Pages

Saturday, September 12, 2009

Tips Terubuk Unggul...





Alhamdulillah, walaupun rancangan asalnya datang ‘last minute’, program Klimak Istimewa Ramadhan berjaya dilaksanakan di Institut Pengurusan Kesihatan (IPK), Bangsar, Kuala Lumpur pada 10 September 2009 yang lepas.
Walaupun hanya 3 jam, kepenatannya agak terasa. Mungkin kerana puasa? Bukan. Tapi kerana saya belum benar-benar sihat dari demam yang dialami beberapa hari sebelum itu. Namun, dek kerana amanah, tugas perlu dilaksanakan. Orang dah jemput dan atur segalanya, maka saya bertanggungjawab untuk hadir dan sampaikan. Doa dipanjat ke hadrat Ilahi mohon kekuatan agar mampu melaksanakan tugas kali ini. Alhamdulillah, ‘ceramah’ saya tamat tepat pukul 1.00 tengahari seperti dirancang. Hebat perancangan Allah swt.
Terima kasih saya ucapkan kepada semua peserta di atas kerjasama, perhatian dan maklum balas yang diberikan. Seorang peserta lelaki (namanya saya rahsiakan) telah memberi respon berikut dalam borang penilaiannya:
“Unsur keagamaan banyak diserapkan dalam program ini. Amat baik kerana agama tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan.”
Seorang peserta perempuan pula menyatakan:
“Seronok!! Dapat banyak ilmu… kalau boleh datang lagi untuk bantu memotivasikan diri saya dan rakan-rakan lain.”
Dan seorang lagi peserta perempuan pula memberi respon ringkas: “Memberi kesedaran.”
Paling tidak respon-respon sedemikian memberi gambaran bahawa matlamat awal program tercapai. Apa sebenarnya matlamat program ini? Kenal diri kita sendiri. Dengan kenal diri maka kita akan kenal Pencipta yang Maha Agung. Apabila kita kenal Tuhan mana mungkin kita main-main dalam kerja.
Untuk peserta bertuah yang gambarnya dibulatkan di atas. Tahniah. Sila hubungi saya melalui emel mkfuad@asasinsan.com dan berikanlah maklumat ringkas anda untuk kita kirimkan hadiah misteri yang dijanjikan. Untuk yang lain, jangan kecil hati kalian semua hebat sebenarnya cuma dia terpilih kerana hadiah ada satu sahaja. Lain kali kita bagi hadiah kepada yang lain pula.
Saya yakin ramai di kalangan peserta yang agak ‘terjentik’ dengan aktiviti Diagnosis Kendiri. Sedikit yang dapat Hijau dan majoriti dapat Kuning. Mungkin ada yang dapat Merah tapi segan nak angkat tangan. Tak perlu angkat tangan kalau anda tak mahu sebab itu tidak penting. Apa yang penting dari diagnosis ringkas itu ia dapat memberi gambaran tentang diri kita sendiri. Mampukah atau tidak kita memimpin diri sendiri.
Dunia ini adalah ladang Akhirat dan kita adalah petaninya. Jika kita mahukan hasil yang banyak dan baik untuk bekalan di Akhirat kelak maka jadilah petani yang HEBAT di dunia ini. Tanamlah benih-benih amalan yang HEBAT, sirami dengan taqwa yang HEBAT dan bajai dengan cinta kepadaNya yang HEBAT. HEBAT usaha, insya Allah HEBATlah hasilnya.
Saidina Ali bin Abi Talib k.w. pernah berpesan dengan mengatakan bahawa beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok dan bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya.
Jika masih ingat dalam peta minda Terubuk Unggul tempoh hari, tulangnya yang pertama ialah Kerja sebagai Ibadah. Berusahalah untuk melaras minda kita setiap pagi dan setiap kali kita bersedia untuk bekerja bahawa kita lakukan kerja ini kerana Allah swt.
Kenapa? Kerana sebagai seorang muslim, kita sentiasa berada dalam keadaan beribadah kepada Allah swt. Bukan hanya 5 kali sehari semalam. Jika kita beribadah hanya 5 kali sehari semalam dalam sehari maka kita masih belum kenal siapa diri kita dan siapa Pencipta kita yang sebenar. Berhati-hatilah. Rugi jika kita tergelincir dari landasan pahala dek kerana kejahilan dan kesombongan.
Saudara saudari yang saya hargai, keluarlah dari zon selesa kita sekarang jika zon selesa itu hanya sekadar menjadikan anda selesa berada di takuk lama, kekal tidak berubah, tiada yang hebat dan tiada manfaat kepada orang lain. Sentiasalah berfikir dan mencari idea untuk menjadikan diri kita bermanfaat. Bermanfaat tidak bermaksud kita mesti glamour atau mesti menjadi figura. Setiap hari, kita mendapat banyak manfaat daripada orang lain dan kebanyakannya kita tidak pernah tahupun siapa orangnya.
Bukanlah maksud saya kita tidak perlu bersyukur dengan apa yang kita ada. Bersyukur bukan maksudnya kita kena ‘bercukup’ dengan apa yang ada sahaja. Kita kena sentiasa berusaha untuk menambahbaik prestasi diri dari semasa ke semasa. Jika tidak kenapa Allah swt berjanji di dalam Al-Quran bahawa barang siapa yang bersyukur kepadaNya pasti Dia akan menambahnya dan siapa yang kufur pula Allah sediakan azab yang dasyat baginya.
Justeru, setiap pagi di kala menjengah muka di cermin, bacalah doa yang ustaz kita pernah ajarkan dulu yang maksudnya “Ya Allah, sebagaimana Engkau elokkan kejadian aku maka kau elokkanlah pula akhlaqku.” Dan katakanlah pada imej dalam cermin itu bahawa “KAU HEBAT DAN MESTI JADI HEBAT HARI INI!!!” Berusahalah untuk memotivasikan diri kita sendiri setiap hari untuk sentiasa menjadi insan yang lebih baik daripada semalam. Saya tinggalkan tulisan ini dengan sepotong maksud hadith Nabi saw : “Sesiapa yang dua harinya adalah sama (dalam pencapaian) maka dia pasti seorang yang rugi.” (Sunan Ad-Dailami).
Sekali lagi, segunung penghargaan dan terima kasih kepada Bahagian Latihan IPK kerana sudi menganjurkan program Klimak Ramadhan 2009. Selepas ini Program Klimak Istimewa Ramadhan akan bertemu pula dengan kakitangan Hospital Mersing, di Mersing, Johor dan IOI Edible Oil Sdn. Bhd., di Sandakan, Sabah, Insya Allah. Doa kalian saya dambakan. Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment