Pages

Friday, April 30, 2010

Wednesday, April 28, 2010

Tangani Gejala Sosial Remaja; Mulakan Dengan Langkah Kecil?


Pelbagai persoalan menerjah ke minda kita yang waras ini apabila terbaca berita-berita mengenai salah laku di kalangan pelajar sekolah atau remaja di negara ini.

Persoalan tentang psikologi remaja, peranan ibubapa, sistem pendidikan, fungsi kejiranan, tanggungjawab guru, peranan institusi agama, faktor teknologi dan bermacam-macam lagi. Sebenarnya persoalan-persoalan ini berhubung kait antara satu dengan yang lain. Dalam erti kata lain, merungkai satu persoalan sahaja tanpa menyelesaikan persoalan yang lain tetap tidak akan menyelesaikan masalah pokok.

Remaja mudah terjebak dengan aktiviti kurang sihat dan ini bukan satu perkara yang pelik atau perlu dihairankan. Sejak dahulu lagi kajian dalam bidang psikologi menunjukkan pada peringkat remaja mereka berada dalam keadaan “keliru dan tercari-cari” dalam membentuk identiti mereka yang sebenar. Menurut teori perkembangan psikososial ahli psikologi Eric Ericson (1902-1994), pada peringkat ini ia dipanggil Stage of Learning Identity versus Identity Diffusion (Fidelity). Ini proses fitrah dalam mencapai kematangan.


 Yang perlu kita hairankan ialah apa yang dilakukan oleh golongan dewasa yang kononnya telah matang, seperti ibubapa, guru, keluarga, jiran, imam dan pemimpin masyarakat dalam membimbing golongan mentah ini mengharungi dengan selamat fasa kehidupan remaja yang penuh dengan kekeliruan. Jika kita yang dewasa ini telah memainkan peranan masing-masing dengan betul dan sempurna, mengapa masih berlaku kes salah laku remaja hari ini?

Mengambil contoh kes zina dan bunuh yang dilakukan oleh remaja. Bunyinya seperti terlalu dasyat kerana selama ini perspektif kita juga telah diprogramkan untuk melihat jenayah ini “lebih lembut” dengan penggunaan istilah seks bebas atau seks luar nikah dan buang bayi.

Kita ambil contoh satu kes yang berlaku di mana untuk ‘membersihkan’ maruah diri, teman lelaki dan keluarganya ada kes seorang remaja perempuan (penulis tukar namanya kepada XX) berusia 14 tahun telah membunuh anak yang dilahirkan dengan membuangnya dalam tong sampah. Mari kita buat analisis ringkas untuk melihat siapa yang ‘terlibat’ dalam kes ini.

XX tidak akan membunuh jika dia tidak melahirkan anak haram dan dia tidak mengandung anak haram jika tidak berzina dengan teman lelakinya, XY. XX dan XY tidak akan berzina jika mereka tidak berpacaran dan mereka tidak akan berpacaran jika mereka dibimbing dengan betul untuk menjawab kekeliruan mereka tentang cinta, perhubungan dan seks.


Siapa yang patut memberi kefahaman ini kepada mereka kalau bukan kita yang dewasa. Ibubapa sebagai insan paling dekat dengan mereka sejak kecil berperanan membina perspektif mereka bahawa tiada istilah cinta dan remaja dalam Islam apatah lagi seks sebelum kahwin.

Seks sebelum kahwin adalah zina dan ia adalah satu daripada dosa-dosa besar yang amat dasyat kesannya kepada diri secara fizikal, emosi dan rohani sehingga akhir hayat di dunia dan di akhirat. Allah swt tlah memberi amaran dalam Al Quran melalui firmannya dalam surah Al Isra’ ayat 32 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Cinta dan hubungan hanya dalam perkahwinan.

Ilmu ini sepatutnya mudah ‘diajarkan’ oleh ibubapa kepada anak-anak dan mustahil perkara semudah ini pun kita perlukan ustaz atau ulama. Ilmu tentang agama bukan hanya milik ustaz atau ulama tetapi milik semua kita yang bergelar muslim. Itulah sebabnya kita wajib menuntut ilmu sebelum menyanggupi satu-satu tanggungjawab selaras hadith Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Hassan Al Mawardi yang bermaksud, “Sesiapa yang inginkan kebahagiaan di dunia maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kebahagiaan di akhirat maka hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang inginkan kebahagiaan kedua-duanya sekali maka hendaklah dia berilmu.”

Perspektif XX dan XY tentang perkara ini menjadi lebih kukuh dan lebih diyakini jika guru-guru membimbing dan mewujudkan budaya bebas cinta, dan bukannya cinta bebas, di sekolah melalui pelbagai program pembudayaan yang konsisten. Subjek Pendidikan Islam dan Moral sepatutnya diajar melangkaui skop akademik semata-mata. Ia mesti dan sepatutnya menjadi sistem hidup pelajar. Prestasi subjek ini bukan disandar kepada jumlah A atau E dalam peperiksaan tetapi kepada nilai akhlak, amalan dan jatidiri pelajar. Di dalam kelas mereka diajar arak dan zina itu adalah dosa besar tetapi sekelip mata di luar kelas mereka melakukannya. Pelik!

Dalam iklim moral yang agak gawat kini, seharusnya setiap seorang guru tidak kiralah apa subjek yang diajar, mengambil tanggungjawab sosial setiap hari meluangkan masa tidak lebih 5 minit di awal masa mengajar untuk membina perspektif anak-anak didik tentang hakikat kehidupan.

Cuba kita kira, 5 minit X 6 waktu X 5 hari X 4 minggu bersamaan 10 jam sebulan. Penulis rasa itu adalah satu tempoh masa yang lebih daripada mencukupi untuk mendidik anak-anak tentang erti kehidupan. Kita tak perlu buat silibus baru, tambah waktu persekolahan atau guru dan sebagainya. Cukup sekadar kesedaran, kemahuan dan komitmen setiap guru.


Dulu guru juga yang ajar kita, sikit-sikit lama-lama jadi bukit dan ringan sama dijinjing berat sama dipikul. Soalnya adakah guru-guru sekarang memahami apa yang diajar oleh guru-guru dulu? Faktor guru sering bertukar sekolah juga adakalanya menjadi punca usaha-usaha pembudayaan positif yang dilakukan terbantut sekerat jalan.

Selain itu, imam-imam masjid perlu mengambil tanggungjawab penuh mengingatkan dan memberi pedoman praktikal kepada para bapa khususnya melalui khutbah jumaat agar mereka tidak terlepas pandang untuk membimbing dan memantau tumbesaran jiwa anak-anak remaja mereka. Sehari pun kita tidak sanggup membiarkan perut anak-anak kita kosong tetapi kenapa sanggup membiarkan mereka kosong minda, jiwa dan rohani sehingga dewasa?

Isi kandungan dan gaya penyampaian khutbah perlu disegarkan agar ia mampu menerjah ke lubuk fikir dan hati para jemaah dan bukannya mengundang selera lena seperti semua sedia maklum. Kenapa terlalu ‘takut’ dan terikat dengan teks khutbah yang disediakan oleh pihak berkuasa agama sehingga memandulkan kreativiti dan intelektualiti khatib?

Pastinya seseorang khatib yang bertauliah punyai pengetahuan, ilmu dan pengalaman sendiri yang luas dan inilah bahan praktikal yang patut diserasikan dengan teks khutbah rasmi agar ia lebih mesra pendengar, memberi makna dan bukan sekadar pengisian ritual yang adakalanya sampai ke tahap membuang masa kerana tidak diketahui apa tujuannya. Seseorang khatib lebih memahami suasana setempat masjid di mana dia berkhutbah berbanding pegawai agama yang duduk di ibu negeri yang menyediakan teks tersebut. Mustahillah hendak bagi contoh pun perlu mendapat kebenaran bertulis penguasa.


Lebih jauh daripada itu, pelbagai program boleh diatur oleh masjid untuk memberi ruang kepada golongan remaja lelaki dan perempuan dalam kariah masing-masing menyumbang idea dan tenaga sekaligus menjadi sahabat dan ‘rapat’ dengan masjid. Masjid dan surau adalah untuk semua golongan dan bukan untuk golongan tertentu sahaja.

Tidak salah juga jika dikatakan teknologi komunikasi dan maklumat kini juga menjadi wahana memburukkan lagi keadaan. Teknologi tidak bersalah. Yang salah kita yang menggunakannya. Berapa ramai daripada ibubapa hari ini yang ada ‘kuasa’ atau ‘ilmu’ untuk memeriksa isi kandungan gajet komunikasi milik anak-anak?

Ibubapa kini, tidak keterlaluan jika dikatakan, seolah-olah buta hati apabila boleh mempercayai bulat-bulat yang anak-anak mereka hanya menggunakan gajet-gajet tersebut untuk tujuan baik seperti belajar, cari maklumat untuk tugasan sekolah, hubungi kawan untuk perbincangan kerja sekolah dan hubungi ibubapa apabila ada kecemasan.

Langsung tidak masuk akal! Sekarang dengan tersedianya prasarana teknologi maya tanpa wayar berkelajuan tinggi, hanya satu dua klik mereka terdedah dengan bermacam-macam ‘maklumat yang merosakkan’.

Sebagai ibubapa kita seharusnya bijak menerangkan kepada anak-anak tentang keperluan memiliki gajet-gajet tersebut. Kita jangan mudah termakan dengan rengekan manja anak-anak hanya kerana kita sayangkan mereka.


Sayangkan anak bukan bermakna mesti berikan mereka segalanya. Sudah sampai masanya, sayangkan anak ada perkara yang tidak patut kita berikan. Bak kata pepatah ‘sayangkan anak tangan-tangankan’. Tangan-tangankan bukan sekadar bermaksud denda atau rotan tapi mungkin juga bermaksud tidak boleh, tidak perlu atau jangan! Jangan pula nanti anak kita mengulangi skrip si Sazali, “bapak yang bersalah dalam soal ini! Bapak membesarkan Sazli dengan cara membabi buta saja!” dalam filem Allahyarham P. Ramlee Anakku Sazali.

Kesimpulannya, jika semua pihak benar-benar sedar dan prihatin untuk tangani isu salah laku sosial di kalangan remaja langkah pertama yang boleh dan wajar kita lakukan ialah menilai kembali apa fungsi terbaik yang boleh kita lakukan sebagai diri kita sendiri sekarang. Semua perlu bergandingan dan berhenti menuding jari.


Mulakan dengan ahli keluarga kita sendiri dahulu. Bermula dari keluarga ia akan berkembang menjadi penduduk kemudian masyarakat dan percayalah akhirnya rakyat negara seluruhnya. Lakukannya walaupun ia kecil kerana perkara kecil yang dibuat selalu dan konsisten tanpa jemu adalah jauh lebih baik daripada perkara besar dan gah yang dibuat hanya sekali dua. Batu yang keras pun lama-kelamaan berlekuk jua ditimpa dek titisan air yang tak pernah jemu menitik.

7 Langkah Membina Tabiat Baru

Bosan dengan diri anda kerana asyik melakukan benda yang sama, kurang perkembangan diri dan merasakan anda hanya duduk di takuk lama tanpa ada perubahan yang nyata. Mungkin anda perlu memulakan 1 tabiat baru hari ini. Cuba fikirkan sejenak, tabiat apa yang jika anda lakukan anda rasa anda akan jadi hebat dan ia masih belum menjadi tabiat anda? Sekarang ikuti 7 langkah berikut yang saya petik daripada sumber bacaan saya dan telah saya amalkan sendiri. Mungkin ia juga sesuai untuk anda… Selamat mencuba.


1. Ambil tanggungjawab penuh terhadap hidup anda. Anda sahajalah yang bertanggungjawab ke atas kejayaan anda bukannya orang lain, bukan keadaan, bukan seorang motivator atau sesiapapun.

2. Buat perancangan rapi untuk menentukan halatuju dan tujuan hidup anda. Seboleh-bolehnya tulis matlamat dan perancangan anda agar ia boleh diulang baca. Maklumlah kita inikan mudah lupa.

3. Untuk capai matlamat anda, gunakan motivasi untuk merangsang anda memulakan tindakan. Tapi yang jauh lebih penting, selalu bertanya kepada diri anda, untuk mencapai matlamat tersebut, tabiat (kebiasaan) baru apa yang harus saya miliki? Dan tabiat lama apakah yang harus saya buang? Jadi ubahlah tabiat bekerja anda bahkan jika perlu, ubahlah tabiat hidup anda untuk disesuaikan dengan matlamat yang hendak anda capai.



4. Ketika memulakan tabiat baru, lakukan tabiat tersebut dengan fokus dan cari perkara yang anda sukai dari tabiat tersebut.

5. Jika anda telah memutuskan tabiat apa yang hendak dimulakan atau ditinggalkan, tetapkan masanya dan apabila masanya tiba lakukan terus tanpa perlu difikir-fikirkan lagi, bak kata orang putih “Just do it!”.

6. Tabiat baru yang anda lakukan atau tabiat lama yang anda tinggalkan perlu sampai kepada tahap ia berlaku secara automatik. Selagi belum jadi automatik ia belum lagi menjadi tabiat anda. Jadi sewaktu melakukan tabiat baru tersebut, bayangkan dan lakukannya seolah-olah ia telah lama menjadi tabiat anda. Contohnya, jika anda mula membaca satu muka surat buku hari ini sebagai memulakan tabiat baru membaca buku setiap hari, sewaktu membaca bayangkan itu adalah buku yang ke 100 telah anda baca.



7. Tabiat terbit dari minda bawah sedar. Sebagai contoh, gosok gigi. Adakah setiap pagi apabila anda hendak menggosok gigi anda akan cakap “aku nak gosok gigi.” Tidak bukan? Ia berlaku dengan sendiri tanpa perlu anda katakan hendak melakukannya. Jadi inilah yang dikatakan tabiat. Jika tabiat hebat yang kita serap dalam minda bawah sedar kita maka perkara hebatlah yang kita lakukan dan hasilkan dan begitu jugalah sebaliknya.

Jom mulakan 1 tabiat hebat yang baru hari ini. Jangan jemu mencuba….

Tuesday, April 27, 2010

Ada hargakah air liur?


Bukan mudah untuk menjadi seorang motivator. Satu hari anak saya pernah memberitahu kononnya seorang ustaz di sekolah agama memberitahunya “pekerjaan bapa awak (saya) hanya jual air liur”.

Ya memang betul saya perlukan air liur untuk melancarkan bicara. Adakala sehingga tersembur-sembur air liur bersungguh-sungguh hendak menjelaskan sesuatu perkara atau maksud di dalam benak minda.

Itu sebab saya sering membawa air mineral apabila dijemput memberi ceramah kerana sudah banyak kali ada penganjur tidak menyediakan air kosong untuk saya teguk. Mungkin mereka fikir mereka sudah bayar ‘air liur’ saya jadi apa perlunya disediakan lagi air yang lain.


Tetapi air liur sahaja tanpa ilmu tidak membawa sebarang nilai. Samalah juga dengan air liur ustaz itu. Jika dia gagal mendidik anak-anak didiknya dengan ilmu agama sebaiknya maka air liurnya juga tidak bernilai bahkan sia-sia. Begitulah juga saya.

Banyak pihak yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk air liur orang lain seperti selebriti mendendangkan beberapa buah lagu buat halwa telinga beberapa minit.

Seorang rakan saya juga buat bisnes jutaan ringgit dengan 2 air liur. Air liur burung walit dan air liurnya sendiri. Burung walit membina sarang untuk bertelur dengan air liur dan nilai jualan sarang burung walit mencecah puluhan ribu ringgit satu kilogram.


Rakan saya ini menggunakan air liurnya pula untuk mengajak, menjelas dan memberi motivasi kepada ramai orang khususnya bumiputera untuk merebut peluang bisnes yang jarang orang kita ceburi ini. Nak tahu lebih lanjut klik di sini.

Ia kelihatan mudah, bercakap. Bukanlah dinamakan motivator kalau dia tidak boleh bercakap atau gugup sewaktu bercakap. Anda boleh menjadi motivator walaupun tiada tangan dan kaki tetapi anda tetap perlu bercakap. Klik di sini.

Tetapi kita sering terlupa merungkai banyak perkara sebelum seseorang motivator mula bercakap. Ilmu, pengalaman, keyakinan, teknik, skil, tenaga (fitness), imej, motivasi diri (conviction) dan persediaan. Inilah yang menjadikan seorang motivator motivator.


Kesimpulannya, kita buatlah yang terbaik sebagai diri kita. Jangan khayal persoalkan hak orang lain. Setiap kita mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri. Cari ia sekarang dan gunakan ia seoptima mungkin. Anda pasti HEBAT.

Buat sahabat-sahabat motivator yang lain, apapun yang kita bicarakan seboleh mungkin ‘ibda’ bi nafsik’, kata orang Arab. Ada amanah dakwah dalam tugasan kita. Berapapun bayaran yang kita kenakan, sentiasalah ingat kita tetap akan dipersoalkan kelak.

Wallahu a’lam