Pages

Thursday, July 12, 2012

Ramadhan masa untuk BUFFET?


Tak habis-habis! Setiap kali Ramadhan tiba isu ‘Buffet Ramadhan’ yang kurang pasti kehalalannya pasti timbul. 10 tahun lepas perkara ni tak pernah didengar.

Orang kita sibuk nak menyalahkan pihak yang membuat iklan, No Pork Served! Bagi mereka bila tiada BABI maka halallah. Salah mereka kah?

Kalau kita mengikut apa yang diajar oleh Baginda Rasulullah SAW iaitu berpada-pada dalam semua perkara termasuklah makan, apatah lagi dalam bulan penuh kesederhanaan ini, isu ini tak akan timbul. Orang lain tak akan mampu memanipulasikan kita.

Enforcelah undang-undang macam mana pun, kapitalis tetap kapitalis. Untung mesti dikaut sebanyak mungkin. Itu memang kerja mereka. Bila mana orang kita tidak berupaya mengekang nafsu lapar dalam bulan Ramadhan ini, maka ia menjadi asas manipulasi pihak-pihak yang berkepentingan.

Bulan puasa sekarang, lapar di siang hari tidak lagi mampu menundukkan hati-hati orang yang berpuasa untuk menjadi lebih tawadu’. Sebaliknya bulan puasa sekarang menjadi bulan paling kenyang! Bahkan tidak keterlaluan saya katakan mungkin dalam bulan puasa kita makan lebih banyak dari bulan-bulan lain. Lihat sajalah menu-menu di bazar-bazar Ramadhan. Menu yang tiada di bulan lain kini muncul menyinar-nyinar menggamit segala nafsu untuk menikmatinya.

Pendek kata, ayuh kaum muslimin dan muslimat, kita pelajari dan hayati kembali apakah sebenarnya maksud ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Saya tertarik dengan bicara Pengarah Urusan EZ Qurban dalam Radio IKIM dua hari lepas bila mana dia memberitahu bahawa saudara muslim kita yang hidup penuh sengsara dan kelaparan di Myanmar sambut hari raya sebulan lamanya iaitu sepanjang Ramadhan. Ramadhan bagi mereka adalah hari raya dan disambut dengan penuh keinsafan dan kegembiraan.

Kita di sini? Seronok datang Ramadhan kerana hidangan berbukanya dan tak sabar habis Ramadhan kerana pelbagai juadah hari rayanya. Subhanallah!

Semoga Ramadhan kali ini Allah SWT memberi kekuatan luar biasa kepada kita untuk menjadi hambaNya yang paling hampir denganNya. Insyaallah.

Selamat Menggandakan Ibadah di Bulan Ramadhan Al Mubarak.

Che E@Ofisku

No comments:

Post a Comment