Pages

Monday, May 10, 2010

Ajar atau Didik?

Guru-guru sekarang mengajar atau mendidik? Kalau sebelum ini mereka dinaungi Kementerian Pendidikan, jadi mereka mungkin ‘mendidik’ tapi sekarang ‘bos’ mereka Kementerian Pelajaran, makanya kini mereka tidak lagi perlu mendidik cukup sekadar mengajar. Anda setuju?


Pendidikan dan pelajaran, secara lughah pun rasanya, pada hemat saya, semacam membawa makna yang berbeda. Pelajaran lebih merujuk kepada subjek atau apa yang dipelajari dan diajarkan. Lebih kepada menyampaikan dan memahami apa yang disilibuskan.

Jarang saya rasa kita sebut ‘ibubapa bertanggungjawab mengajar anak-anak’ tapi kita sering sebut ‘ibubapa bertanggungjawab mendidik anak-anak’. Bukankah ada beza di situ? Mendidik kelihatan seperti lebih menyeluruh. Merentas sempadan silibus. Ia bukan sekadar menyampaikan dan memahami. Ia membangunkan segenap potensi. Potensi diri sebagai seorang insan.


Profesyen perguruan di negara kita ini sangat sensitif. Sensitif dengan macam-macam isu. Ini tidak boleh dielakkan kerana ia merupakan juzuk penting dalam sistem hidup rakyat negara ini bahkan di mana-mana negara dalam dunia ini. Maka pergerakannya sentiasa diperhatikan. Sedikit lambat, tersasar apatah lagi tersilap pasti ada saja suara yang akan ‘menegurnya’.

Jika anda berhadapan dengan pilihan untuk menerima atau pun tidak tawaran kerja sebagai seorang guru, saya fikir anda perlu terlebih dahulu memutuskan antara dua, anda ingin terima bayaran upah untuk kerja anda dengan hanya mengajar atau menjadi seorang murabbi. Ini penting kerana, bagi saya tugas sebagai seorang guru sangat mulia kerana ia bukan sekadar kerja. Peranan ‘keguruan’ dipikul 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 12 bulan setahun sehingga akhir hayat. Jika anda rasa ia berat dan sukar dipikul, pilih saja kerjaya lain, pegawai bank mungkin?


Jika anda kerja sebagai CEO syarikat multinasional gergasi, orang tak akan panggil anda CEO Mamat, paling-paling orang akan panggil gelaran kebesaran yang anda terima, jika ada. Tapi sebagai guru, kerja anda bersatu dengan diri anda, Cikgu Mamat. Pengalaman saya semasa di universiti dahulu, Timbalan Naib Canselor HEP waktu itu lebih suka disapa dengan nama ‘Cikgu’ daripada ‘Dr.’ kerana kerjayanya bermula sebagai guru.


Hanya guru yang mempunyai akses langsung kepada generasi masa depan negara. Anak-anak didik yang kita bangunkan hari ini akan mengisi masa depan negara dalam pelbagai lapangan. Dari pucuk pimpinan tertinggi negara sehinggalah yang sekadar berstatus rakyat jelata. Semuanya perlu melalui fasa tumbesaran minda, rohani, emosi dan jasmani yang diadun oleh air tangan guru. Bukankah PM kita hari ini juga pernah darjah satu suatu ketika dulu? Bangga atau tidak guru-guru yang mengajarnya dulu?


Tak berapa lama dulu saya teringat seorang rakan pernah menjawab spontan “aku ingat betul pesanan ustazah aku masa darjah dua dulu. Dia kata tak masuk syurga kalau minum walaupun setitik. Itu sebab Alhamdulillah aku tak pernah minum.” Saya rasa anda tahu kami berbicara tentang apa. Cuba anda bayangkan jika pada waktu itu si usatazah sekadar ‘mengajar’ arak itu haram, apa mungkin jawapan rakan saya itu hari ini?

Buat guru-guru yang ‘mendidik’ pesan saya mudah sahaja, betulkan niat dan jangan putus mendoakan anak-anak didik kita. Hari Sabtu yang lepas semasa bersama-sama guru-guru SMK Seksyen 10 Kota Damansara, saya dedahkan rahsia bagaimana untuk memenangi dan disenangi oleh anak-anak didik. Ada ‘50 langkah’ mudah semuanya.


Mungkin ada yang musykil, apalah yang saya tahu tentang tugas guru dan anak murid. Ya, memang benar saya bukan cikgu dan itulah yang sering saya ingatkan setiap kali memulakan bicara dengan pelajar sekolah. Tapi saya rasa pengalaman hidup dibesarkan oleh ibu dan ayah yang mengerah seluruh keringat dan kudrat demi tugas mereka sebagai guru cukup ‘mendidik’ saya tentang siapa guru sebenarnya.


Buat emak, ayah, guru-guru yang pernah mendidik saya sehingga saya mampu berdiri seperti hari ini dan semua warga pendidik (bukan ‘pengajar’), Selamat Hari Guru. Mutiara hadith di bawah ini adalah ‘hadiah’ buat kalian…

“Barang siapa yang memulakan sesuatu perkara yang baik, baginya pahala dan pahala sesiapa sahaja yang menurutinya.”

Barakallahu fiikum.

2 comments:

  1. bagi saya tugas sebagai seorang guru sangat mulia kerana ia bukan sekadar kerja. Peranan ‘keguruan’ dipikul 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 12 bulan setahun sehingga akhir hayat.

    kata2 ini harus diberikan sebagai hadiah buat insan2 yg mengatakan kerjaya guru itu senang~~

    thanks che e, post ini menyemarakkan lagi semangat sayer sbg bakal guru!

    ReplyDelete
  2. Tahniah cHeQgu sQema, berusahalah shingga anda terus tersemat dlm minda anak-anak didik shingga apabila mereka diminta utk sebut, tulis atau ingat satu nama guru yg paling mempengaruhi hidup mereka, nama & wajah anda mjadi yg Pertama walaupun pd ketika itu mereka sudah bercucu bercicit. Tahniah!

    ReplyDelete