Pages

Saturday, September 19, 2009

Salam Eidul Fitri



'EID AL MUBARAK
Semoga Allah menerima amalan kita yang tulus keranaNya.
Maaf Zahir dan Batin
Daripada saya, M. K. Fuad Hj. Ab. Razak, keluarga & kakitangan.

Thursday, September 17, 2009

Petua Murah Rezeki

Seorang sahabat saya pernah memanjangkan pesanan berikut kepada saya suatu ketika dulu...
Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"
Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah raut mukamu. Kau tahu, Rasulullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orangcuriga kepadanya." Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya.
Mulai hari itu, wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya senantiasa mengulum senyum. Raut mukanya berseri.
Tidak hairanlah jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah raut muka yang ramah dan penuh senyum. Bahkan Rasulullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.
Demikian pula seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, fikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat diatasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.
Maka, setiap pagi tatkala merenung wajah di cermin, pastikan imej yang anda pandang melemparkan senyuman kepada anda. Imej siapa?
Terima kasih my learned friend, sdr. Faizal Arif TBP… Kad raya telah diterima dgn selamatnya. Eid Al Mubarak. Kullu 'Am Wa Antum Bikhair.

Wednesday, September 16, 2009

Rahsia Hebat Hospital Mersing


Endau Rompin Seri Mersing
Letak Sebelah Berbeza Negeri
Rahsia Hebat Hospital Mersing
Mereka Tiada Pentingkan Diri

Beli Ubat Dek Kerna Pening
Tabib Rawat Bagai Membelai
Rahsia Hebat Hospital Mersing
Mereka Suka Menghargai

Mentari Petang Di Ufuk Kuning
Pantai Mersing Berhawa Nyaman
Rahsia Hebat Hospital Mersing
Mereka Alir Aura Sentuhan

Cari Yang Empat Pusing Keliling
Sekali Terjumpa “I Love U” Ku Ucapkan
Rahsia Hebat Hospital Mersing
Mereka Tak Lokek Mendoakan

Rahsia Hebat Klimak Kerja
Interaksi Sihat Beri Perhatian
Che E Cabar Warga Hospital Mersing Semua
Jika Hebat Beri Pengarah “Surat Perhatian”

Tuah Ayam Pada Kaki
Tuah Insan Siapa Yang Tahu
Wajah Dibulat Siapakah Diri
Emelkan Gerangan Hadiah Menunggu

Monday, September 14, 2009

Detik akhir dan mula…


Semalam saya berbuka puasa di rumah seorang kawan seuniversiti yang telah lama saya tak jumpa. Kali terakhir berjumpa dengannya sekitar tahun 2004 sewaktu saya masih practice law.
Terkilan dan bagai tak percaya, rupanya pertemuan pada 2004 itulah pertemuan terakhir dan semalam saya menghadiri majlis tahlil arwah untuknya yang telah pergi buat selamanya beberapa hari yang lepas.
Tiba-tiba terasa kerdil diri ini. Kerdil membayangkan keadaan diri sendiri di hadapan Allah swt jika Dia menjemput diri ini nanti. Apa yang bakal dibawa bersama dan apa yang ditinggalkan.
Sememangnya hakikat kematian merupakan penutup kehidupan dunia untuk si mati tetapi satu permulaan baru untuk kita yang masih hidup untuk menginsafi dan koreksi diri.
Ucapan takziah buat keluarga arwah Mohd Rezal Haron dan berdoalah semoga rohnya dicucuri rahmat, maghfirah dan ditempatkan bersama roh para solihin. Amin.

Saturday, September 12, 2009

Tips Terubuk Unggul...





Alhamdulillah, walaupun rancangan asalnya datang ‘last minute’, program Klimak Istimewa Ramadhan berjaya dilaksanakan di Institut Pengurusan Kesihatan (IPK), Bangsar, Kuala Lumpur pada 10 September 2009 yang lepas.
Walaupun hanya 3 jam, kepenatannya agak terasa. Mungkin kerana puasa? Bukan. Tapi kerana saya belum benar-benar sihat dari demam yang dialami beberapa hari sebelum itu. Namun, dek kerana amanah, tugas perlu dilaksanakan. Orang dah jemput dan atur segalanya, maka saya bertanggungjawab untuk hadir dan sampaikan. Doa dipanjat ke hadrat Ilahi mohon kekuatan agar mampu melaksanakan tugas kali ini. Alhamdulillah, ‘ceramah’ saya tamat tepat pukul 1.00 tengahari seperti dirancang. Hebat perancangan Allah swt.
Terima kasih saya ucapkan kepada semua peserta di atas kerjasama, perhatian dan maklum balas yang diberikan. Seorang peserta lelaki (namanya saya rahsiakan) telah memberi respon berikut dalam borang penilaiannya:
“Unsur keagamaan banyak diserapkan dalam program ini. Amat baik kerana agama tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan.”
Seorang peserta perempuan pula menyatakan:
“Seronok!! Dapat banyak ilmu… kalau boleh datang lagi untuk bantu memotivasikan diri saya dan rakan-rakan lain.”
Dan seorang lagi peserta perempuan pula memberi respon ringkas: “Memberi kesedaran.”
Paling tidak respon-respon sedemikian memberi gambaran bahawa matlamat awal program tercapai. Apa sebenarnya matlamat program ini? Kenal diri kita sendiri. Dengan kenal diri maka kita akan kenal Pencipta yang Maha Agung. Apabila kita kenal Tuhan mana mungkin kita main-main dalam kerja.
Untuk peserta bertuah yang gambarnya dibulatkan di atas. Tahniah. Sila hubungi saya melalui emel mkfuad@asasinsan.com dan berikanlah maklumat ringkas anda untuk kita kirimkan hadiah misteri yang dijanjikan. Untuk yang lain, jangan kecil hati kalian semua hebat sebenarnya cuma dia terpilih kerana hadiah ada satu sahaja. Lain kali kita bagi hadiah kepada yang lain pula.
Saya yakin ramai di kalangan peserta yang agak ‘terjentik’ dengan aktiviti Diagnosis Kendiri. Sedikit yang dapat Hijau dan majoriti dapat Kuning. Mungkin ada yang dapat Merah tapi segan nak angkat tangan. Tak perlu angkat tangan kalau anda tak mahu sebab itu tidak penting. Apa yang penting dari diagnosis ringkas itu ia dapat memberi gambaran tentang diri kita sendiri. Mampukah atau tidak kita memimpin diri sendiri.
Dunia ini adalah ladang Akhirat dan kita adalah petaninya. Jika kita mahukan hasil yang banyak dan baik untuk bekalan di Akhirat kelak maka jadilah petani yang HEBAT di dunia ini. Tanamlah benih-benih amalan yang HEBAT, sirami dengan taqwa yang HEBAT dan bajai dengan cinta kepadaNya yang HEBAT. HEBAT usaha, insya Allah HEBATlah hasilnya.
Saidina Ali bin Abi Talib k.w. pernah berpesan dengan mengatakan bahawa beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok dan bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya.
Jika masih ingat dalam peta minda Terubuk Unggul tempoh hari, tulangnya yang pertama ialah Kerja sebagai Ibadah. Berusahalah untuk melaras minda kita setiap pagi dan setiap kali kita bersedia untuk bekerja bahawa kita lakukan kerja ini kerana Allah swt.
Kenapa? Kerana sebagai seorang muslim, kita sentiasa berada dalam keadaan beribadah kepada Allah swt. Bukan hanya 5 kali sehari semalam. Jika kita beribadah hanya 5 kali sehari semalam dalam sehari maka kita masih belum kenal siapa diri kita dan siapa Pencipta kita yang sebenar. Berhati-hatilah. Rugi jika kita tergelincir dari landasan pahala dek kerana kejahilan dan kesombongan.
Saudara saudari yang saya hargai, keluarlah dari zon selesa kita sekarang jika zon selesa itu hanya sekadar menjadikan anda selesa berada di takuk lama, kekal tidak berubah, tiada yang hebat dan tiada manfaat kepada orang lain. Sentiasalah berfikir dan mencari idea untuk menjadikan diri kita bermanfaat. Bermanfaat tidak bermaksud kita mesti glamour atau mesti menjadi figura. Setiap hari, kita mendapat banyak manfaat daripada orang lain dan kebanyakannya kita tidak pernah tahupun siapa orangnya.
Bukanlah maksud saya kita tidak perlu bersyukur dengan apa yang kita ada. Bersyukur bukan maksudnya kita kena ‘bercukup’ dengan apa yang ada sahaja. Kita kena sentiasa berusaha untuk menambahbaik prestasi diri dari semasa ke semasa. Jika tidak kenapa Allah swt berjanji di dalam Al-Quran bahawa barang siapa yang bersyukur kepadaNya pasti Dia akan menambahnya dan siapa yang kufur pula Allah sediakan azab yang dasyat baginya.
Justeru, setiap pagi di kala menjengah muka di cermin, bacalah doa yang ustaz kita pernah ajarkan dulu yang maksudnya “Ya Allah, sebagaimana Engkau elokkan kejadian aku maka kau elokkanlah pula akhlaqku.” Dan katakanlah pada imej dalam cermin itu bahawa “KAU HEBAT DAN MESTI JADI HEBAT HARI INI!!!” Berusahalah untuk memotivasikan diri kita sendiri setiap hari untuk sentiasa menjadi insan yang lebih baik daripada semalam. Saya tinggalkan tulisan ini dengan sepotong maksud hadith Nabi saw : “Sesiapa yang dua harinya adalah sama (dalam pencapaian) maka dia pasti seorang yang rugi.” (Sunan Ad-Dailami).
Sekali lagi, segunung penghargaan dan terima kasih kepada Bahagian Latihan IPK kerana sudi menganjurkan program Klimak Ramadhan 2009. Selepas ini Program Klimak Istimewa Ramadhan akan bertemu pula dengan kakitangan Hospital Mersing, di Mersing, Johor dan IOI Edible Oil Sdn. Bhd., di Sandakan, Sabah, Insya Allah. Doa kalian saya dambakan. Wallahu A’lam.

Tuesday, September 8, 2009

52 Aura Ramadhan


Isteri saya sering mengingatkan saya setiap kali tiba waktu ‘lunch’ agar tidak lupa makan tengahari. Dia akan call atau sms. Pernah juga beberapa kali dia datang ke pejabat saya bersama makanan tengahari untuk saya yang telah ‘ditapaunya’.

Benar, saya memang agak liat makan tengahari. Maka tidak hairanlah semua orang yang mungkin ‘sayang’ pada saya pernah berleter pasal topik ini termasuklah bos saya dahulu sewaktu saya bekerja makan gaji.

Bahkan, telah banyak kali saya mengadakan mesyuarat dengan staf sehingga terlajak waktu ‘lunch’. Tapi staf saya semuanya baik-baik, mereka senyap sahaja tanpa banyak bicara walaupun saya tahu perut masing-masing dah berkeroncong.

Saya prafrasakan semula maksud saya di atas, “asyik buat kerja sehingga terlupa makan”.

Jadi, dalam bulan puasa ini saya selesa sedikit sebab tiada siapa yang nak interrupt saya apabila tiba waktu ‘lunch’. Kalau adapun cerita pasal benda lain.

Itulah hikmah bulan mulia ini. Walaupun kita diuji dengan ibadah puasa, tetapi pada masa sama Allah beri kita satu kekuatan luar biasa.

Jika hari-hari biasa kita perlu bersarapan pagi, kadang-kadang terambil masa kerja beberapa minit. Apabila tiba tengahari kena pula makan tengahari, kadang-kadang terpaksa keluar awal sebab nak redah traffic jam semata-mata nak ke gerai makan favorite kita. Kalau tak makan atau terlupa makan badan akan terasa lemah, gastrik, sakit, pening dan macam-macam lagi. Tapi dalam bulan penuh maghfirah ini, kita boleh buat kerja macam biasa hatta lebih kuat dan lebih baik.

Tidak perlu makan, yang perlu hanya sedikit waktu senggang untuk rehat dan bertadarus Quran. Wah! Memang hebat.

Maka saya fikir, kita sebagai umat Melayu Islam di negara ini sepatutnya kita telah lama menjadi kaum terhebat dan terelit di sini kerana kita kerja kuat, ibadah kuat, makan dan rehat kurang daripada orang lain.

Jika kita telah merdeka 52 tahun ini bermakna secara kasarnya kita telah melalui dan menyerap kekuatan 52 kali bulan hebat bernama Ramadhan Kareem. Kita hebat sepatutnya.

Tapi… pada pandangan tuan-tuan, berapa banyak aura Ramadhan yang telah kita serap setakat ini?