Pages

Kenali Che E

Seorang motivator, perunding, penceramah, jurulatih, fasilitator, pembimbing, parakaunselor, pengurus perniagaan, penulis dan bekas pengamal undang-undang (pendeknya peguam). Tidak pernah menghadiri kursus formal bisnes tetapi sangat suka bisnes dan berangan-angan memiliki bisnes sendiri sejak darjah 5. Beristeri pada usia 23 tahun, menjadi bapa dan memulakan kerjaya turun-naik mahkamah pada usia 24 tahun dan telah ‘bersara’ (perlu hubungi beliau untuk maksud sebenar) pada usia 28 tahun. Mungkin akan jadi jutawan pada usia 40 tahun (berharap sempat kejar motivator jutawan Dr. Irfan Khairi).

Bercakap tentang program motivasi pembangunan diri, ramai yang beranggapan bahawa setelah menyertai program motivasi lebih-lebih lagi yang dikendalikan oleh motivator tersohor mereka akan BERUBAH. Bayar, duduk, dengar, (jerit-jerit sikit) dan, BERUBAH! Tetapi setelah seminggu, sebulan, setahun bahkan ada sehingga bertahun-tahun pejam dan celik, mereka dapati masih belum lagi BERUBAH. Masih sama macam dulu dan tidak banyak beda (atau lebih teruk lagi).

Maka, ada yang mengambil langkah sertai program motivasi lain dan ramai juga yang mem‘bangau’kan (mempopularkan istilah motivator Sdr. Rizal Hassan) dan hebohkan sekampung bahawa program yang mereka (atau anak mereka) sertai dulu atau minggu lepas tidak bagus dan tidak berkesan kerana mereka masih belum BERUBAH!

Itulah sebabnya Che E dalam bicaranya sering memberi ‘amaran’ kepada hadirinnya dengan ayat berikut;

“Tuan-tuan silap besar, sangat silap besar kalau tuan-tuan ingat selepas program ini tamat tuan-tuan akan terus bertukar jadi hebat seperti yang yang saya tunjukkan tadi. Ia tidak semudah seperti menjilat jari. Hendak tengok program ini betul-betul berkesan bukan di dalam dewan yang berhawa dingin dengan jeritan bersemangat kita yang berdegar-degar tadi, tetapi selepas tuan-tuan melangkah keluar dari pintu utama, kiri atau kanan dewan ini, terpulanglah pintu mana yang tuan-tuan ikut.”

Beliau tidak mahu orang percaya dan menganggap bahawa beliau atau program-program beliau akan mengubah mereka, pasangan, anak atau kakitangan mereka menjadi hebat dan berjaya. Sememangnya beliau tidak mampu mengubah sesiapapun kerana itu bukan ‘kerja’ nya.

Kerja beliau ialah tunjuk dan yakinkan bahawa diri anda adalah penyelesai paling berkesan (dan punca sebenar) kepada apa jua masalah anda. Justeru, kunci untuk membuka pintu perubahan diri ialah diri anda sendiri. Cuma, adakalanya anda perlukan orang lain sebagai cermin untuk membias cahaya agar anda dapat melihat dengan jelas raut sebenar kekuatan, potensi dan kelemahan diri anda. Di sinilah ‘munculnya’ motivator.

Dalam penyampaiannya, Che E seorang yang kelakar tetapi serius (mungkin boleh dimnemonikkan menjadi ‘kerius’), realistik, jujur, bersahaja, sangat provokatif, luar jangka dan kritis. Jangan terkejut kalau anda tiba-tiba diminta untuk ‘tampar’ bos atau suami anda. Dia tahu apa yang sesuai dan apa yang tidak untuk hadirinnya. Anda pasti ‘participative’ dalam programnya. Motivator AS, Anthony Robbin juga memerlukan peserta ambil bahagian (participate) dalam programnya, jika tidak, keluar sahaja dewan lebih kurang 10% sahaja ‘ilmu’ yang didengar berbaki dalam minda.

Jika anda seorang yang benar-benar mahu dan bersedia untuk menerima dan memulakan perubahan, sudah pasti antena minda, hati dan jiwa anda akan mudah menala frekuensi pancaran minda, hati dan jiwa beliau (biasa dengar suara motivator Dr. Tengku Asmadi di frekuensi 95.5FM).

Halangan terbesar, tertinggi dan terluas untuk anda mencapai kejayaan dalam apa jua bidang bukannya terletak pada motivator, persekitaran, kerajaan, pendidikan, darah (orang lain sebut keturunan), masa, sokongan orang lain, modal atau tuah. Tetapi ia terbenam dalam diri anda sendiri. Sikap, cara berfikir, cara merasai, cara bertindak, tabiat buruk, ego, kepetahan anda memberi alasan, kepantasan anda mem’bangau’kan (menuding jari ke arah) orang lain, kecekapan bergerak lambat, penakut membuat keputusan walaupun berjawatan ‘decision maker’, pemalu tahap luar biasa, kebolehan anda melihat orang lain susah kerana anda, mengangguk walaupun dalam hati menggeleng-geleng (dan memaki-maki, maaf) dan bermacam-macam lagi. 

Untuk memulakan perubahan, anda tidak perlu teropong ufuk timur atau barat, cukup dengan melihat apa yang ada ‘dalam baju anda sendiri’. Sebab peluang yang jauh itu mungkin sekadar bersaiz nyamuk tiruk dan potensi yang anda miliki sebenarnya semega gajah Borneo.
Che E seperti juga anda, seorang insan biasa kelahiran desa damai Sandakan, yang mempunyai perspektif dan prinsip kehidupan yang tersendiri. Insan biasa yang sangat percaya bahawa kebahagian tidak perlu dicari kerana ia boleh dibina, binalah atas apa jua yang anda miliki walaupun yang tinggal hanyalah sisa atau runtuhan kerana di sebaliknya tetap ada harapan. Insan biasa yang sangat cintakan dirinya, keluarganya, kerjayanya, agamanya, negaranya, pesertanya dan apa sahaja yang dikurniakan Tuhan kepadanya.

Che E seorang motivator muda (mungkin tidaklah sekacak motivator muda Sdr. Hj. Fadzli Yusuf) di Malaysia yang telah memberi inspirasi kepada ramai orang. Sejak lebih 10 tahun lepas, berhujah menghilangkan keraguan munasabah panel Hakim sehingga ke Mahkamah Persekutuan, menasihati anakguam individu dan korporat (dalam kes langgar kontrak, langgar orang, dadah, rogol, bunuh, rasuah), berkhidmat sepenuh hati untuk majikan (terutamanya bos beliau), berunding (negotiate) dengan peguam lawan, menyampaikan kuliah kepada pelajar-pelajarnya (semasa menjadi tutor sambilan di sebuah IPTA), menyampaikan ceramah dan mengendalikan pelbagai bentuk program motivasi untuk lebih 20 ribu orang peserta dari pelbagai organisasi dan institusi dalam ratusan program, cukup untuk membugar perspektif, kematangan, pengalaman, ilmu, keunikan, pemahaman dan fi.ras.at beliau tentang apa itu motivasi pembangunan diri dan proses memanfaatkannya untuk diri sendiri dan orang lain.

Hubungi beliau untuk semarakkan motivasi anda dan insan-insan penting dalam hidup anda! Klik di sini