Ramadhan zaman ini?
Mengapa kita diwajibkan berlapar di siang hari dalam bulan mulia ini kalau ia tidak memberi apa-apa manfaat inteletual, spiritual, emosi dan fizikal kepada kita? Bukankah ia satu yang sia-sia dan kerugian di kala rakan bangsa lain kenyang menjamah dan meneguk hidangan pelbagai rasa sebelum memulakan urusan kehidupan harian seperti biasa sedang kita boleh tengok saja?
Sesungguhnya Allah swt tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Ramadhan pasti bukan satu yang sia-sia. Tetapi hakikatnya, dek kerana perangai, pemahaman dan sikap orang Islam sendirilah yang menjadikan Ramadhan mereka sia-sia.
Bukan satu yang asing, di kala menunaikan solat tarawih orang Islam lebih suka berimamkan imam ‘gear lima’. Cepat habis. Di mana lagi tarawihnya? Faham atau tidak kita apa itu tarawih? Masalahnya mana datangnya imam jenis gear lima ini? Imam jenis ini faham atau tidak apa itu solat tarawih?
Tarawih adalah terapi. Ia mendamaikan hati dan jiwa yang berkecamuk selama 11 bulan yang lalu. Diri terasa sangat hampir dengan Pencipta. Terasa indah lama berdampingan denganNya. Terasa tenang suara hati kita didengariNya. Sayu dan hiba mendengar mukjizat wahyuNya. Tubuh terasa segar dan bertenaga setelah dicas semula, setiap malam selama 30 hari. Subhanallah
Ramadhan menjadikan orang Islam lebih proaktif dan produktif. Bangun awal, masa bekerja lebih daripada biasa, kurang bercakap, kurang makan, banyak bersedekah, banyak senyum dan berlumba-lumba buat amal kebaikan.
Kenapa perlu kita balik awal dari pejabat pada bulan Ramadhan? Jika kita ikut teladan yang tunjukkan oleh Rasulullah saw, setakat nak sediakan air minuman dan kurma sebagai jamahan berbuka, apa perlunya balik awal? Tapi tidak, gamitan nafsu lapar dan kemeriahan hiruk-pikuk bazaar Ramadhan memadam teladan mulia itu dari rekod kecerdikan fikir, rasa dan tindakan kita. Subhanallah
Justeru itu, baik rasanya andai dapat Ramadhan kali ini kita mulakan satu pelan tindakan baru agar Ramadhan benar-benar berbekas dalam jiwa kita. Agar Ramadhan benar-benar menjadi ‘sekolah pondok kepada roh’ kita. Agar Ramadhan benar-benar menjadi ‘kunci pintu syurga’ untuk kita.
Seru diri kita sendiri dan seru anak-anak dan isteri kita. Kita buat sedikit kelainan Ramadhan kali ini. Kita ‘lawat’ bazaar Ramadhan sekali atau paling banyak empat kali saja. Kita berbuka dengan air dan tamar sahaja. Kita makan malam seperti biasa selepas solat maghrib berjemaah. Kita mengaji sama-sama. Kita ke surau untuk solat tarawih beramai-ramai. Duit yang lebih kita sedekahkan setiap hari. Kita solat sunat sebelum sahur. Kita minum segelas susu semasa sahur. Kita tunggu malam Al Qadar dengan penuh surprise setiap malam. Allahu akbar indahnya Ramadhan kali ini.
Semoga Allah swt membuka pintu-pintu hati kita untuk merasai segala nikmat Ramadhan yang sebenar.
Andainya Ramadhan kali ini adalah yang terakhir, adakah kita bersedia? Jom sama-sama kita fikir, rasa dan lakukan yang terbaik untuk Ramadhan kali ini.
Ramadhan Kareem. Selamat menjalani ibadah puasa.
No comments:
Post a Comment