Pages

Wednesday, December 30, 2009

2010 tahun untuk mendengar?

Amboi-amboi Sister Jamilah, bukan main teruja lagi macam dah setahun tak jumpa ye.
Magis Kuasa Sentuhan. Hilangkan rasa gusar, syak wasangka dan rasa lebih dihargai.
Tumpuan yang diberikan oleh beliau amat saya hargai. Jangan lupa emel saya untuk dapat hadiah.
Macam-macam gaya, superman, ultraman, power rangers semua terkeluar! Itu potensi dalaman yang terpendam.
Pn. Haryani, Pn. Tan, Pn. Salbiah, En. Haikal, Pn. Jamilah... terima kasih daun keladi. Doakan kita berjumpa lagi.


Sejauh mana kita mahir mendengar atau sejauh mana kita sedar bahawa mendengar itu penting?


Dalam program KLIMAK di Hospital Kluang pada 16 Disember lepas, saya meminta para peserta untuk memilih seseorang dalam dewan program yang sangat mereka kagumi atau hargai. Tuliskan namanya dan 3 sebab kenapa dia dikagumi atau dihargai. Pada peringkat ini reaksi peserta biasa sahaja dan tanpa banyak soal terus menulis.


Kemudian, saya minta mereka mencari orang tersebut dan bacakan 3 sebab tersebut kepadanya. Pada ketika ini, reaksi mula berbeza. Terpancar riak terkejut, ragu-ragu, malu, kurang yakin, teruja, seronok, tak sabar-sabar dan macam-macam lagi. Ternyata, apabila orang lain mula ‘mendengar’ isi hati kita, ada tindak balas berbeza pada minda dan emosi kita.


Dalam keadaan kita hari ini, saya fikir ramai daripada kita termasuklah saya sering terlepas pandang perkara ini. Masakan tidak, bermula dari pagi seluruh penumpuan kita berikan kepada tugasan yang perlu disiapkan segera samada untuk tatapan bos, klien, penonton, tetamu, pesakit, rakyat atau siapa sahaja yang penting dalam kerja kita. Kesibukan menyebabkan kita sering ‘terlupa mendengar’.


Mendengar penting dalam membina hubungan dengan orang lain samada dalam keluarga mahupun di tempat kerja. Apakah kemahiran penting bagi seorang wakil rakyat yang hebat, menutur kata bicara yang memukau atau mendengar dengan penuh tumpuan? Adakah kemahiran ini yang dimiliki oleh wakil-wakil rakyat kita, yang jelas mahukan dirinya didengar sewaktu kempen pilihanraya?


Bagi seorang doktor atau jururawat, kepakaran mereka mendiagnos, merawat dan memberi ubat sememangnya penting. Tetapi kemahiran pertama yang lebih penting ialah mendengar. Saya lebih suka ‘berurusan’ dengan doktor yang terlebih dahulu ingin mendengar dengan tumpuan apa yang ingin saya katakan daripada doktor yang tidak sabar-sabar ingin memeriksa dan mencatat diagnosisnya dalam kad rekod rawatan saya. Saya fikir anda juga begitu.


Anda yang keletihan sehari suntuk berkerja baru sahaja melangkah masuk rumah. Belum pun sempat membuka sarung kaki anak anda berlari meluru ke arah anda sambil membawa sesuatu untuk ditunjukkan kepada anda. “Ayah penatlah Aiman… Aiman pergi main kat bilik ye atau tengok tv ada cerita best kat tv tu, nanti ayah tengok, ok.” Itulah reaksi kebanyakan daripada kita apabila berhadapan situasi ini. Apa yang diperlukan oleh si anak sebenarnya hanyalah 1 minit daripada masa kita untuk mendengar apa yang ingin dia katakan. Tetapi bukan ‘mendengar’ yang kita beri sebaliknya arahan.



Mendengar akan meningkat harga diri seseorang. Kita lebih rasa dihargai jika orang mendengar apa yang kita bicarakan. Dengan mendengar bermakna kita mengiktiraf dan menghargai orang lain. Kita ingin dihargai maka hendaklah kita terlebih dahulu menghargai. Bukannya susah, hanya dengan mendengar.


Mendengar juga boleh mengurangkan stress, mengelakkan konflik dan meningkatkan kemahiran untuk menangani individu lain. Kurang kemahiran mendengar boleh menyebabkan kita membuat kerja dua kali, salah faham, memendam perasaan, kekeliruan, kehilangan maklumat penting, menyebabkan rasa malu, kecewa, ganggguan emosi dan pertelingkahan antara individu (Abdul Jalil Hassan, 2006).


Bagaimana dengan pencapaian diri anda setakat hari ini? Adakah anda berpuas hati? Jika belum, mungkin perkara pertama yang perlu kita lakukan sebagai memulakan tahun baru 2010 ini ialah dengan mendengar. Mendengar isi hati orang yang penting di sekeliling kita.


Sebagai perkerja bawahan kita sering mengeluh bos tak mahu dengar cakap kita. Tetapi cuba kita nilai kembali adakah kita telah cukup mendengar isi hati bos kita? Saya yakin jika kita benar-benar mendengar bos kita, dia pasti akan mendengar kita.


Samalah juga kita yang bergelar ibu dan ayah sering mengeluh anak-anak degil tak mahu dengar cakap kita. Cuba kita selusuri dari awal, adakah kita telah cukup mendengar mereka?


Pelbagai cerita rakyat dari isu jual anak, rumah terbengkalai, kemalangan bas-bas ekspres, kehilangan enjin kapal terbang, tanah runtuh, bonus, kes-kes jenayah berat dan ratusan lagi yang lain saban hari menjadi bahan paparan media adalah isi-isi hati yang menuntut untuk didengar. Soalnya siapa yang benar-benar mahu mendengar.


Saya tidak pasti apa akan berlaku jika kita mula mendengar. Tetapi saya yakin dengan menjadi lebih mendengar kita akan menjadi lebih prihatin, sensitif, terbuka dan positif. Bukankah ini yang kita mahukan. Dengan hanya tinggal 10 tahun lagi untuk menjengah tahun 2020 yang kita jangkakan kita akan jadi ‘maju’, mungkin kita patut benar-benar mendengar apa orang luar dan dalam kata tentang diri kita yang sebenar.


Sebagai seorang muslim, kehidupan kita mestilah bergerak selari dengan panduan yang termaktub dalam Al Quran Al Karim dan hadith Nabi SAW. Panduannya jelas. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.” (An Nahl : 108).


Dalam surah Al Anfaal : 21-22, Allah berfirman yang bermaksud “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafiq) yang berkata: Kami dengar, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, di sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).


Terlupakah kita, nikmat iman yang kita ‘terima’ hari ini juga sebenarnya amat berkait dan signifikan dengan kemahiran mendengar. Al Quran yang menjadi panduan kita hari ini kita terima daripada Nabi Muhammad SAW seorang yang ummiy (buta huruf) yang telah mengerah seluruh kemahiran mendengarnya dalam menerima setiap ayat Kalam Allah yang diwahyukan kepadanya melalui perantaraan Jibrail as. Akhirnya kita beriman dan semoga anak cucu generasi akan datang juga kekal beriman sehingga akhirnya masa berhenti berdetik.


40% masa seseorang digunakan untuk dengar berbanding bercakap sebanyak 35%. Namun, seseorang hanya mendengar 25% daripada apa yang dia dengar. Selama ini kita mungkin dengar apa yang isteri, anak, staf, rakan, musuh atau pesaing katakan kepada kita. Mungkin itulah puncanya kita sukar membina hubungan yang hebat sesama insan. Kita hanya dengar dan bukannya mendengar. “I know you believe, you understand what I said, but I’m not sure you realize that what you heard is not what I meant.” Saya petik kata-kata Madelyn Burley-Allen dalam buku yang tajuknya saya tulis di bawah.


Oleh itu, untuk menjana pencapaian yang lebih hebat dalam tempoh 365 hari yang berikut ini, saya fikir setiap kita perlu menilai kembali kemahiran mendengar masing-masing. Kenal pasti kelemahan selama ini dan pelajari cara yang betul dalam mendengar. Ia sangat mudah.


Jika selama ini anda fikir mendengar hanya dengan telinga, ternyata perenggan sebelum ini tepat, anda perlu menilai kembali kemahiran mendengar anda. Saya cadang sebagai permulaan mungkin kita boleh cari, beli dan baca buku ini, Bukan Pekak Tapi Tak Dengar tulisan Abdul Jalil Hassan.


Selamat Tahun Baru 2010 dan Selamat Mendengar.

No comments:

Post a Comment